Sunday, December 16, 2012

Refleksi pengajaran stail E - Stail Gaya Peningkatan


REFLEKSI STAIL E

Saya bersyukur ke hadrat ilahi kerana dengan limpah dan kurnianya dapatlah saya dan rakan sekelas menjalankan sesi amali bersama kumpulan yang menggunakan stail E sebagai kaedah pengajaran dan pembelajaran. Kumpulan ini juga telah membentangkan slaid yang begitu menarik dan berkesan di mata saya. Stail E adalah Gaya Peningkatan (Inclusion Style). Stail ini memperkenalkan pelbagai tahap prestasi pada satu tugas yang sama.
          Stail ini adalah lebih fleksibel dalam variasi tahap kepayahan (difficulty) serta pencapaian kemahiran (performance skill) yang pelbagai mengikut keupayaan pelajar. Di sini menunjukkan, stail ini lebih bersifat individu. Kriteria yang utama dalam stail ini adalah memfokuskan semua perkara tersebut tadi pada satu tugas atau cabaran yang perlu dilakukan oleh semua orang. Oleh yang demikian, guru akan memberikan satu tugasan yang akan dilakukan oleh semua murid. Namun begitu, perlakuan pelajar pula adalah pada tahap kemampuan mereka sendiri dan bukannya atas ketetapan dan kemahuan guru yang mengajar itu. Guru harus menekankan kepada murid yang masih berada di tahap pilihan mereka dan memberi galakan kepada mereka. bagi pendapat saya, stail ini memerlukan guru bertindak lebih bijak dan kreatif untuk menarik perhatian murid supaya lebih tertarik dengan perkara yang sedang diajar.
          Kaedah ini juga mengutamakan kepada peningkatan dan penguasaan seseorang individu secara berperingkat-peringkat dan penyertaan secara sukarela. Di sini menunjukkan, guru tidak akan memaksa murid membuat apa yang diajar itu. Seterusnya, pelajar itu sendiri diberi kebebasan untuk menilai kemampuan mereka dalam setiap tahap latihan yang diberikan kepada mereka. Namun demikian, saya beranggapan gaya pembelajaran  ini kurang sesuai untuk diguna pakai ke atas pelajar-pelajar istimewa. Hal ini kerana, mereka tidak dapat menilai apa yang mereka buat itu betul atau salah. Murid berkeperluan khas biasanya akan melakukan mengikut kehendak dan kemahuan mereka sahaja, tanpa memikirkan orang lain mahupun aspek keselamatan. Semasa penempatan di sekolah nanti, saya semestinya akan mengajar murid-murid pendidikan khas. Walaupun gaya pembelajaran ini tidak sesuai digunakan ke atas mereka yang istimewa, saya beranggapan ilmu ini suatu pengetahuan bermakna dan berguna kepada saya.
          Sama seperti stail pembelajaran yang lain, stail ini juga mementingkan tiga proses semasa pelaksanaan iaitu set pra-impak, set impak dan set pasca impak. Semasa Set Pra-Impak, semua keputusan akan dibuat oleh guru dan guru yang akan menyediakan tugasan untuk program individu. Di sini menunjukkan, guru seharusnya bersedia sebelum melaksanakan sesuatu proses pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Jasmani. Seterusnya, semasa set impak pula, guru akan menerangkan atau bersoal jawab dengan murid mengenai konsep gaya peningkatan dan menyatakan objektif utama pelajaran pada hari tersebut. Di sini menunjukkan peranan guru adalah menjawab soalan pelajar dan mengutamakan komunikasi dengan pelajar. Guru juga akan menyatakan peranan pelajar yang  mana melibatkan tinjauan pilihan serta pemilihan tahap yang sesuai. Kemudian, barulah pelajar akan melakukan tugasan dan menilai prestasi berdasarkan kriteria serta menentukan tahap mereka yang seterusnya. Kemudian, semasa Set Pasca Impak, pelajar akan menilai prestasi mereka berdasarkan kad kriteria. Guru akan menyelia kelas untuk seketika dan kemudian bergerak untuk mendapatkan maklum balas pelajar secara individu.
          Setelah dikaji, saya mendapati terdapat pelbagai kelebihan mahupun kekurangan dalam penggunaan stail ini semasa sesi pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Jasmani. Stail ini menggalakkan sifat berdikari pelajar daripada pengaruh dan keputusan guru. Sehubungan dengan itu, guru hendaklah memberi arahan dan membuat keputusan yang sewajarnya untuk memastikan perkembangan pelajar mereka di peringkat lebih baik daripada sebelum pengajaran berlansung. Antara kelemahan stail ini adalah stail ini amat memakan masa apabila ingin menggunakannya kerana stail ini banyak menggunakan komitmen guru. Bagi pendapat saya, adalah lebih elok sekiranya pelajar sendiri yang bertindak aktif dalam proses P&P. Hal ini kerana, pembelajaran berpusatkan murid lebih berkesan berbanding berpusatkan guru semata-mata. Hal ini seterusnya tidak menggalakkan fungsi kreativiti dan perkembangan tingkah laku pelajar dan mereka akan mudah terasa bosan.
Dengan adanya tugasan Pendidikan Jasmani dan Kesihatan di mana terdapat pelbagai kaedah pengajaran yang boleh dilakukan oleh guru, saya yakin dan percaya ianya akan memberikan kesan yang positif kepada bakal guru untuk mendidik anak bangsa dengan cara yang menarik dan berkesan. Akhir kalam, saya berharap, pihak tuan dapat menerima tugasan yang telah disiapkan oleh saya ini dengan hati yang terbuka. Segala silap dan salah yang terdapat dalam tugasan ini saya dahului ribuan kemaafan. Sekian, terima kasih.

No comments:

Post a Comment