REFLEKSI STAIL J
Stail pembelajaran yang ke-10 adalah
Stail J iaitu Pembelajaran Terdorong. Saya bersyukur ke hadrat ilahi kerana
dengan limpah dan kurnianya dapatlah saya dan rakan sekelas menjalankan sesi
amali bersama kumpulan yang menggunakan stail J sebagai kaedah pengajaran dan
pembelajaran. Kumpulan ini juga telah membentangkan slaid yang begitu menarik
dan berkesan di mata saya.
Berdasarkan penelitian saya, stail ini
berpusatkan murid sepenuhnya. Guru hanya bertindak sebagai pemerhati dan pembimbing
kepada murid sahaja. selain itu, guru akan memantau proses pembelajaran,
manakala murid pula akan menjadi perancang program atau aktiviti pembelajaran.
Oleh yang demikian, murid sangat memainkan peranan yang penting semasa proses
P&P. Gaya pembelajaran yang menggunakan stail ini juga seolah-olah
memberikan murid autonomi untuk mengambil alih tugasan guru untuk mengawal
kelas, merancang program dan aktiviti pembelajaran.
Saya juga mendapati stail ini merujuk
kepada pengalaman pelajar untuk belajar secara inkuiri penemuan pada diri
sendiri. Sehubungan dengan itu, pengalaman pertama pelajar belajar akan menjadi
sumber utama ke arah pembelajaran seterusnya. Di sini menunjukkan, murid perlu
memahami secara kendiri apa yang telah dipelajari untuk membolehkan mereka
memahami pelajaran yang seterusnya. Pelajar akan bertanggungjawab secara
maksimum dalam proses P&P yang dilalui.
Setelah meneliti slaid yang
dibentangkan oleh rakan sekelas saya, didapati stail J ini mempunyai pelbagai
objektif penggunaannya dalam sesi P&P Pendidikan Jasmani. Antara objektif
stail ini adalah untuk mengembangkan idea berdasarkan pilihannya, memulakan
pengalaman pengajaran pelbagai,memberi peluang kepada murid berdikari serta
untuk meningkatkan peluang kepada murid secara individu dalam proses
pembelajaran kognitif dan kemampuan fizikal.
Pelaksanaan stail J ini dalam sesi
P&P memerlukan tiga proses iaitu pra-impak, impak dan pasca impak. Semasa
proses pra-impak, pelajar akan memutuskan untuk memilih bahan subjek umum dan
memilih topik khusus daripada bahagian kandungan subjek. Di sini menunjukkan
pelajar mempunyai kebebasan untuk memilih apa yang hendak mereka pelajari. Saya
berpendapat pelajar mungkin memberi fokus kepada permainan pengangkutan dan
akuitik. Hal ini kerana, permainan ini akan lebih menarik di mata mereka. Mereka juga sendiri yang akan
memutuskan apakah alatan yang diperlukan untuk menangani isu yang terlibat
dalam topik. Pelajar juga yang akan membuat keputusan tentang persoalan dan
masalah yang direkabentuk untuk topik. Tegasnya, di dalam proses pra-impak ini,
pelajar yang akan membuat segala keputusan.
Seterusnya, proses kedua dalam
pelaksanaan stail J ini adalah proses impak. Semasa proses ini, pelajar akan
bertindak balas dalam setiap masalah dan ujikaji yang dilakukan, meneliti,
memeriksa dan menemui pelbagai pergerakan yang akan menyelesaikan segala
permasalahan. Pelajar juga mengatur segala pola pergerakan yang ditemui kepada
kategori yang diperlukan oleh reka bentuk pra impak. Kategori-kategori tersebut
adalah pergerakan badan, aplikasi pergerakan badan dan pergerakan sendi yang
akan menghasilkan daya, pergerakan ikut lajak, kedudukan badan, kaki dan
koordinasi mata tangan serta kemahiran menganalisis pergerakan pihak lawan
sebagai persediaan membuat hantaran. Semasa eksperiman yang dilakukan dalam
proses ini, pelajar mengubahsuai dan merekabentuk masalah, mengatur semula
urutan dan susunan, memeriksa kesahihan kategori-kategori yang dipilih dan
perlahan-lahan membina satu integrasi program pengenalan yang sesuai dengan
persekitaran.
Kemudian, proses ketiga dalam
pelaksanaan stail J ini adalah pasca impak. Di dalam proses ini, keputusan
dibuat setiap kali pelajar mengenal pasti satu tindak balas melalui perlakuan
pergerakan itu, periksa kesahihan sebagai penyelesaian kepada masalah itu di
dalam satu kategori. Misalnya, apabila mereka melakukan sesuatu pergerakan yang
telah dipelajari, mereka akan memeriksa sendiri apa yang mereka lakukan itu adalah
betul.
Tugasan kali sememangnya banyak
memberi input yang berguna kepada saya. Setelah membuat pembacaan dan juga
penelitian secara terperinci, pengkaji mendapati stail pembelajaran ini sesuai
digunakan dalam aktiviti pembelajaran dan boleh diaplikasikan untuk menjalankan
sesi pengajaran dan pembelajaran kelak. Pengkaji turut mendapati, murid-murid
yang mempunyai tahap kecerdasan yang tinggi amat bersesuaian diajar menggunakan
stail pembelajaran ini. Hal ini kerana stail ini meningkatkan tahap kognitif
murid dengan lebih berkesan dan murid-murid lebih seronok untuk belajar.
Manakala dari aspek
kelemahan yang dilihat, stail ini mengambil masa yang lama untuk dikendalikan. Hal ini berikutan
daripada kekangan dari segi pengawalan kelas. Setiap murid mengambil masa yang
lama untuk memberikan kerjasama antara satu sama lain bagi menjalankan sesuatu
aktiviti. Selain itu, stail pembelajaran ini tidak sesuai dijalankan ke atas
murid yang pasif dan tidak kreatif. Murid-murid ini pastinya tidak suka dan
tidak mahu melibatkan diri dalam aktiviti sedemikian.
Rumusnya dapat disimpulkan, saya
mendapati terdapat pelbagai manfaat dan kelemahan yang dapat dilihat dalam
stail pembelajaran penggerak kendiri ini. Namun begitu, ianya bergantung kepada
guru tersebut untuk memilih kaedah pembelajaran yang sesuai untuk dijalankan.
Kaedah pembelajaran tersebut mestilah dipilih bersesuaian dengan murid dan
tahap kecerdasan murid tersebut. Saya berharap semua pihak berpuas hati dengan
hasil kerja yang telah disempurnakan oleh saya dan rakan-rakan. Sekian, terima
kasih.
No comments:
Post a Comment