Monday, October 27, 2014

FUNGSI –nya DALAM AYAT



Dalam Tatabahasa Dewan (1993), -nya merupakan kata ganti nama diri orang ketiga yang diletakkan pada akhir kata sahaja. Ganti nama diri ketiga, -nya digunakan apabila kita tidak mahu menyebut nama orang yang kita bercakap tentangnya sekali atau berulang-ulang kali. Sebagai contoh:

1. Saya amat simpati akan dirinya. (Saya sangat simpati akan Aina.)

2. Saya memarahi Ahmad kerana dia telah memecahkan pasunya yang mahal itu. (Saya memarahi Ahmad kerana dia telah memecahkan pasu dia yang mahal itu.)
Fungsi –nya juga dapat digantikan dengan dia atau beliau. Sebagai contoh:

3. Hantar beg itu kepadanya. (Hantar beg itu kepada dia/beliau.)

4. Doktor Aliff telah menghantar surat peletakan jawatan kepada majikannya. (Doktor Aliff telah menghantar surat peletakan jawatan kepada majikan beliau.)


Penggunaan –nya yang merujuk kepada Tuhan, ditulis dengan huruf besar dan didahului oleh tanda sempang (-). Penggunaannya terdapat dalam doa, seperti;

5. “Hanya kepada-Nya tempat aku mengadu dan bermohon.”

\Fungsi –nya sebagai kata tugas dalam Tatabahasa Dewan terdiri daripada kata penekan dan kata pembenda. –nya sebagai kata penekan memberikan penegasan kepada kata yang bergabung dengannya. –nya jenis ini juga digolongkan sebagai –nya penegas. Misalnya:

6. Sesungguhnya, budak itu telah difitnah sebelum ini.

7. Pokok kelapa itu nampaknya akan tumbang.

8. Bahawasanya, tuntutan saman itu perlu diteruskan bagi membersihkan nama baik kita.

Kata pembenda menurut Tatabahasa Dewan ialah bentuk kata yang menjadikan sesuatu perkataan yang bukan daripada kata nama sebagai kata nama. Sebagai contoh –nya sebagai kata pembenda yang hadir pada akhir kata sifat itu mengubahkan kata sifat itu menjadi kata nama.
Contohnya:

9. Bukan kepalang rindunya kepadaku.

10. Dia menolak batang kelapa itu dengan kuatnya.

Fungsi –nya pada akhir kata nama membawa makna milik. Contohnya:

11. Kunci keretanya telah hilang.

12. Rumah di atas puncak bukit itu rumahnya.

Penggunaan –nya dalam ayat berfungsi sebagai objek kata kerja transitif.

13. Lebai Musa telah menutupnya  dengan papan.

14. Moin telah mengecatnya setelah didesak oleh ibunya.

15. Halim menumbuknya beberapa kali.
Perkataan –nya juga digunakan untuk merujuk kepada perkataan atau perkara yang dinyatakan sebelumnya. Pada mulanya, Ahmad hanya mengharapkan dia lulus sahaja dalam peperiksaan itu. Namun, harapannya bertukar apabila melihat abangnya telah memperoleh ijazah kelas pertama.
Fungsi –nya dapat pula merujuk kepada penyertaan. –nya membawa makna ‘berserta’ atau ‘bersama-sama’.

16. Siapakah yang belajar dengannya semalam.
 
17. Ridzuan sedang bergurau dengannya di depan rumah.
-nya juga menunjukkan manfaat. Ada pihak lain yang mendapat manfaat daripada sesuatu perbuatan.\

18. Sudin menghadiahkan jam tangan yang mahal kepadanya.

19. Ibu memasakkan bubur untuk tetamunya.
Penanda wacana juga menggunakan –nya.

20. Kita mestilah berfikir semasak-masaknya apabila membuat pilihan. Seandainya, kita salah membuat pilihan, maka musnahlah impian kita.

21. Kesimpulannya, semua pihak perlulah bekerjasama untuk menjayakan wawasan negara.

Kesilapan dalam penggunaan –nya.

1. Kata ganti diri ketiga ia dan nya tidak boleh digabungkan menjadi ‘ianya’.
Contoh:
a. Penagihan dadah dalam kalangan pelajar perlu dibanteras segera kerana bimbang ianya akan menular. (X)
b. Penagihan dadah dalam kalangan pelajar perlu dibanteras segera kerana bimbang perbuatan itu akan menular. (√)

2. Ayat yang hendak dipasifkan, bentuk –nya harus digantikan dengan kata atau frasa nama yang utuh. Binaan ayat tidak dapat diterima, jika –nya tidak digantikan. Rujuki ayat 22 dan 24 di bawah ini.
                22. Nya telah ditutup oleh Lebai Musa dengan papan (X)
                23. Lubang telah ditutup oleh Lebai Musa dengan papan. (√)
                24. Nya telah dicat oleh Moin setelah didesak oleh ibunya. (X)
                25. Bilik telah dicat oleh Moin setelah didesak oleh ibunya. (√)
                26. Nya ditumbuk oleh Halim beberapa kali. (X)
                27. Ahmad ditumbuk oleh Halim beberapa kali. (√)

SUMBER :cenderabahasa bil.2 JPNPP

 

Sunday, October 26, 2014

Model peringkat-peringkat proses kaunseling (Model Brammer)



Brammer (1973) pula mengatakan bahawa proses kaunseling mempunyai lapan peringkat iaitu

1.                  Penyediaan dan kemasukan

2.                  Penjelasan tentang mengapa klien memerlukan kaunseling

3.                  Menstruktur atau merangka proses kaunseling selanjutnya seperti bagaimana kaunselor dan klien dapat bekerjasama, had-had masa, peranan masing-masing, membuat perjanjian, iaitu kedua-dua akan berusaha mencapai matlamat.

