Thursday, October 31, 2013

konsep kohesi

Kohesi merupakan hubungan perkaitan antara proposisi yang dinyatakan secara eksplisit oleh unsur
gramatikal dan semantik dalam ayat yang membentuk wacana. Contoh:
 (a) Apakah yang dilakukan oleh Ahmad?
 (b) Dia memukul anaknya.
 (c) Apakah yang dilakukan oleh Ahmad?
 (d) Jahanam itu memukul anaknya.
Proposisi dalam ayat (a) berkait dengan proposisi dalam ayat (b), dan perkaitan itu diwujudkan dalam bentuk penggunaan kata ganti nama dia yang merujuk Ahmad. Pada ayat (d), perkaitan itu dinyatakan dengan frasa jahanam itu yang dalam konteks normal mempunyai rujukan yang sama, iaitu Ahmad. Perkaitan itu juga dapat dilihat pada kata kerja dilakukan dan memukul yang mempunyai kesinambungan makna. Kohesi biasanya diwujudkan melalui penggunaan kata yang maknanya berbeda dengan makna kata yang ditujukkannya. Yang penting, kata yang digantikan dan kata pengganti menuju pada rujukan yang sama.

Contoh:
 (a) Anak penyair terkenal itu semakin besar. Gadis itu kini belajar di sekolah asrama penuh.
 (b) Pak Abu telah turun ke laut pada waktu subuh lagi. Nelayan yang rajin dan gigih itu bekerja dengan tidak mengenal jemu.

Anak penyair terkenal itu dan gadis itu mempunyai rujukan yang sama. Hubungan ini dikatakan kohesi, dan kerananya juga mewujudkan koherensi. Demikian juga Pak Abu dan nelayan memiliki acuan yang sama. Sehingga dapat dirumaskan bahawa Pak Abu dan nelayan ialah orang yang sama. Ini dibantu pula oleh kehadiran kata lain seperti laut yang membawa implikasi bahawa orang yang turun ke laut pada waktu subuh untuk menangkap ikan ialah nelayan.

Wednesday, October 30, 2013

definisi semantik

Perkataan semantik berasal daripada bahasa Yunani „sema‟ yang bererti tanda atau lambang. Dalam bidang linguistik, semantik ialah bidang kajian yang mengkaji makna atau erti dalam bahasa. Selain istilah semantik, sejarah ilmu linguistik terdapat beberapa istilah lain yang digunakan seperti semiotik, semiologi dan semasiologi. Namun Istilah semantik lebih digunakan kerana istilah ini hanyalah makna atau erti yang berkenaan dengan bahasa sebagai alat komunikasi verbal. Mengikut Ferdinand de Saussure, setiap tanda linguistik terdiri daripada dua unsur iaitu yang diertikan (Inggeris „ signified‟) dan yang mengertikan (signifier), yang diertikan sebenarnya ialah konsep atau makna sesuatu tanda atau lambang, sementara yang mengertikan ialah bunyi-bunyi bahasa yang terbentuk daripada fonem-fonem bahasa berkenaan. Bahasa sebagai lambang perlembagaan yang canggih, kompleks dan anjal. 

Tuesday, October 29, 2013

Bentuk atau ciri Simpulan Bahasa

1. Terbentuk daripada penggunaan kata nama am. 

Contohnya: 
anak buah, buah tangan, dan lipas kudung. 
Anak, buah, dan lipas masing-masingnya sebagai kata nama am. 

2. Terbentuk daripada penggunaan kata kerja. 

Contohnya: 
ajak-ajak ayam, buat bodoh, dan pasang telinga. 
Ajak, buat, dan pasang masing-masingnya sebagai kata kerja. 

3. Terbentuk daripada penggunaan kata adjektif. 

Contohnya: 
besar kepala, bodoh sepat, dan kecil hati. 
Besar, bodoh, dan kecil masing-masingnya sebagai kata adjektif. 

