Wednesday, November 20, 2013

Kedwibahasaan

·       Kedwibahasaan berlaku dalam kalangan masyarakat yang menggunakan banyak bahasa. Kedwibahasaan atau bilingualisme ialah penguasaan dua bahasa seperti penutur bahasa asli.
·       Penggunanya menggunakannya sebagai bahasa komunikasi, yakni menggunakan satu bahasa rasmi untuk berkomunikasi, dan bahasa ibunda untuk hubungan lain misalnya orang Cina dan India yang menggunakan bahasa Melayu untuk komunikasi rasmi tetapi bahasa ibunda di rumah.
·       Kedwibahasaan yang sempurna ialah penguasaan sepenuhnya dua bahasa oleh penutur.
·       Kedwibahasaan majmuk ialah individu yang memperoleh dua bahasa semasa kecil.
·       Kedwibahasaan kordinat pula berlaku apabila individu tersebut memperoleh salah satu bahasa tersebut sebagai bahasa pertama dan bahasa kedua pula diperoleh kemudian.
·       Kedwibahasaan lahir dalam masyarakat majmuk yang pelbagai budaya, etnik,agama, bangsa, kaum dan lain-lain. Individu dwibahasa tidak akan mempunyai pengetahuan kedua-dua bahasa yang sama baik. Kadang-kadang individu tersebut hanya memahami sahaja tetapi tidak boleh menulis atau bertutur dengan baik.
·       Malaysia menggunakan dialek Melayu-Johor sebagai bahasa rasmi tetapi menggunakan dialek masing-masing di rumah misalnya dialek Kelantan, Terengganu, Perak, Negeri Sembilan, Kedah dan sebagainya.
·       Dasar pendidikan sesebuah negara mencerminkan masyarakat yang lahir misalnya Malaysia yang menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua dalam sistem pendidikan negara akan melahirkan penutur dwibahasa.

·       Satu lagi unsur yang mewujudkan kedwibahasaan ialah perkahwinan campur dalam masyarakat majmuk yang melahirkan kanak-kanak yang berdwibahasa sejak dari lahir lagi. Pemerolehan dua bahasa serentak berlaku apabila kedua ibu dan bapa menggunakan kedua-dua bahasa ibunda mereka dalam kehidupan seharian.

Sunday, November 10, 2013

Bahasa Melayu Klasik


1. Abad ke –13 merupakan waktu bermulanya zaman peralihan di Kepulauan Melayu dengan berkembangnya agama Islam ke rantau ini. Ini telah mempengaruhi bangsa dan bahasa di sini, terutamanya bangsa dan bahasa Melayu. Pengaruh India sedikit demi sedikit mula digantikan dengan pengaruh Islam dan Arab. Kegemilangannya bahasa Melayu klasik boleh dibahagikan kepada tiga zaman penting iaitu zaman kerajaan Melaka, zaman kerajaan Acheh dan zaman kerajaan Johor-Riau

2. Zaman penting bagi Bahasa Melayu ialah pada zaman Kerajaan Melayu Melaka. Kerajaan Melayu Melaka yang telah menerima Islam dan berjaya membina empayar yang luas telah dapat meningkatkan kemajuan dan perkembangan Bahasa Melayu di rantau ini. Bahasa Melayu telah digunakan dalam pentadbiran dan aktiviti perdagangan serta menjadi “lingua franca” para pedagang. Bahasa Melayu juga telah menjadi alat penyebaran agama Islam ke seluruh Kepulauan Melayu. Bahasa Melayu telah mendapat bentuk tulisan baru iaitu tulisan Jawi. Perbendaharaan kata juga telah bertambah dengan wujudnya keperluan untuk mengungkapkan idea-idea yang dibawa oleh peradaban Islam. Keagungan Kesultanan Melaka jelas tergambar di dalam “Sejarah Melayu” oleh Tun Seri Lanang, sebuah karya dalam Bahasa Melayu yang sangat tinggi nilainya.

