Seni
dalam pendidikan (SDP) memainkan peranan penting ke arah perkembangan
kanak-kanak melalui peningkatan daya persepsi, estetika dan kreativitinya.
Matlamatnya adalah untuk melahirkan individu yang berbudaya dengan mengamalkan
pertimbangan kesenian, berjiwa kreatif, inovatif, inventif dan mempunyai jati
diri yang tinggi. Pengabungan tiga jenis seni yang terdiri daripada seni
visual, seni muzik dan seni pergerakan akan membantu pembentukan insan yang
lebih bersifat holistik.
Terdapat
beberapa peranan SDP yang boleh dikaitkan dengan mata pelajaran Bahasa Melayu
di sekolah rendah. Antaranya adalah SDP berperanan untuk menjadikan proses
pengajaran dan pembelajaran (P&P) di sekolah menjadi lebih seronok, menarik
dan berkesan. Hal ini sangat penting dalam mewujudkan interaksi positif dalam
kalangan murid dan guru serta murid dan murid. Antara aktiviti yang boleh
dijalankan oleh guru dalam memastikan perintegrasian seni dalam pendidikan ini,
guru bolehlah mengadakan aktiviti nyanyian. Terdapat tiga unsur seni dalam
pendidikan iaitu seni muzik (irama), ruang dan warna. Unsur seni muzik terdapat
dalam aktiviti nyanyian yang dijalankan berikutan adanya irama yang dialunkan oleh
murid-murid dan guru. Misalnya, guru menyanyi bersama dengan murid-murid lagu
‘Pak Mamat Ada Kebun’ selepas mengajar teks cerita haiwan. Sesuatu irama itu boleh dinikmati sewaktu guru dan
murid-murid mendengar muzik. Irama yang menarik dalam sesuatu muzik akan mempengaruhi
seseorang untuk mendengar muzik tersebut berulang kali. Oleh yang demikian,
jelas menunjukkan penggabungjalinan seni dalam pendidikan dalam P&P Bahasa
Melayu, dapat mewjudkan sesi P&P yang lebih menarik, seronok serta
berkesan.
Di samping itu, SDP juga berperanan untuk menghargai
keindahan ciptaan Tuhan. Warna merupakan elemen yang penting dalam kehidupan. Warna
juga turut digunakan dalam SDP iaitu dalam komponen Pendidikan Seni Visual.
Warna dapat dibahagikan kepada tiga yang utama iaitu warna primer, warna
sekunder dan juga tertier. Kesemua warna ini sebenarnya wujud di sekeliling kita. Contoh-contohnya
adalah seperti warna hijau yang terdapat pada daun, warna-warni yang terdapat
pada pelangi dan sebagainya. Jika dikaitkan dengan mata pelajaran Bahasa
Melayu, guru bolehlah mengintegrasikan unsur seni visual (warna) dalam sesi
P&P di dalam kelas. Sebagai contoh, selepas guru mengajar murid tentang
jenis-jenis bunga misalnya, guru bolehlah meminta murid mewarnakan gambar bunga
tersebut mengikut kreativiti masing-masing. Di sini, guru boleh menyelitkan
nilai mensyukuri ciptaan Tuhan yang indah lagi menakjubkan itu kepada diri
murid-murid. Di samping dapat mengintegrasikan unsur seni visual dalam P&P,
guru juga dapat menerapkan nilai-nilai murni dalam diri murid-murid. Jadi, di
sini jelas menunjukkan pengintegrasian SDP dalam mata pelajaran Bahasa Melayu berperanan
dalam mewujudkan nilai menghargai keindahan ciptaan Tuhan dalam kalangan
murid-murid.
SDP juga berperanan dalam memupuk budaya pengamatan,
persepsi dan ekspresi dalam proses penghasilan. Ketiga-tiga budaya ini dapat
diterapkan dalam pengintegrasikan unsur seni pergerakan dalam sesi P&P di
dalam kelas. Jika dikaitkan dengan sesi P&P mata pelajaran Bahasa Melayu,
guru boleh menjalankan aktiviti seperti aktiviti lakonan. Semasa berlakon,
mereka akan menghayati lakonan serta membuat ekspresi yang sesuai menggunakan
anggota fizikal mereka. Misalnya, selepas guru menerangkan konsep tatabahasa mengenai
kata adjektif yang menunjukkan sifat seperti marah, sedih, gembira dan
sebagainya, guru boleh meminta murid-murid melakonkan watak-watak yang
menggambarkan perasaan-perasaan tersebut. Mereka akan memikirkan gaya yang
sesuai untuk mengekspresikan perasaan-perasaan tersebut. Oleh yang demikian,
jelas menunjukkan pengintegrasian SDP dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dapat
mewujudkan budaya pengamatan, persepsi dan ekspresi dalam kalangan murid.
Selain itu, SDP berperanan dalam meningkatkan
pengetahuan, daya kreativiti, inovasi serta kemahiran dalam bidang seni visual,
seni muzik dan seni pergerakan yang diamalkan dalam P&P. Guru perlulah
mempunyai pengetahuan tentang bagaimana untuk menggunakan warna dengan baik, memasukkan
elemen-elemen irama dan dalam masa yang sama menggunakan ruang yang sesuai bagi
meransang minda kanak-kanak sewaktu proses pengajaran dan
pembelajaran. Ketiga-tiga unsur SDP ini juga boleh diterapkan sekali gus dalam
satu aktiviti semasa sesi P&P. Misalnya, dalam sesi P&P Bahasa Melayu,
guru boleh menjalankan aktiviti menyanyi lagu warna pelangi sambil menari. Tarian
yang dibuat adalah mengikut kreativiti murid. Jadi, hal ini akan dapat
membuatkan mereka lebih kreatif dalam menghasilkan pergerakan yang sesuai
dengan lagu yang dinyanyikan. Murid juga akan berasa seronok dan gembira
serta melakukan aktiviti dengan lebih aktif. Mereka
tidak terikat dengan cara atau teknik pengajaran yang lama iaitu pengajaran
yang lebih berpusatkan kepada guru. Oleh yang demikian, di sini jelas
menunjukkan, guru dapat meningkatkan pengetahuan murid-murid, daya kreativiti
dan pemikiran yang inovasi serta berkemahiran dalam bidang seni visual, seni
muzik dan seni pergerakan yang diamalkan dalam P&P.
Tuntasnya, kesemua peranan SDP ini menunjukkan usaha guru
dalam membantu murid meningkatkan rasa kesyukuran terhadap Tuhan, menghargai
keindahan alam persekitaran, keindahan seni dan warisan bangsa serta dapat
menyumbang ke arah pembangunan diri, keluarga, masyarakat dan negara selaras
dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.