4. Terbentuk daripada penggunaan kata nama khas. 

Contohnya: 
Abu Jahal, Mat Jenin, dan Pak Kaduk. 
Semua ini sebagai kata nama khas. 

5. Terbentuk daripada nilai kepercayaan. 

Contohnya: 
air pinang, batu buyung, dan makan bulan. 
Semua ini ada kaitan dengan kepercayaan orang Melayu. 

Simpulan Bahasa

A). Simpulan Bahasa 

Simpulan bahasa adalah kata-kata ringkas atau rangkaian perkataan yang dirumuskan dalam susunan tertentu yang membawa maksud tertentu. Maksudnya terdapat daripada apa yang tersirat atau tersembunyi bukan daripada yang tersurat atau nyata. Ringkasnya, erti simpulan bahasa berlainan daripada perkataan yang digunakan.

Contoh:

1. Simpulan bahasa yang mempunyai dua makna. Contohnya:

(a) ada angin:
 mempunyai kemahuan atau keinginan untuk mendapatkan sesuatu.
 sikap atau perasaan seseorang yang suka meninggi diri.

(b) anak buah:
 orang yang berada di bawah pengawasan seseorang ketua seperti ketua pejabat atau
penghulu.
 anak saudara.

(c) langgar bahasa:
 bercakap dengan menggunakan bahasa yang kasar.
 tingkah laku atau kelakuan yang tidak sopan atau melanggar adat

2. Simpulan bahasa yang berlainan tetapi mempunyai makna yang sama. 

Contohnya:

Seseorang yang tidak mempunyai perasaan malu. : muka talam, muka tebal, dan muka tembok. 

Seseorang yang sudah lanjut usianya tetapi perangai tidak senonoh atau jahat. : tua keladi, tua kutuk, dan tua lengkuas. 


Thursday, October 24, 2013

Bibliografi

Abdullah Hassan. (1997). Bahasa Melayu sebagai bahasa Ilmu dan esei-esei
lain. Shah Alam: Penerbit Fajar Bakti.

Abdullah Hassan. (2007). Morfologi. Bentong: PTS Profesional.

Asmah Haji Omar. (2009). Nahu Melayu mutakhir Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka.

Asmah Haji Omar.(1989). Perancangan bahasa dengan rujukan khusus kepada
perancangan bahasa Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.

Asmah Haji Omar. (1988). Susur galur bahasa Melayu. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.

Darwis Harap (1992). Sejarah pertumbuhan bahasa Melayu. Pulau Pinang:
Penerbit USM.

Ismail Hussien. (1966). Sejarah pertumbuhan bahasa Kebangsaan kita. Kuala
 Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kamus Dewan edisi ketiga (2002). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.

Nik Safiah Haji Karim (1986). Bahasa Melayu tinggi teori dan penerapan.
Kuala Lumpur:Nurin Enterprise.

Nik Safiah Haji Karim et al. (2004). Tatabahasa Dewan. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sulaiman Masri, Abdullah Yusof dan Mohd Ra’in Shaari (2007). Bahasa Melayu
dimensi pengajaran dan pembelajaran. Kuala Lumpur: Utusan Publication &
Distributors Sdn. Bhd.

Teo Kok Seong. (2006). Bahasa Kebangsaan dan bahasa Rasmi: Dua konsep
yang berbeza. Dewan Bahasa, 13-16.

Tuesday, October 22, 2013

Fungsi Bahasa Melayu

1. Bahasa Kebangsaan 
“Bahasa Jiwa Bangsa” dengan jelas menunjukkan kepentingan bahasa dalam memupuk 
perpaduan antara kaum. Menyedari hakikat ini, kerajaan telah menjadikan bahasa Melayu 
sebagai bahasa kebangsaan negara kita. Mulai tahun 1970, bahasa Melayu secara 
berperingkat-peringkat telah menggantikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di 
sekolah-sekolah. Sebuah badan berkanun iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) adalah 
bertanggungjawab untuk memaju dan memperkaya bahasa Melayu. Kepentingan bahasa 
Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara ini berpaksikan Perkara 
152 Perlembagaan Persekutuan, selain daripada Akta Bahasa Kebangsaan dan Akta 
Pendidikan yang sedia ada. 

