Monday, October 21, 2013

Asal Usul Bahasa Melayu

Sebelum kita mempelajari aspek-aspek penting yang terdapat dalam bahasa Melayu,
eloklah kita mengenali terlebih dahulu sejarah ringkas asal-usul bahasa Melayu. Jika kita
ingin mengkaji sejarah asal-usul sesuatu bahasa, maka kita perlu mengkaji terlebih dahulu
bangsa yang menutur bahasa tersebut. Setiap bahasa dihasil dan diwarisi oleh bangsa
tersebut.

Siapakah orang Melayu? Dari manakah mereka berasal? Asal usul orang Melayu sebagai 
penutur asli bahasa Melayu amat kabur kerana sejarah kuno Asia Tenggara masih belum 
diselidiki dengan mendalam. Walau bagaimanapun, kita dapat mengetahui secara kasar 
latar belakang dan pergerakan masyarakat Melayu kuno, berdasarkan beberapa kajian 
yang telah dilakukan oleh para sarjana dari dalam dan luar negara. 
 
Terdapat dua teori utama bagi menjelaskan asal usul bahasa dan orang Melayu, iaitu: 
 
1) Teori Orang Melayu Berasal dari Yunan 
2) Teori Orang Melayu Berasal dari Nusantara 
 
1) Teori Orang Melayu Berasal dari Yunan 
 
Teori ini dipelopori oleh para sarjana Barat yang berpendapat orang Melayu berasal dari 
daerah Yunan iaitu suatu kawasan yang terletak di utara Loas dan barat daya negara 
China. Terdapat dua gelombang penghijrahan orang Yunan ke Asia Tenggara. 
Penghijrahan pertama dinamakan Melayu Proto yang berlaku berlaku sejak tahun 2500 
sebelum Masihi. Penghijrahan kedua dinamakan Melayu Deutro yang berlaku kira-kira 
dalam tahun 1500 sebelum Masihi. Mereka ini telah menduduki daerah pantai dan tanah 
lembah di Asia Tenggara. Penghijrahan Melayu Deutro menyebabkan Melayu Proto 
melarikan diri ke kawasan pedalaman kerana terancam dengan Melayu Deutro yang lebih 
maju dan hidup secara berkumpulan.

Berikut ialah hujah para sarjana tersebut yang dipetik daripada Darwis Harahap (1992): 
 
R.H. Geldern 

Beliau menemukan kapak tua yang diperbuat daripada batu di sekitar hulu Sungai 
Brahmaputra, Irrawaddy, Salween, Yangtze, dan Hwang. Beliau juga menemukan kapak 
yang mempunyai bentuk dan jenis yang sama di beberapa tempat di kawasan Nusantara. 
Geldern membuat kesimpulan kapak tua tersebut dibawa oleh orang Asia Tengah ke Asia 
Tenggara atau ke Kepulauan Melayu ini. 

 J.H.C Kern 

J.H.C. Kern membuat kajian berdasarkan beberapa perkataan yang digunakan sehari-hari 
terutama nama tumbuh-tumbuhan, haiwan, dan nama perahu. Beliau mendapati bahawa 
perkataan yang terdapat di Kepulauan Nusantara ini terdapat juga di Madagaskar, Filipina, 
Taiwan, dan beberapa buah pulau di Lautan Pasifik. Perkataan tersebut di antara lain 
ialah: padi, buluh, rotan, nyiur, pisang, pandan, dan ubi. Berdasarkan senarai perkataan 
yang dikajinya itu Kern berkesimpulan bahawa bahasa Melayu ini berasal daripada satu 
induk yang ada di Asia. 

Asmah Haji Omar 

Asmah Haji Omar berpendapat bahawa perpindahan orang Melayu dari daratan Asia ke 
Nusantara ini tidaklah sekaligus dan juga tidak melalui satu laluan. Ada yang melalui 
daratan, iaitu Tanah Semenanjung, melalui Lautan Hindi dan ada pula yang melalui Lautan 
China. Namun, beliau menolak pendapat yang mengatakan bahawa pada mulanya asal 
bahasa mereka satu dan perbezaan yang berlaku kemudian adalah kerana faktor geografi 
dan komunikasi. 