4.                  Perhubungan mesra/membina perhubungan

5.                  Penerokaan masalah klien

6.                  Pengukuhan apabila klien mengamalkan kemahiran-kemahiran baru

7.                  Perancangan yang rasional

8.                  Penamatan iaitu merumuskan pencapaian.

Saturday, October 25, 2014

Model peringkat-peringkat proses kaunseling (Model Gibson dan Mitchell)



Gibson dan Mitchell (1990) pula meringkaskan proses kaunseling kepada hanya empat peringkat sahaja iaitu

1.                  Membina hubungan

Kaunselor dan klien membina hubungan yang menolong. Di peringkat ini kaunselor perlu mengambil inisiatif untuk wujudkan suasana yang kondusif, hormat menghormati, percaya mempercayai dan terbuka.

2.                  Penerokaan dan mengenalpasti masalah

Hasil dari perhubungan menolong yang telah terbina, klien akan meluahkan masalahnya dengan mendalam. Kaunselor bertanggung jawab untuk membantu dan merangsang klien untuk terus berkongsi pengalaman supaya penilaian yang lebih tepat dapat dibuat.

3.                  Rancangan untuk menyelesaikan masalah

Apabila kaunselor telah pasti semua maklumat mengenai masalah klien telah diperolehi dan difahami serta klien pula telah menerima kenyataan bahawa sesuatu perlu dilakukan bagi mengatasi masalahnya maka rancangan untuk menyelesaikan masalah klien boleh dimulakan.

Kaunselor perlu membantu klien untuk mencari sebanyak mana penyelesaian yang mungkin.

4.                  Aplikasi penyelesaian dan penamatan

Pada peringkat ini, klien bertanggung jawab untuk melaksanakan rancangan penyelesaian yang telah dipersetujui. Kaunselor pula sentiasa memberikan galakan dan dorongan kepada klien. Kaunselor juga perlu membuat tindakan susulan supaya perkembangan klien dapat dimantau. Setelah klien dapat berdiri atas kaki sendiri, hubungan kaunseling boleh ditamatkan.

Friday, October 24, 2014

Model peringkat-peringkat proses kaunseling (Model Mizan dan Halimatun)



Mizan dan Halimatun (2002) juga telah membahagikan proses kaunseling kepada enam langkah iaitu

1.         Menyediakan Prasesi

            Bagi klien yang datang dan membuat temu janji, kaunselor perlu bersedia untuk mengetahui serba sedikit tentang profil klien demi memudahkan kaunselor membentuk hubungan dan memberikan pertolongan.

2.         Membina Hubungan; Melayan, Mendengar dan Memahami

            Kejayaan membina hubungan yang baik dengan individu yang meminta pertolongan adalah penting dalam memulakan sesi kaunseling. Kaunselor boleh mengujudkan hubungan yang baik ini dengan menunjukkan tingkah laku tanpa lisan yang mesra, menunjukkan keinginan menolong, mendengar perkara yang diperkatakan, mendengar luahan perasaan, tidak cepat membuat penilaian dan cuba memahami klien.

3.         Meneroka dan Menganalisis Masalah

Permasalahan yang dikemukakan oleh klien perlu diteroka. Tujuannya ialah supaya kaunselor dan klien dapat memahami permasalahan berkenaan dengan betul dan objektif khususnya dari aspek pemikiran, perasaan dan perlakuan klien.

4.         Mengenalpasti Punca Masalah

            Klien perlu dibantu supaya dia dapat melihat di mana punca masalah bagi memudahkan proses intervensi dilakukan. Ini kerana masalah selalunya kompleks dan berkait-kait sehingga tidak dapat dipastikan yang mana punca utama dan yang mana masalah sampingan.

            Di peringkat ini juga kaunselor dan klien berbincang mengenai pilihan atau alternatif yang boleh digunakan bagi mencapai matlamat kaunseling.

5.         Mengambil Tindakan

Pilihan atau alternatif yang telah dipilih perlu disusuli dengan tindakan iaitu klien akan melaksanakan pilihan yang telah dipersetujui bagi mengatasi masalahnya.

6.         Menamatkan Sesi

Penamatan dilakukan pada setiap sesi atau setelah permasalahan klien dapat diuruskan.

Thursday, October 23, 2014

Model peringkat-peringkat proses kaunseling (Model Lewis)



Lewis (1972) membahagikan proses kaunseling kepada lima tahap iaitu

1.         Menentukan tujuan/matlamat klien iaitu sebab mengapa dia memerlukan perkhidmatan kaunseling.

2.         Memberi definisi/penerangan tentang proses kaunseling

3.         Penerangan dan pemahaman tentang keperluan klien

4.         Kemajuan ke arah mencapai matlamat

5.         Membuat kesimpulan dan rancangan untuk masa depan klien berdasarkan pengalamannya semasa proses kaunseling sebelum menamatkan sesi kaunseling.