2. Dasar Bahasa Kebangsaan 
Pemilihan satu bahasa kebangsaan bagi negara Malaysia timbul sebab perlunya diadakan 
satu lambang penyatuan, iaitu dengan harapan bahawa bahasa itu dapat menjadi dasar 
bagi satu identifikasi kebangsaan. Peranan bahasa sebagai faktor penyatuan disalurkan 
melalui sistem pelajaran kebangsaan, sebagaimana tercatat dalam mukadimah akta 
Pendidikan seperti berikut: 
“........dan untuk merancangkan satu sistem pelajaran iaitu bahasa kebangsaan adalah 
bahasa pengantar yang utama.” 
Di samping memenuhi keperluan menjadi lambang penyatuan, penubuhan satu bahasa 
kebangsaan juga timbul daripada semangat kebangsaan yang mahukan bahasa penjajah 
diambil alih oleh bahasa bumiputera. 
Dasar bahasa kebangsaan merupakan asas terpenting bagi perkembangan bahasa 
Melayu di Malaysia. Dasar ini memenuhi konsep perancangan taraf bahasa. Dengan 
adanya dasar bahasa yang menentukan pemilihan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, 
barulah dilakukan tahap-tahap seterusnya, iaitu propaganda, pembinaan dan perluasan 
penggunaannya. 
Dasar bahasa di Malaysia meletakkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa 
kebangsaan dan bahasa rasmi, seperti terkandung dalam Perkara 152 Perlembagaan 
Persekutuan. Dasar bahasa ini juga dianggap bermula dengan idealisme, iaitu untuk 
menyaksikan satu rupa bangsa yang bersatu menerusi pembentukan budaya kebangsaan 
selaras dengan keinginan dan hasrat membentuk satu bangsa Malaysia yang mempunyai 
identiti keperibadian yang dapat dibanggakan dan penuh dengan kesetiaan kepada 
negara, memupuk ciri-ciri pengenalan rakyat yang relatif seragam, menegak persatuan antara kaum-kaum yang mendiami negara ini dan menobatkan bahasa Melayu sebagai 
sarana komunikasi yang berkesan dalam sektor-sektor penting negara. 

3. Bahasa Rasmi 
Menurut Kamus Dewan (1970:59), bahasa rasmi adalah bahasa pentadbiran, bahasa 
perhubungan awam, bahasa pengantar serta bahasa ilmiah di sekolah-sekolah dan 
institusi pengajian tinggi. Sesebuah negara, khususnya yang baru mencapai kemerdekaan 
selalunya memilih dan mendaulatkan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. 
Menurut Ainon Mohammad (1984), bahasa rasmi pula bererti peranan bahasa Melayu 
sebagai saranan pembinaan negara dalam semua urusan, terutama pentadbiran negara. 
Justeru, bahasa rasmi membawa maksud bahasa yang digunakan dalam sistem 
pendidikan negara, urusan perniagaan dan pentadbiran dan dalam upacara-upacara 
rasmi. Bahasa rasmi mungkin mempunyai lebih daripada satu fungsi bagi sesebuah 
negara. Secara rasminya bahasa Melayu dinobatkan pada 1 September 1967, yakni 10 
tahun selepas hari kemerdekaan. Ia menjadi bahasa rasmi tunggal bagi Persekutuan 
Malaysia. Perisytiharan ini berlaku akibat tindakan parlimen meluluskan undang-undang 
perasmiannya. Perisytiharan tersebut dibuat melalui titah Diraja yang disiarkan menerusi 
radio dan televisyen, dianggap sebagai satu detik era baharu bagi orang Melayu. Dengan 
kenaikan taraf ini, kesan positif wujud terhadap orang Melayu dan bahasa Melayu terjamin. 
Jika diteliti dengan mendalam, kita boleh mengatakan bahawa dengan meningkatnya taraf 
tersebut, bahasa Melayu kian meluas digunakan sebagai bahasa perpaduan antara kaum. 
Maksud fungsi perpaduan ialah menimbulkan sikap bersatu melalui bahasa. Pelbagai 
masyarakat akan menggunakan bahasa Melayu untuk mengeratkan hubungan antara satu 
sama lain. Mereka berkomunikasi dengan menggunakan bahasa Melayu. Secara tidak 
langsung, masyarakat bukan Melayu menerima bahasa Melayu dan menganggapnya 
penting sebagai alat perpaduan bangsa. 