3. Kedatangan orang-orang Eropah dan kejatuhan Kesultanan Melaka ke tangan Portugis pada tahun1511 masehi tidak menamatkan pengaruh Bahasa Melayu. Ramai di antara mereka yang menjalankan penyelidikan dan menyimpan catatan mengenai bahasa dan kesusasteraan Melayu. Beberapa contoh usaha mereka ialah :

a. Pigafetta, seorang ketua kelasi berbangsa Itali dalam pelayarannya bersama Magellan, telah menyusun kamus Melayu-Itali semasa singgah di Pulau Tidore pada tahun 1521. Kamus ini merupakan daftar kata daripada bahasa yang dituturkan oleh orang-orang di pelabuhan itu dengan lebih 400 patah perkataan dan merupakan daftar kata Melayu-Eropah yang tertua. Kedudukan Pulau Tidore yang terletak jauh daripada tempat asal Bahasa Melayu menggambarkan betapa luasnya Bahasa Melayu tersebar. 
b. Jan Hugen Van Linschotten, seorang bangsa Belanda pernah tinggal di Indonesia antara tahun 1586 hingga 1592 dan berkhidmat sebagai pegawai kepada pemerintah Portugis. Beliau ada mencatatkan dalam bukunya bahawa Bahasa Melayu dianggap sebagai bahasa yang paling dihormati antara bahasa-bahasa negeri timur.

c. Pada awal abad ke-18, Francios Valentijn, seorang pendeta dan ahli sejarah bangsa Belanda yang banyak menulis menganai wilayah Kepulauan Melayu, telah menggambarkan kepentingan Bahasa Melayu seperti berikut :
Bahasa mereka, Bahasa Melayu, bukan sahaja dituturkan di daerah pinggir laut, tetapi juga digunakan di seluruh Kepulauan Melayu dan di segala negeri-negeri Timur, sebagai suatu bahasa yang difahami di mana-mana sahaja oleh setiap orang.”

4. Satu bukti tentang tingginya martabat Bahasa Melayu dan luas penggunaanya di wilayah ini adalah pada surat-menyurat antara pentadbir dan raja-rja di Kepulauan Melayu. Antaranya ialah :
a. Surat Sultan Acheh kepada Kapitan Inggeris, James Lancester (1601)
b. Surat Sultan Alauddin Shah dari Acheh kepada Harry Middleton (1602)
c. Surat Sultan Acheh kepada raja Inggeris, King James (1612)
(Ketiga-tiga surat ini tersimpan di perpustakaan Bodelein, London)

5. Dalam abad ke-17, terdapat banyak usaha oleh sarjana-sarjana Eropah untuk menyusun kamus dan daftar kata, yang kemudiannya diteruskan kepada bidang morfologi, sintaksis dan fonologi.

6. Tokoh-tokoh tempatan juga tidak ketinggalan memberikan sumbangan. Kebanyakan usaha mereka berkisar tentang agama dan sastera. Palembang dan Acheh telah menggantikan Melaka sebagai pust keintelektualan Melayu. Tokoh-tokoh di Acheh antaranya ialah :
a. Sheikh Nuruddin Al-Raniri (“Bustanul Salatin”)
b. Shamsuddin Al-Sumaterani (“Mirat Al-Mukmin”)
c. Abdul Rauf Singkel (“Mirat Al-Tullab”)
d. Hamzah Fansuri (“Syair Perahu”)

7. Di Palembang pula terdapat Abdul Samad Al-Falambani dengan kitab “Hikayat Al-Salakin”.

8. Selain daripada Acheh dan Palembang, beberapa tokoh juga timbul di tempat-tempat lain. Di Brunei, Pengiran Syahbandar Muhammad Salleh (Pengiran Indera Muda) telah menghasilkan “Syair Rakis”, manakala di Banjarmasin pula terkenal dengan Arshad Al-Banjari dengan kitab “Sabil Al-Muhtadin”. Sheikh Mohd Ismail Daud Al-Fatani di Pattani pula menghasilkan “Matla’al Badrain” dan “Furu’ Al-Masail”.