2) Teori Orang Melayu dari Nusantara 

Terdapat sebahagian sarjana berpendapat bahawa orang Melayu tidak berasal 
dari mana-mana wilayah sebaliknya telah wujud sekian lama di kawasan 
Nusantara khususnya kawasan daratan antara Jawa dan Kalimantan yang 
dahulunya belum ditenggelami air latan. Berikut ialah hujah mereka: 

 J. Crawfurd 

J. Crawfurd telah membuat kajian perbandingan bahasa yang ada di Sumatera, Jawa, 
Kalimantan, dan kawasan Polinesia. Beliau berpendapat bahawa asal bahasa yang 
tersebar di Nusantara ini berasal daripada bahasa di Pulau Jawa (bahasa Jawa) dan 
bahasa yang berasal dari Pulau Sumatera (bahasa Melayu). Bahasa Jawa dan bahasa 
Melayulah yang merupakan induk bagi bahasa serumpun yang terdapat di Nusantara ini. 
 
J. Crawfurd menambah hujahnya dengan bukti bahawa bangsa Melayu dan bangsa Jawa 
telah memiliki taraf kebudayaan yang tinggi dalam abad kesembilan belas. Taraf ini hanya 
dapat dicapai setelah mengalami perkembangan budaya beberapa abad lamanya. Beliau 
sampai pada satu kesimpulan bahawa: 
(a) Orang Melayu itu tidak berasal dari mana-mana, tetapi malah merupakan induk yang 
menyebar ke tempat lain. 
(b) Bahasa Jawa ialah bahasa tertua dan bahasa induk daripada bahasa yang lain. 

 Sutan Takdir Alisjahbana 
 
Sutan Takdir Alisjahbana (1987), menggelar bangsa yang berkulit coklat yang hidup di 
Asia Tenggara, iaitu Thailand Selatan, Malaysia, Singapura, Indonesia, Brunei, dan Filipina 
Selatan sebagai bangsa Melayu yang berasal daripada rumpun bangsa yang satu. Mereka 
bukan sahaja mempunyai persamaan kulit bahkan persamaan bentuk dan anggota badan 
yang berbeza daripada bangsa Cina di sebelah timur dan bangsa India di sebelah barat. 

 Gorys Keraf 
 
Gorys Keraf (1984), mengemukakan teori Leksikostatistik dan teori Migrasi bagi mengkaji 
asal usul bangsa dan bahasa Melayu. Setelah mengemukakan hujah tentang kelemahan 
pendapat terdahulu seperti: Reinhold Foster (1776), William Marsden (1843), John 
Crawfurd (1848), J.R. Logan (1848), A.H. Keane (1880), H.K. Kern (1889), Slametmuljana 
(1964), dan Dyen (1965) beliau mengambil kesimpulan bahawa "...negeri asal (tanahair, 
homeland) nenek moyang bangsa Austronesia haruslah daerah Indonesia dan Filipina 
(termasuk daerah-daerah yang sekarang merupakan laut dan selat), yang dulunya 
merupakan kesatuan geografis". 


 Bukti Penemuan Sejarah 

Jika ditinjau dari sudut ilmu kaji purba pula, penemuan tengkorak yang terdapat di 
Nusantara ini memberi petunjuk bahawa manusia telah lama ada di sini. Penemuan 
tersebut di antara lain ialah: 
1. Pithecanthropus Mojokerto (Jawa), yang kini berusia kira-kira 670,000 tahun. 
2. Pithecanthropus Trinil (Jawa), kira-kira 600,000 tahun. 
3. Manusia Wajak (Jawa), kira-kira 210,000 tahun. 




No comments:

Post a Comment