Saya
bersyukur ke hadrat ilahi kerana dengan limpah dan kurnianya dapatlah saya dan
rakan sekelas menjalankan sesi amali bersama kumpulan yang menggunakan stail C
sebagai kaedah pengajaran dan pembelajaran. Kumpulan ini juga telah membentangkan
slaid yang begitu menarik dan berkesan di mata saya. Stail C adalah stail
bergandingan.
Stail bergandingan ini adalah satu teknik pengajaran yang
mewujudkan tiga hubungan penting iaitu antara pelaku dan pemerhati serta guru.
Peranan guru adalah untuk menjadikan semua subjek menjadi subjek utama,
mewujudkan kriteria dan membuat keputusan yang logik dan bagi mewujudkan maklum
balas kepada pemerhati. Pelaku dan pemerhati akan berkomunikasi dan
berinteraksi melalui maklum balas yang mereka peroleh sepanjang tempoh
melakukan tugasan tersebut. Manakala guru akan melihat pembelajaran yang sedang
berlansung dan pemerhati sahaja yang boleh berinteraksi dengan guru. Di sini
menunjukkan guru hanya menjadi pemerhati daripada jauh sahaja.
Objektif Stail C ini terbahagi kepada dua iaitu objektif
berasaskan kepada kandungan isi pembelajaran dan objektif instrinstik (tingkah laku
pelajar). Objektif berasaskan kepada kandungan isi pembelajaran ialah pelajar
dapat mengulangi peluang-peluang untuk melakukan tugasan secara spesifik dengan
pemerhatian secara peribadi, berlatih dengan pengawasan, dapat membolehkan
mengenal pasti persamaan dan perbezaan sesuatu langkah dan mengenal pasti
kesalahan dan membetulkannya. Manakala objektif instrinstik iaitu tingkah laku
murid adalah mengembangkan kemahiran sosial dan komunikasi, murid dapat melatih
komunikasi untuk mengembangkan hubungan reciprocal, belajar untuk mengkritik dan
menerima pendapat daripada rakan dan mengembangkan sikap sabar, toleransi dan
menerima kekurangan orang lain dalam perlakuan, mengembangkan empati,
mempelajari perilaku sosial belajar mempercayai orang lain dan merasai perasaan
melihat rakan yang lain berjaya.
Ciri-ciri yang terdapat di dalam stail C ini iaitu stail
ini merupakan stail berpasangan iaitu melibatkan pemerhati dan pelaku,
pemerhati dapat menegur dan membaiki kesilapan pelaku, stail ini berpusatkan
kepada pelajar berdasarkan tugasan atau arahan berpadukan kepada kad kriteria,
guru berperanan sebagai fasilitator dan pelajar memainkan peranan sebagai
pelaku dan pemerhati masing-masing. Menerusi stail ini, peranan guru adalah
memantau pemerhati, menjawab soalan pemerhati, mengawal konflik yang wujud
diantara pemerhati dan pelaku, menerangkan tentang kad kriteria. Manakala,
peranan pelaku adalah sebagai pelaku yang melakukan aktiviti yang diberikan
oleh guru, pelaku mengikut arahan dalam kad kriteria, menerima maklum balas
daripada pemerhati serta boleh mengemukakan soalan dan berkomunikasi dengan
pemerhati sahaja. Pemerhati pula, berperanan untuk menilai prestasi pelaku dan
buat kesimpulan mengenai prestasi pelaku, memberi pendapat kepada pelaku, jika
perlu pemerhati perlu berkomunikasi dengan guru.
Seperti stail-stail yang lain, stail C juga mempunyai
kekuatan dan kelemahannya yang tersendiri. Kekuatan stail C ini adalah guru
menerima hubungan sosial antara pemerhati dan pelaku, guru sedar kepentingan
mengajar murid untuk memberi maklum balas antara satu sama lain serta mencapai
objektifnya, guru dapat mengembangkan perlakuan dan menggunakan masa yang
mencukupi terhadap pelajar dalam mengambil keputusan tambahan, pelajar boleh
mengembangkan nilai aktif mereka dalam proses pembelajaran dan pelajar boleh
meluangkan masa belajar dengan penggunaan kertas kriteria dalam hubungan
reciprocal tanpa kehadiran guru.
Kelemahan stail C ialah kesukaran pelajar untuk memilih
pasangan yang sesuai. Mungkin ada di antara mereka tidak mempunyai persefahaman
yang selari. Hal ini boleh menyebabkan ketidakpuasan hati antara satu sama
lain. Seterusnya, kemungkinan terjadinya konflik antara pasangan. Stail ini
juga hanya sesuai untuk mereka yang memerlukan bimbingan rakan sebaya. Tidak
semua individu memerlukan bimibingan rakan sebaya, ada individu yang lebih
selesa dengan pembelajaran secara kendiri atau pembelajaran terus daripada guru
mereka sendiri. Hal ini berkemungkinan, kepercayaan yang diletakkan kepada guru
itu lebih tinggi berbanding rakan sebaya. Selain itu, apabila guru menggunakan
stail ini akan wujudnya tingkah laku yang baru menyebabkan ketidak selesaan dan
terdapat pelajar yang tidak suka apabila ditegur semasa aktiviti. Kemungkinan
perlakuan yang dilakukan itu adalah salah, tetapi ada individu yang merasakan
hanya dia sahaja yang betul dan mengabaikan pandangan rakan sebaya itu.
Rumusnya dapat disimpulkan, saya mendapati terdapat
pelbagai manfaat dan kelemahan yang dapat dilihat dalam stail pembelajaran stail
bergandingan ini. Namun begitu, ianya bergantung kepada guru tersebut untuk
memilih kaedah pembelajaran yang sesuai untuk dijalankan. Kaedah pembelajaran
tersebut mestilah dipilih bersesuaian dengan murid dan tahap kecerdasan murid
tersebut. Saya berharap semua pihak berpuas hati dengan hasil kerja yang telah
disempurnakan oleh saya dan rakan-rakan. Sekian, terima kasih.
No comments:
Post a Comment