Walau bagaimanapun, usaha-usaha untuk mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa 
rasmi telah menghadapi berbagai-bagai kesulitan serta tentangan, daripada orang Melayu 
sendiri dan juga orang bukan Melayu. Pemasalahan datang daripada pelbagai arah dan 
berbagai-bagai persoalan ditimbulkan; persoalan politik, persoalan sikap, ekstremisme kaum yang memungkinkan berlakunya ketidaksefahaman dan perpecahan antara 
kaum.Antara isu yang diketengahkan adalah seperti berikut: 
 Bahasa Melayu tidak sesuai dan tidak layak menggantikan bahasa Inggeris 
sebagai bahasa rasmi dan bahasa pengantar di sekolah-sekolah. 
 Ramai intelek khususnya guru masih belum fasih menggunakan bahasa Melayu 
 Penguasaan terhadap bahasa Melayu tidak penting 
 Bahasa Melayu tidak mempunyai standard, hanya sesuai digunakan oleh 
golongan bawahan 
 Bahasa Melayu tidak sesuai digunakan dalam bidang kehakiman dan pendidikan 
Di samping itu, golongan yang menyetujui dan menerima bahasa Melayu menganggap 
bahasa tersebut : 
 Layak menggantikan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi dan bahasa 
pengantar di sekolah-sekolah 
 Bahasa Melayu mempunyai beberapa kelebihan tersendiri; mudah dipelajari, 
semua kaum boleh bertutur dalam bahasa tersebut. 
 Ia paling sesuai dijadikan bahasa rasmi berbanding dengan bahasa Cina atau 
Tamil 
 Bahasa Inggeris adalah bahasa penjajahan 

Oleh sebab ketegasan, pihak kerajaan telah mengeluarkan surat pekeliling Am No.12, 
tahun 1967 untuk memantapkan lagi penggunaan bahasa Melayu secara rasminya. 
Melalui pekeliling ini, bahasa Melayu perlu digunakan untuk tujuan-tujuan rasmi dalam 
pentadbiran harian, bahasa pengantar di sekolah, surat-menyurat rasmi kerajaan yang 
meliputi semua jabatan kerajaan persekutuan dan negeri. Hingga kini bahasa Melayu 
masih lagi teguh dan berdiri tegak sebagai bahasa rasmi walaupun sering kali menerima tohmahan dan kritikan daripada pelbagai pihak. Diharapkan bahasa Melayu akan kekal 
sebagai bahasa rasmi dan bahasa pengantar di sekolah-sekolah. 

