Showing posts with label contoh refleksi. Show all posts
Showing posts with label contoh refleksi. Show all posts

Sunday, April 10, 2016

REFLEKSI PROJEK BESAR INTERNSHIP

REFLEKSI PROJEK BESAR (PROGRAM?)
Pada 14 Julai 2014 hingga 18 Julai 2014, telah berlansungnya program?. Kumpulan sasaran bagi program ini ialah murid-murid tahap satu SK ?. Sepanjang program ini berlansung, banyak kekutan, kelemahan dan cadangan penambah baikan yang telah dikenal pasti.
            Saya dapat lihat bahawa kekuatan projek ini adalah dapat meningkatkan perbendaharaan kata murid secara umumnya. Hal ini kerana, murid-murid tahap satu biasanya masih kurang lagi bilangan perbendaharaan kata Bahasa Melayu mereka. Lebih-lebih lagi murid-murid berbangsa selain Melayu. dengan adanya kuiz seni budaya, mereka dapat mengetahui perkataan-perkataan baharu seperti Kantonis, belacan, santan dan sebagainya. Hal ini dapat dilihat semasa mereka menjawab soalan-soalan tersebut. Ada diantara mereka yang bertanya kepada saya tentang maksud sesuatu perkataan itu.
            Seterusnya, bagi aktiviti lain seperti pantun juga dapat meningkatkan keyakinan diri murid-murid di hadapan khalayak. Mula-mula murid-murid tahun dua da tiga disaring di dalam kelas masing-masing. Kemudian, ke peringkat separuh akhir iaitu untuk memilih mereka yang benar-benar layak masuk ke peringkat akhir. Di sini mereka perlu berani tampil di hadapan khalayak. Pada peringkat akhir pula, mereka diasahkan kemahiran mengingat rangkap-rangkap pantun. Markah akan ditolak sekiranya mereka tidak mengingatinya dengan tepat. Oleh yang demikian, saya lihat bahawa projek ini benar-benar memberi impak yang positif kepada para murid ?, khususnya murid-murid tahap satu.
            Kelemahan yang dikenal pasti sepanjang program ini berlangsung adalah mengenai atur cara program yang tidak difahami oleh guru-guru. Sebelum ini, saya dan Kamariah telah membuat satu perjumpaan mesyuarat pada minggu sebelum program. Namun, semasa mesyuarat tersebut, atur cara program kami dibidas kerana tidak sesuai dengan syarat yang dinamakan pertandingan. Sehubungan dengan itu, saya terpaksa membuat suatu atur cara yang baharu dan mungkin atur cara yang baharu itu tidak disebarluaskan kepada guru-guru. Saya telah menyebarluaskan info-info bagi program tersebut di setiap kelas dan telah menampal info-info tersebut di papan kenyataan setiap kelas dan di bilik guru. Mungkin kami tidak menyebarluas kepada semua guru. Ada guru yang masih tidak faham tentang atur cara yang dijalankan. Hal ini mungkin disebabkan terlalu banyak aktiviti pertandingan dan terlalu banyak tugasan yang perlu mereka siapkan.
Untuk mengatasi kekurangan di atas, saya sepatutnya perlulah membuat suatu lagi mesyuarat untuk menyatakan tugasan yang baharu diubah kepada semua guru. Cara kami menerangkan kepada seorang demi seorang guru tidak berkesan. Hal ini kerana, mereka masih tidak nampak perkara yang perlu mereka lakukan. Namun, saya tidak berasa terkilan kerana program ini masih berjalan dengan lancar kerana semua pihak masih ingin membantu dan memberikan kerjasama walaupun terpinga-pinga serta tidak berapa faham tentang tugasan yang perlu dibuat.

Akhir sekali, syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah dan kurniaNya dapatlah saya melaksanakan projek besar ini. Hanya tinggal satu sahaja projek iaitu projek kecil yang perlu dijalankan. Saya juga bersyukur kerana warga ? sudi memberikan kerjasama sepanjang program ini dijalankan. Sekian.