Ciri-ciri bahasa Melayu klasik:

1. Ayatnya panjang, berulang, berbelit-belit dan banyak menggunakan struktur ayat pasif.
2. Menggunakan bahasa istana: contoh tuanku, baginda, bersiram, mangkat dsb.
3. Kosa kata arkaik dan jarang digunakan ; ratna mutu manikam, edan kesmaran (mabuk asmara), sahaya, masyghul (bersedih) 
4. Banyak menggunakan perdu perkataan (kata pangkal ayat): sebermula, alkisah, hatta, adapun.
5. Banyak menggunakan ayat songsang: pendepanan predikat
6. Banyak menggunakan partikel ``pun' dan `lah'

Saturday, November 9, 2013

Peralihan Bahasa Melayu Kuno Ke Bahasa Melayu Klasik



1. Pengaruh agama Islam yang semakin mantap di Asia Tenggara pada abad ke-13 turut memberi kesan kepada perkembangan bahasa Melayu. Kedatangan Islam ke Tanah Melayu telah banyak mengubah sistem bahasa Melayu terutama dari aspek kosa kata, struktur ayat dan sistem tulisan.

2. Terdapat tiga batu bersurat yang penting:
a. Batu bersurat di Pagar Ruyung, Minangkabau (1356)- ditulis dalam huruf India dan
mengandungi prosa Melayu kuno dan beberapa baris sajak Sanskrit. Bahasanya berbeza sedikit daripada bahasa batu bersurat abad ke-7.
b. Batu bersurat di Minye Tujuh, Acheh (1380)- masih memakai abjad India dan buat pertama kalinya terdapat penggunaan kata-kata Arab seperti kalimat nabi, Allah dan rahmat 
c. batu bersurat di Kuala Berang, Terengganu (1303-1387)- ditulis dalam tulisan Jawi dan membuktikan tulisan Arab telah telah digunakan dalam bahasa Melayu pada abad itu.

3. Ketiga-tiga batu bersurat ini merupakan bukti catatan terakhir perkembangan bahasa Melayu kuno kerana selepas abad ke-14, muncul kesusasteraan Melayu dalam bentuk tulisan.

Friday, November 8, 2013

Bahasa Melayu Kuno


1. Bahasa Melayu tergolong dalam keluarga bahasa Nusantara di bawah golongan bahasa Sumatera. 
Bahasa Melayu kuno digunakan pada abad ke-7 hingga abad ke-13 pada zaman kerajaan Sriwijaya. pada waktu itu, BM kuno telah menjadi lingua franca dan bahasa pentadbiran kerana sifat bahasa Melayu yang bersifat sederhana dan mudah menerima pengaruh luar. Bahasa Melayu juga tidak terikat kepada perbezaan susun lapis masyarakat dan mempunyai sistem yang lebih mudah berbanding dengan bahasa Jawa.

2. Oleh sebab agama Hindu menjadi pegangan orang Melayu ketika itu, bahasa Melayu banyak dipengaruhi oleh sistem bahasa Sanskrit yang menyumbang kepada pengayaan kosa kata dan ciri-ciri keilmuaan (kesarjanaan) Bahasa Melayu. Bahasa Sanskrit dianggap sebagai bahasa sarjana dan digunakan oleh bangsawan. Bahasa Melayu juga mudah dilentur mengikut keadaan dan keperluan.

3. Bukti penggunaan Bahasa Melayu kuno boleh dilihat pada batu-batu bersurat abad ke-7 yang ditulis dengan huruf Palawa iaitu:

a. Batu bersurat di Kedukan Bukit, Palembang (683 M)
b. Batu bersurat di Talang Ruwo, dekat Palembang (684 M)
c. Batu bersurat di Kota Kampur, Pulau Bangka (686 M)
d. Batu bersurat di Karang Brahi, Meringin, daerah Hulu Jambi (686 M)

4. Berpandukan isinya, penulisan di batu bersurat tersebut dibuat atas arahan raja Srivijaya, sebuah kerajaan yang mempunyai empayar meliputi Sumatera, Jawa, Semenanjung Tanah Melayu, Segenting Kra dan Sri Lanka. Oleh itu, ini menunjukkan bahawa Bahasa Melayu telah digunakan sebagai bahasa rasmi dan bahasa pentadbiran kerajaan Srivijaya, sekaligus meluaskan penyebaran Bahasa Melayu ke tanah jajahan takluknya . Walaupun bahasa pada batu bersurat itu masih berbahasa Sanskrit, akan tetapi masih terdapat pengaruh Bahasa Melayu Kuno di dalamnya.