4. Bahasa Komunikasi 

Manusia menggunakan bahasa sebagai alat komunikasi yang penting dalam kehidupan
seharian mereka. Hal ini demikian kerana bahasa dan pertuturanlah yang membezakan
manusia dengan haiwan. Selain itu, bahasa mempunyai suatu sistem yang sistematis,
dinamik dan selalu berubah-ubah sesuai dengan perkembangan zamannya. Halliday,
dalam bukunya bertajuk “Explorations in the Functions of Language” (1973), telah
mengemukakan tujuh fungsi bahasa. Antaranya ialah: 

Instrumental
Regulasi
Pemerian
Interaksi
Personal
Heuristik
Khayalan

5. Bahasa Perpaduan 

Perpaduan atau solidariti dapat didefinisikan sebagai satu proses yang menyatupadukan
rakyat dan seluruh masyarakat dan negara supaya setiap anggota masyarakat dapat
membentuk satu identiti dan nilai bersama serta perasaan cinta dan bangga akan tanah
air. Di samping itu juga, menurut Kamus Dewan (1994), perpaduan ditakrifkan sebagai
penggabungan, pelaburan penyesuaian, kecocokan dan perihal berpadu iaitu bergabung
menjadi satu, sepakat dan sebagainya. Dalam erti kata yang lain, perpaduan dapat
diertikan sebagai hubungan erat bersifat toleransi yang diwujudkan secara sengaja dalam
kalangan dan etnik yang berbeza untuk mencapai matlamat bersama secara jujur dan
ikhlas. Perpaduan adalah proses menyatupadukan seluruh masyarakat untuk membentuk
satu identiti dan nilai bersama serta perasaan cinta dan bangga akan negara.

Oleh itu, pengertian bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan dapat diertikan sebagai
bahasa yang menjadi lambang penyatuan suara yang digunakan sebagai alat
perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia (antara individu dengan individu
yang lain) yang berfungsi sebagai alat menyatupadukan rakyat yang berbilang kaum
dalam sebuah negara.

Bahasa adalah suatu keseluruhan, suatu prinsip klasifikasi dengan sesuatu yang dikuasai
dan bersifat konvensional yang seharusnya terkebawah daripada naluri semula jadi.
Whitney (1998) berpendapat bahasa adalah salah satu institusi sosial dan menganggap
bahawa kita menggunakan alat ujaran sebagai wadah bahasa, hanyalah secara kebetulan
sahaja, untuk kesenangan sahaja manusia boleh memilih bahasa isyarat dan lambang
tampak dan bukan lambang akuistik.

Cara bahasa menyatupadukan rakyat 

Selaras dengan dasar pendidikan kebangsaan, bahasa Melayu diajarkan sebagai mata
pelajaran wajib dan telah dijadikan bahasa pengantar utama bagi semua peringkat
prasekolah dan pengajian. Pendidikan bahasa Melayu Sekolah Menengah adalah
memenuhi hasrat Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah untuk melahirkan insan yang
seimbang dan harmonis daripada aspek intelek, emosi, rohani, dan jasmani.

Penggunaan bahasa Melayu yang semakin meluas sesuai dengan tarafnya
sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara menekankan penguasaan dan
penggunaan bahasa Melayu yang lebih bermutu. Pendidikan bahasa Melayu sekolah
menengah yang meliputi Tingkatan 1 sehingga 5 akan terus meningkatkan penguasaan
kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis dalam kalangan pelajar remaja
dan memupuk kepekaan terhadap variasi bahasa dalam pelbagai situasi, sistem bahasa
dan gaya bahasa yang indah. Pendidikan Bahasa Melayu sekolah menengah juga
menanamkan kesedaran terhadap unsur dan nilai kemanusiaan secara menyeluruh
melalui pembacaan bahan ilmu dan hasil kesusasteraan.

Aspek penting untuk menyatupadukan rakyat mengikut fungsi bahasa Melayu
sebagai bahasa perpaduan adalah melalui pendidikan. Sesungguhnya pendidikan hari ini
telah memainkan peranan penting dalam merealisasikan aspirasi negara ke arah
mewujudkan perpaduan kaum. Pendidikan hari ini telah membuktikan bahawa negara
berjaya mengimbangkan kewujudan integrasi nasional yang menjamin keamanan dan
kesejahteraan negara.