Saturday, April 9, 2016

REFLEKSI MINGGUAN (MINGGU 10) (PRAKTIKUM KETIGA TIGA BULAN)

Sepanjang minggu ini, proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) dapat dijalankan dengan baik. Semua perancangan yang dirancang dalam rancangan pengajaran harian (RPH) dapat dijalankan dengan baik. Kehadiran saya untuk minggu ini juga adalah penuh. Semua program dan aktiviti yang dijalankan sepanjang minggu ini juga dapat saya hadir untuk memberikan kerjasama terhadap pihak sekolah. Murid-murid juga dapat memberikan kerjasama dan perhatian yang sepenuhnya terhadap PdP yang berlansung.
Antara kekuatan yang saya perhati sepanjang minggu ini adalah mengenai inovasi PdP yang saya lakukan, iaitu menyelitkan aktiviti menyanyi secara boria dalam sesi PdP. Saya dapat lihat bahawa murid teruja dengan aktiviti tersebut. Hal ini kerana, sebelum ini guru tidak pernah melaksanakan aktiviti nyanyian secara boria. Saya lihat murid seronok bergerak ke kanan dan kiri.
Namun begitu, disebalik keseronokan, terdapat juga kebosanan. Hal ini kerana, lagu boria tersebut terlalu panjang. Bila di akhir PdP, murid kelihatan penat untuk menyanyi sambil membuat pergerakan. Selain itu, tidak ada iringan muzik yang mengiringi aktiviti nyanyian secara boria tersebut. hal ini menambah kebosanan murid. Mula-mula sahaja murid teruja. Bila sudah penat, mereka menyanyi dengan perlahan.
Untuk mengatasi kelemahan di atas, saya perlulah menyediakan lagu iringan muzik bagi setiap kali aktiviti nyanyian dijalankan di dalam kelas. Sehubungan dengan itu, murid akan bertambah seronok dan tidak rasa penat kerana hatinya terhibur. Sebenarnya, saya sudah memikirkan hal ini sebelum aktiviti nyanyian secara boria dijalankan. Namun, saya tidak ada kemahiran untuk membuang suara Boria Upin-Ipin dan mengambil latar iringan muzik sahaja. Sebagai seorang guru, saya perlu ada kemahiran tersebut. Hal ini seterusnya dapat membuatkan sesi PdP saya bertambah menarik.
Syukur ke hadrat ilahi kerana saya sudah berjaya melaksanakan praktikum untuk minggu ke-10 ini. Berbaki dua minggu sahaja lagi. Saya perlu mengharunginya dan menimba sebanyak ilmu pengetahuan yang boleh. InsyaAllah. Sekian.


Friday, April 8, 2016

CONTOH REFLEKSI PRAKTIKUM MINGGU 8 (PRAKTIKUM 3 BULAN)

REFLEKSI MINGGUAN (MINGGU 8)
TARIKH : 17 MAC 2014- 21 MAC 2014
Sepanjang minggu ini, proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) dapat dijalankan dengan baik. Semua perancangan yang dirancang dalam rancangan pengajaran harian (RPH) dapat dijalankan dengan baik. Kehadiran saya untuk minggu ini juga adalah penuh. Semua program dan aktiviti yang dijalankan sepanjang minggu ini juga dapat saya hadir untuk memberikan kerjasama terhadap pihak sekolah. Murid-murid juga dapat memberikan kerjasama dan perhatian yang sepenuhnya terhadap P&P yang berlansung.
Antara kekuatan yang saya perhati sepanjang minggu ini adalah mengenai minggu Bahasa Melayu. Saya diarahkan oleh guru pembimbing untuk menjadi pengacara majlis untuk pertandingan bercerita. Saya diberi tugasan betul-betul sebelum majlis berlansung. Tidak ada persiapan yang dilakukan malah tidak ada skrip yang disediakan. Walau bagaimanapun, saya dapat menjalankan tugas dengan penuh keyakinan dan dapat memeriahkan majlis pertandingan bercerita. Saya berbangga dengan diri saya sendiri kerana dapat menjalankan tugasan dengan baik. Walaupun tidak ada skrip, tetapi saya masih dapat memimpin majlis dengan teratur. Di samping diberi arahan menjadi pengacara majlis, saya juga diberi arahan untuk membuat buku program sempena majlis tilawah al-quran peringkat daerah yang diadakan di SK?. Berkat kesungguhan dan bantuan daripada guru-guru SK?, saya dapat menyiapkan buku program dalam masa yang ditetapkan. Saya juga dapat menambah pengalaman sedia ada saya.
Sepanjang pengajaran saya dalam minggu ini, saya mendapati kelemahan saya adalah tentang pengurusan masa. Setelah diteliti dan dikenal pasti, saya dapat merasakan bahawa perkara ini datang dari masalah saya sendiri yang memberikan arahan yang kurang jelas. Dalam sesuatu pengajaran, banyak aktiviti yang dilaksanakan. Jadi, saya terkejar-kejar masa untuk memastikan masa yang dirancang dapat dipatuhi dan berakhir tepat pada waktu yang dijangkakan. Arahan yang terlalu ringkas, membuatkan murid tidak faham perkara yang perlu dilakukan. Semasa pengajaran tersebut, saya rasa bahawa mereka sudah faham arahan yang saya berikan. Rupa-rupanya mereka tidak faham. Hal ini saya lihat semasa murid melaksanakan aktiviti. Oleh yang demikian, saya terpaksa mengulang lagi arahan yang lebih jelas dan murid terpaksa mengulang lagi aktiviti yang sedang dijalankan. Sehubungan dengan itu, sudah tentu masa pengajaran saya panjang. Jadi, saya perlu mengatasi masalah ini supaya masa pengajaran berakhir tepat seperti yang dijangkakan.
Penambah baikan yang perlu saya lakukan adalah dengan memberi arahan yang jelas jepada murid. Arahan yang jelas mesti diberikan kepada murid sebelum mereka memulakan aktiviti. Guru perlu memastikan murid memahami arahan dengan jelas, barulah memulakan sesuatu aktiviti. Guru juga perlu memberi arahan yang tepat dan padat. Arahan yang jelas juga penting untuk mengawal disiplin murid semasa melakukan perkara yang diminta. Oleh yang demikian, saya perlu memastikan arahan yang diberi kepada murid tepat dan jelas. Jadi, masa yang ditetapkan dalam rancangan pengajaran harian, dapat dipatuhi. Saya akan mengingati isu yang penting ini apabila setiap kali saya mengajar. Jika saya sudah terbiasa dengan tindakan memberi arahan yang jelas, sudah pasti perkara ini menjadi kebiasaan dan isu masa pengajaran tidak akan menjadi masalah. Hal ini selaras dengan Teori Behaviorisme yang mementingkan impak positif bagi sesuatu tindakan dan tindakan itu akan diulangi pada masa akan datang.
Syukur ke hadrat ilahi kerana saya sudah berjaya melaksanakan praktikum untuk minggu ke-8 ini. Berbaki empat minggu lagi, saya perlu mengharunginya dan menimba sebanyak ilmu pengetahuan yang boleh. InsyaAllah. Sekian.


