Monday, December 17, 2012

REFLEKSI PENGAJARAN STAIL F - Stail Penemuan terbimbing


REFLEKSI STAIL F
Saya bersyukur ke hadrat ilahi kerana dengan limpah dan kurnianya dapatlah saya dan rakan sekelas menjalankan sesi amali bersama kumpulan yang menggunakan stail F sebagai kaedah pengajaran dan pembelajaran. Kumpulan ini juga telah membentangkan slaid yang begitu menarik dan berkesan di mata saya. Stail F adalah penemuan terbimbing.
Stail penemuan terbimbing ini merupakan satu proses pengajaran dan pembelajaran yang melibatkan interaksi dua hala antara guru dan pelajar. Guru akan membina soalan-soalan turutan bagi menghasilkan maklum balas pelajar untuk mendapatkan jawapan yang betul. Pengajaran penemuan terbimbing ini merupakan stail pengajaran yang melibatkan pelajar dalam proses penemuan. Oleh yang demikian, guru akan membimbing pelajar untuk memahami konsep, idea atau prinsip-prinsip tertentu dan sekiranya ada masalah, guru akan mengemukakan idea-idea yang membantu pelajar ke arah mendapatkan jawapan yang betul.
Objektif stail ini adalah untuk melibatkan pelajar dalam proses penemuan ke arah proses penumpuan. Stail ini digunakan untuk mendapatkan pengalaman yang melibatkan setiap langkah di mana memberi peluang kepada pelajar untuk menerokai pelbagai konsep secara berterusan. Stail ini juga memberi peluang kepada pelajar dalam menemui konsep dan prinsip yang melibatkan pemikiran tertumpu. Ciri-ciri yang terdapat dalam stail ini pula iaitu stail ini berpusatkan guru dan murid, stail ini melibatkan komunikasi dua hala, pelajar membuat tugasan yang diberikan oleh guru, guru perlu membuat turutan soalan bagi pelajar meneroka, proses P&P berlaku perbincangan dan penerokaan, guru sebagai fasilitator sahaja dan keputusan akan diambil oleh pelajar berbanding dengan guru.
Antara kekuatan menerusi stail ini adalah pelajar dapat mempelajari tindak balas fizikal yang dirancang oleh guru. Hal ini kerana, mereka akan sentiasa dibimbing oleh guru supaya memperoleh konsep atau lakuan yang betul mengenai sesuatu pelajaran. Pelajar juga dapat memahami dengan lebih mendalam hubungan antara langkah yang telah dipelajari. Di sini guru sangat memainkan peranan dalam memastikan pelajar mengikuti setiap pelajaran yang sedang diajar. Kekuatan yang seterusnya iaitu pelajar juga dapat membina idea sendiri berdasarkan aktiviti yang dirancang oleh guru dan pelajar dapat menerokai sesuatu yang baru dan semangat ingin tahu akan meningkat. Hal ini membolehkan mereka berfikir secara kreatif dan kritis serta tidak terpesong daripada apa yang dipelajari itu.
Kelemahan yang terdapat dalam stail ini pula, stail ini hanya sesuai untuk pelajar yang matang sahaja. Hal ini kerana ada diantara proses di dalam stail ini yang memerlukan penilaian dan tahap pemikiran yang tinggi. Oleh itu, pelajar yan lemah berkemungkinan tidak dapat memahami aktiviti yang dijalankan berdasarkan stail penemuan terbimbing ini. Hal ini seterusnya membuatkan pelajar yang lemah terus bodan, tidak mengikuti pelajaran dan terus mengganggu rakan lain yang ingin belajar.
Dengan adanya tugasan Pendidikan Jasmani dan Kesihatan di mana terdapat pelbagai kaedah pengajaran yang boleh dilakukan oleh guru, saya yakin dan percaya ianya akan memberikan kesan yang positif kepada bakal guru untuk mendidik anak bangsa dengan cara yang menarik dan berkesan. Akhir kalam, saya berharap, pihak tuan dapat menerima tugasan yang telah disiapkan oleh saya ini dengan hati yang terbuka. Segala silap dan salah yang terdapat dalam tugasan ini saya dahului ribuan kemaafan. Sekian, terima kasih.

No comments:

Post a Comment