Sejarah telah membuktikan betapa golongan cerdik pandai menentukan jatuh
bangunnya sesebuang bangsa dan negara. Selain daripada itu, penyatupaduan rakyat
dapat mewujudkan sistem pendidikan kebangsaan kerana sistem persekolahan yang
berbeza-beza mempunyai haluan masing-masing dan tidak dapat melahirkan satu identiti
bangsa. Oleh itu, satu jawatankuasa ditubuhkan untuk mengkaji sistem pendidikan yang
sedia ada. Cadangan itu dikenali sebagai Penyata Razak.

Penyata Razak telah diperakui dan diluluskan menjadi Ordinan Pelajaran pada
tahun 1957. Ordinan ini mewajibkan semua jenis sekolah menggunakan sukatan pelajaran
yang sama. Bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pengantar di semua sekolah, khususnya untuk membantu perpaduan kebangsaan dan menjadi wahana yang berkesan
untuk berkomunikasi pelbagai kumpulan etnik dan masyarakat pelbagai dialek atau
bahasa. Bahasa Melayu turut membantu pembentukan jati diri bangsa Malaysia yang
menggunakan bahasa komunikasi yang mudah difahami.

6. Bahasa Ilmu 

Bahasa ilmu boleh ditakrifkan sebagai bahasa yang mempunyai ciri-ciri formal dan dapat
mengungkapkan sesuatu konsep dan pemprosesan ilmu. Bahasa Melayu telah lama
digunakan untuk mengungkapkan konsep-konsep dan proses-proses yang tinggi serta
kompleks, terutama sekali di dalam bidang agama, falsafah, sastera dan budaya.

Setelah tiga puluh tahun dirancang dengan begitu rapi, perkembangan yang positif
dalam penggunaan bahasa Melayu dapat dilihat dalam bidang ilmiah. Penggunaan
bahasa Melayu dalam bidang sains sosial telah lama wujud, malahan lebih awal daripada
zaman kegemilangan kerajaan Melayu Srivijaya, Acheh dan Melaka. Dalam sejarah yang
muktahir, pusat kebudayaan seperti Pulau Pinang telah banyak menghasilkan buku untuk
institusi pengajian tinggi dan akhbar diterbitkan. 

Bahasa Melayu telah digunakan dengan banyaknya dalam konteks agama, 
sastera dan budaya. Usaha menggunakan bahasa Melayu dalam bahasa tersebut telah 
lama digunakan untuk tujuan ini, walaupun tidak abstrak dan sukar berbanding sains dan 
teknologi. Bahasa Melayu ilmiah ini dapat dilihat melalui beberapa ciri umum iaitu 
peristilahan, tatabahasa, laras dan sebagainya. 
 
Istilah yang sudah dicipta oleh DBP setakat ini, untuk semua bidang telah 
mencapai 477, 300 (Berita Peristilahan, Mei 1986). Setiap satu bidang ilmu terdapat 
sejumlah peristilahannya tersendiri dan mempunyai maknanya yang tersendiri pula. 
 
Dalam hal pemilihan istilah ternyata bahawa istilah, walaupun banyak iaitu 
berjumlah 477, 300 dan meliputi 36 bidang, namun kerja-kerja menokok tambah jumlah 
istilah terus berjalan. Usaha membina istilah baharu telah bermula sejak tahun 1957 lagi. 

Bagi memantapkan lagi penggunaan bahasa ilmu dalam bidang ilmu atau ilmiah, 
DBP aktif dalam hal ini. Setakat ini DBP telah menyelesai dan memenuhi permintaan 
buku-buku teks bagi sekolah-sekolah rendah dan menengah serta pra universiti. Terdapat 
dua langkah yang dibuat dalam hal ini: bantuan tenaga pengajar daripada institusi 
pengajian tinggi dan penerbitan karya-karya asal bagi keperluan institusi pengajian tinggi.