Friday, October 10, 2014

CONTOH REFLEKSI PROJEK



REFLEKSI PROJEK KECIL (PROGRAM ?)
Pada ?, saya telah melaksanakan projek kecil secara individu. Mentor saya iaitu ? meminta saya membuat projek berasaskan motivasi bagi projek kecil. Saya bersyukur kerana diberi tugasan yang saya rasa tidak begitu sukar dan tidak perlu menggunakan kewangan. Sepanjang projek ini dijalankan, saya dapat kenal pasti beberapa kekuatan, kelemahan dan cadangan penambah baikan.

Kekuatan projek ini adalah dapat memberi peluang kepada pelajar untuk membina hubungan yang baik tanpa mengira usia, bangsa dan agama. Hal ini dapat dilihat semasa mereka bekerjasama untuk membuat kad raya untuk semua guru ?. Saya dapat lihat juga bahawa walaupun mereka berlainan bangsa dan agama, mereka tetap boleh bersatu untuk membuat kad raya. Kasih sayang antara murid-murid tahun 1, 2 dan 3 juga dapat dieratkan kerana mereka saling bekerjasama untuk membuat kad raya. Selain itu, mereka begitu gembira dan seronok ketika membuat kad raya tersebut. iringan lagu-lagu raya sememangnya dapat meningkatkan semangat mereka untuk membuat kad raya.

Seterusnya, kelemahan yang dikenal pasti sepanjang projek ini dijalankan adalah mengenai cara saya mengatur dan mengendalikan murid-murid. Walaupun sudah berbincang dengan rakan internship bersama iaitu ?, namun hal yang kami fikirkan tidak sama dengan perkara yang telah berlaku. Mungkin pengalaman mengendalikan murid-murid tahap 1 dalam sesuatu program. Semasa hari tersebut, suasana agak kelam-kabut dan murid-murid sukar dikendalikan kerana terlalu bising. Dengan situasi saya yang sedang berpuasa, amat sukar untuk melawan suara murid-murid yang begitu ramai dan masih keanak-anakan. Mereka juga tidak boleh mengikut arahan yang diberi. Mungkin arahan yang saya berikan juga kurang jelas.

Untuk mengatasi kelemahan-kelemahan di atas, terdapat cadangan penambah baikan yang sesuai untuk dilakukan. Hal ini untuk memastikan kesilapan yang sama tidak akan berulang. Saya perlulah memikirkan strategi yang memudahkan pergerakan murid-murid. Saya juga perlu lebih tegas dalam memberikan arahan. Di samping itu, arahan yang perlu diberikan juga haruslah jelas, tepat dan padat.

Tuntasnya, syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah dan kurniaNya dapatlah saya melaksanakan projek kecil ini. Ketiga-tiga projek telah saya laksanakan. Saya juga bersyukur kerana warga nama sekolah? sudi memberikan kerjasama sepanjang program ini dijalankan. Sekian.