5. Istilah “Melayu” timbul buat pertama kali dalam tulisan Cina pada tahun 644 dan 645 Masehi. Tulisan ini menyebut mengenai orang “Mo-Lo-Yue” yang mengirimkan utusan ke Negeri China untuk mempersembahkan hasil-hasil bumi keada Raja China. Letaknya kerajaan “Mo-Lo-Yue” ini tidak dapat dipastikan tetapi ada yang mencatatkan di Semenanjung Tanah Melayu dan di Jambi, Sumatera.

6. Selain bukti penggunaan bahasa Melayu kuno di atas,batu bersurat di Gandasuli, Jawa Tengah (832 M) ditulis dalam huruf Nagiri.

7. Bahasa Melayu kuno mempunyai beberapa ciri iaitu;

a. Terdapat unsur-unsur pinjaman daripada bahasa Sanskrit.
b. Bunyi b ialah w dalam Melayu kuno (Contoh: bulan - wulan)
c. Tidak wujud bunyi e pepet (Contoh dengan - dngan atau dangan)
d. Awalan ber- ialah mar- dalam Melayu kuno (contoh: berlepas-marlapas)
e. Awalan di- ialah ni- dalam bahasa Melayu kuno (Contoh: diperbuat - niparwuat)
f. Ada bunyi konsonan yang diaspirasikan seperti bh, th, ph, dh, kh, h (Contoh: sukhatshitta)
g. Huruf h hilang dalam bahasa moden (Contoh: semua-samuha, saya: sahaya)

Sunday, November 3, 2013

konsep Anafora dan Katafora

Anafora dan katafora ialah sejenis hubungan atau pertautan dalam wacana.

Anafora ialah hubungan antara kata ganti nama yang mengaju kepada kata sebenar. Contoh:
 (a) Apakah yang dipandang oleh emak?
 (b) Dia memandang bulan di langit.

Dalam ayat di atas, dia mengaju kepada kata emak.

Katafora ialah hubungan antara kata ganti nama dengan nama sebenar yang mengikutinya. Contoh:
 (a) Dengan keretanya itu, Halimah menjelajah Malaysia.
 (b) Halim membeli motosikal baharu, dan dengan motosikalnya itu, Busro diajak mengelilingi bandar Kajang.

Dalam ayat (a), kata ganti nya mengacu kepada kata berikutnya, iaitu Halimah. Dalam ayat (b), kata ganti nya tidak mengacu kepada Busro, tetapi Halim. Ini dinamakan hubungan anafora.

Saturday, November 2, 2013

Perbezaan Kohesi dan Koheren

 Perbedaan antara kohesi dengan koheren itu menunjukkan bahawa terdapat wacana yang sekali gus hadir kohesi dan koherensi. Dan terdapat juga wacana yang hadir koherensi, tetapi tidak kohesi. Sesuatu wacana tidak mungkin kohesi tanpa koherensi. Untaian ayat yang kohesi tetapi tidak koherensi tidak mungkin membentuk suatu wacana. Contoh:

 (a) Siapakah yang dipukul oleh Ali?
 (b) Ali memukul budak kecil itu

Ayat (a) dan ayat (b) menunjukkan bahawa terdapat perkaitan antara gramatis dengan semantik. Tetapi
tidak koherensi kerana fokus pertanyaan ayat (a) ialah siapa. Oleh itu, jawapan yang diharapkan ialah
orang yang dipukul Ali. Dalam keadaan biasa, ayat (b) seharusnya berbunyi budak kecil itu (yang
dipukul oleh Ali), dan bukannya Ali memukul budak kecil itu.

Friday, November 1, 2013

konsep koheren

Koheren juga merupakan perkaitan antara proposisi, tetapi perkaitan itu tidak secara eksplisit (nyata) dapat dilihat daripada ayat yang mengungkapkannya. Contoh:

 (a) Angkat telefon itu, Jef!
 (b) Aku sedang mandi, Mat!
 (c) OK!

Dalam wawancara di atas (a), (b) dan (c), perkaitan antara proposisi tetap wujud, tetapi tidak secara nyata memperlihatkan perkaitan gramatikal atau semantik. Ayat (b) dapat ditafsirkan sebagai bentuk pendek daripada ayat Aku sedang mandi, Mat!. Oleh itu, aku tidak dapat menjawab telefon itu. Sementara ayat (c) dapat ditafsirkan sebagai OK! Kalau begitu, biar aku sahaja yang menjawabnya.