Wednesday, December 5, 2012

DIALEK NEGERI PERAK


  •  Negeri Perak merupakan sebuah negeri kedua terbesar di semenanjung Malaysia dan bersempadanan dengan Pulau Pinang, Kedah, Selangor, Pahang dan Kelantan. Dialek Perak dalam rangka pembinaan bahasa Melayu adalah sebagai satu bahasa yang tersebar luas di seluruh kepulauan Melayu ini. Walaupun dialek Perak dituturkan oleh sekelompok kecil manusia di daerah yang kecil di wilayah Nusantara yang luas ini, tegasnya di sepanjang Sungai Perak Darul Ridzwan, namun keunggulannya boleh memunculkan ia sebagai suatu jenis bahasa Melayu yang indah didengar dan sedap dituturkan.
  • Menurut Raja Mukhtaruddin Bin Raja Mohd. Dain (1986), dialek Perak dituturkan di suatu kawasan yang amat luas berbanding dengan kebanyakan dialek-dialek Melayu lain di Semenanjung. Jumlah penduduk Perak juga adalah paling ramai dan amatlah wajar sekiranya terdapat pelbagai variasi dalam dialek Perak ini. Dialek Perak seperti yang dituturkan mempunyai gaya yang khusus dan tertentu yang berlainan dari dialek-dialek Bahasa Melayu yang lain. Namun demikian, kelainan yang ada pada gaya ini tidak menjejaskan tatabahasa Melayu yang betul yang digunakan dalam Bahasa Melayu standard. Malah, dialek Perak boleh dikatakan satu variati bahasa Melayu standard yang berlainan hanya dari segi gaya bahasanya.
  • Negeri ini begitu unik dari segi bahasa dialeknya kerana negeri bertuah ini mempunyai lima jenis dialek yang utama iaitu dialek Utara, dialek Patani, dialek Lembah Sungai Perak, dialek Kepulauan Indonesia dan dialek Selatan Semenanjung. Sebagai sebuah negeri yang bersempadan dengan negeri lain, Perak juga tidak 'lari' daripada menerima pengaruh dialek lain. Misalnya, penduduk Perak di bahagian utara (Kerian dan Larut Matang) seperti Bagan Serai, Taiping dan Parit Buntar sehingga Pantai Remis lebih terpengaruh dengan loghat utara atau dialek Kedah. Antara perkataan dalam loghat utara yang dikenal pasti ialah hang (kamu), pi (pergi), hangpa (kamu semua), sat ni (sekejap lagi), la ni (sekarang) dan sebagainya.  Lagipun menurut sejarah, sebahagian besar penduduk di kawasan itu berasal dari Kedah yang berhijrah akibat ancaman Siam pada tahun 1821.
  • Di bahagian Hulu Perak pula iaitu di Kroh, Grik dan Lenggong, masyarakat di kawasan ini banyak menggunakan dialek Petani. Hal ini menyebabkan dialeknya seakan-akan serupa dengan dialek Kelantan sebagai bahasa pertuturan harian. Seperti mana di utara, penduduk Hulu Perak juga kebanyakannya terdiri daripada penduduk dari Patani dan Reman. Seterusnya di daerah Kinta, dialeknya turut berbeza mengikut masyarakatnya. Majoriti penduduk di sini datang dari kepulauan Indonesia seperti Rawa, Mandheling, Banjar dan banyak lagi. Manakala, di selatan iaitu daerah Batang Padang sehingga Bagan Datoh, dialeknya pula lebih dipengaruhi dengan dialek selatan Semenanjung seperti Selangor dan Johor. Hal ini kerana, masyarakatnya juga terdiri daripada golongan pendatang dari Selangor (Jawa dan Bugis) semasa Perang Saudara di Selangor sekitar 1860-an hingga 1970-an.
  • Kemudian, di bahagian Perak Tengah seperti di Kuala Kangsar, Sayong, Karai, Bota, Parit, Kg. Gajah dan Tanjung Blanja, dialeknya agak berbeza iaitu Dialek Lembah Sungai Perak dengan hujung perkataan diubah kepada bunyi 'e pepet'. Contohnya perkataan "tiga" disebut "tige". Kata ganti nama pertama pula adalah seperti perkataan saya atau aku disebut “teman” atau “keme”, manakala awak atau kamu disebut “mike” atau “kome”. Oleh itu, daerah yang betul-betul mewakili kawasan dialek Perak adalah daerah Parit dan Kuala Kangsar (Asmah Haji Omar, 1985).

No comments:

Post a Comment