Monday, October 21, 2013

Asal Usul Bahasa Melayu

Sebelum kita mempelajari aspek-aspek penting yang terdapat dalam bahasa Melayu,
eloklah kita mengenali terlebih dahulu sejarah ringkas asal-usul bahasa Melayu. Jika kita
ingin mengkaji sejarah asal-usul sesuatu bahasa, maka kita perlu mengkaji terlebih dahulu
bangsa yang menutur bahasa tersebut. Setiap bahasa dihasil dan diwarisi oleh bangsa
tersebut.

Siapakah orang Melayu? Dari manakah mereka berasal? Asal usul orang Melayu sebagai 
penutur asli bahasa Melayu amat kabur kerana sejarah kuno Asia Tenggara masih belum 
diselidiki dengan mendalam. Walau bagaimanapun, kita dapat mengetahui secara kasar 
latar belakang dan pergerakan masyarakat Melayu kuno, berdasarkan beberapa kajian 
yang telah dilakukan oleh para sarjana dari dalam dan luar negara. 
 
Terdapat dua teori utama bagi menjelaskan asal usul bahasa dan orang Melayu, iaitu: 
 
1) Teori Orang Melayu Berasal dari Yunan 
2) Teori Orang Melayu Berasal dari Nusantara 
 
1) Teori Orang Melayu Berasal dari Yunan 
 
Teori ini dipelopori oleh para sarjana Barat yang berpendapat orang Melayu berasal dari 
daerah Yunan iaitu suatu kawasan yang terletak di utara Loas dan barat daya negara 
China. Terdapat dua gelombang penghijrahan orang Yunan ke Asia Tenggara. 
Penghijrahan pertama dinamakan Melayu Proto yang berlaku berlaku sejak tahun 2500 
sebelum Masihi. Penghijrahan kedua dinamakan Melayu Deutro yang berlaku kira-kira 
dalam tahun 1500 sebelum Masihi. Mereka ini telah menduduki daerah pantai dan tanah 
lembah di Asia Tenggara. Penghijrahan Melayu Deutro menyebabkan Melayu Proto 
melarikan diri ke kawasan pedalaman kerana terancam dengan Melayu Deutro yang lebih 
maju dan hidup secara berkumpulan.

Berikut ialah hujah para sarjana tersebut yang dipetik daripada Darwis Harahap (1992): 
 
R.H. Geldern 

Beliau menemukan kapak tua yang diperbuat daripada batu di sekitar hulu Sungai 
Brahmaputra, Irrawaddy, Salween, Yangtze, dan Hwang. Beliau juga menemukan kapak 
yang mempunyai bentuk dan jenis yang sama di beberapa tempat di kawasan Nusantara. 
Geldern membuat kesimpulan kapak tua tersebut dibawa oleh orang Asia Tengah ke Asia 
Tenggara atau ke Kepulauan Melayu ini. 

 J.H.C Kern 

J.H.C. Kern membuat kajian berdasarkan beberapa perkataan yang digunakan sehari-hari 
terutama nama tumbuh-tumbuhan, haiwan, dan nama perahu. Beliau mendapati bahawa 
perkataan yang terdapat di Kepulauan Nusantara ini terdapat juga di Madagaskar, Filipina, 
Taiwan, dan beberapa buah pulau di Lautan Pasifik. Perkataan tersebut di antara lain 
ialah: padi, buluh, rotan, nyiur, pisang, pandan, dan ubi. Berdasarkan senarai perkataan 
yang dikajinya itu Kern berkesimpulan bahawa bahasa Melayu ini berasal daripada satu 
induk yang ada di Asia. 

Asmah Haji Omar 

Asmah Haji Omar berpendapat bahawa perpindahan orang Melayu dari daratan Asia ke 
Nusantara ini tidaklah sekaligus dan juga tidak melalui satu laluan. Ada yang melalui 
daratan, iaitu Tanah Semenanjung, melalui Lautan Hindi dan ada pula yang melalui Lautan 
China. Namun, beliau menolak pendapat yang mengatakan bahawa pada mulanya asal 
bahasa mereka satu dan perbezaan yang berlaku kemudian adalah kerana faktor geografi 
dan komunikasi. 

2) Teori Orang Melayu dari Nusantara 

Terdapat sebahagian sarjana berpendapat bahawa orang Melayu tidak berasal 
dari mana-mana wilayah sebaliknya telah wujud sekian lama di kawasan 
Nusantara khususnya kawasan daratan antara Jawa dan Kalimantan yang 
dahulunya belum ditenggelami air latan. Berikut ialah hujah mereka: 

 J. Crawfurd 

J. Crawfurd telah membuat kajian perbandingan bahasa yang ada di Sumatera, Jawa, 
Kalimantan, dan kawasan Polinesia. Beliau berpendapat bahawa asal bahasa yang 
tersebar di Nusantara ini berasal daripada bahasa di Pulau Jawa (bahasa Jawa) dan 
bahasa yang berasal dari Pulau Sumatera (bahasa Melayu). Bahasa Jawa dan bahasa 
Melayulah yang merupakan induk bagi bahasa serumpun yang terdapat di Nusantara ini. 
 
J. Crawfurd menambah hujahnya dengan bukti bahawa bangsa Melayu dan bangsa Jawa 
telah memiliki taraf kebudayaan yang tinggi dalam abad kesembilan belas. Taraf ini hanya 
dapat dicapai setelah mengalami perkembangan budaya beberapa abad lamanya. Beliau 
sampai pada satu kesimpulan bahawa: 
(a) Orang Melayu itu tidak berasal dari mana-mana, tetapi malah merupakan induk yang 
menyebar ke tempat lain. 
(b) Bahasa Jawa ialah bahasa tertua dan bahasa induk daripada bahasa yang lain. 

 Sutan Takdir Alisjahbana 
 
Sutan Takdir Alisjahbana (1987), menggelar bangsa yang berkulit coklat yang hidup di 
Asia Tenggara, iaitu Thailand Selatan, Malaysia, Singapura, Indonesia, Brunei, dan Filipina 
Selatan sebagai bangsa Melayu yang berasal daripada rumpun bangsa yang satu. Mereka 
bukan sahaja mempunyai persamaan kulit bahkan persamaan bentuk dan anggota badan 
yang berbeza daripada bangsa Cina di sebelah timur dan bangsa India di sebelah barat. 

 Gorys Keraf 
 
Gorys Keraf (1984), mengemukakan teori Leksikostatistik dan teori Migrasi bagi mengkaji 
asal usul bangsa dan bahasa Melayu. Setelah mengemukakan hujah tentang kelemahan 
pendapat terdahulu seperti: Reinhold Foster (1776), William Marsden (1843), John 
Crawfurd (1848), J.R. Logan (1848), A.H. Keane (1880), H.K. Kern (1889), Slametmuljana 
(1964), dan Dyen (1965) beliau mengambil kesimpulan bahawa "...negeri asal (tanahair, 
homeland) nenek moyang bangsa Austronesia haruslah daerah Indonesia dan Filipina 
(termasuk daerah-daerah yang sekarang merupakan laut dan selat), yang dulunya 
merupakan kesatuan geografis". 


 Bukti Penemuan Sejarah 

Jika ditinjau dari sudut ilmu kaji purba pula, penemuan tengkorak yang terdapat di 
Nusantara ini memberi petunjuk bahawa manusia telah lama ada di sini. Penemuan 
tersebut di antara lain ialah: 
1. Pithecanthropus Mojokerto (Jawa), yang kini berusia kira-kira 670,000 tahun. 
2. Pithecanthropus Trinil (Jawa), kira-kira 600,000 tahun. 
3. Manusia Wajak (Jawa), kira-kira 210,000 tahun.