Showing posts with label
Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah.
Show all posts
Showing posts with label
Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah.
Show all posts
- Pengayaan
merupakan strategi untuk meluaskan pengetahuan dan pengalaman, di samping
mengukuhkan kemahiran yang dipelajari.
- Menurut Marzukhi Nyak Abdullah (1994),
proses ini memberi peluang kepada murid mengembangkan sifat ingin tahu,
semangat berdikari, daya kreativiti, dan semangat kepimpinan.
- Namun, penekanan
yang diberikan berbeza-beza mengikut tahap kebolehan, keupayaan, bakat, dan
minat pelajar.
Contoh Aktiviti
- Contoh
bagi aktiviti pengayaan adalah seperti bacaan tambahan, kerja-kerja projek,
serta permainan dan rekreasi.
- Aktiviti bacaan tambahan yang boleh dijalankan seperti
membaca buku cerita, majalah, risalah, atau kad bacaan yang mengandungi tema
yang sesuai.
- Kerja-kerja projek pula seperti mengadakan lawatan, perlaksanaan
minggu bahasa, membuat laporan, menulis cerita, dan sebagainya.
- Guru juga boleh
melakukan aktiviti permainan dan rekreasi seperti mencari benda tersembunyi,
teka silang kata, meneka bunyi, permainan sahiba, dan lain-lain.
- Guru hendaklah
mencipta aktiviti yang boleh melahirkan pemikiran kreatif dan kritis pelajar.
- Peluang
sama rata kepada pelajar juga perlu diberikan, bagi mengembangkan sifat kepimpinan
sosial yang sedia ada.
- Hal ini seterusnya, akan meningkatkan keyakinan dan jati
diri dalam diri pelajar.
- Pemulihan
ialah strategi untuk membantu murid yang bermasalah dalam penguasaan sesuatu
kemahiran atau aktiviti pelajaran.
- Guru hendaklah menyedari perbezaan kebolehan
murid yang cepat, sederhana atau lambat menguasai sesuatu kemahiran atau
menerima sesuatu isi kandungan pelajaran yang diajar (Marzukhi Nyak Abdullah, 1994).
- Proses
ini untuk membantu murid yang bermasalah pembelajaran atau bermasalah dalam penguasaan
kemahiran asas 3M (Ab. Rahman Ab. Rash, Yap Kim Fatt, dan Ad. Rahim Selamat, 1997).
- Sekiranya murid itu mempunyai masalah berat dalam penguasaan kemahiran
tersebut, dia perlu dimasukkan ke kelas khas yang diajar oleh guru khas pemulihan.
- Selain
itu, murid-murid perlu didedahkan dengan bahan-bahan, kaedah dan gerak kerja
yang bersesuaian berdasarkan masalah dihadapi. Contohnya, guru memberikan
latihan pengukuhan untuk dijadikan kerja rumah.
- Guru juga boleh menggunakan
tenaga murid pintar untuk mengendalikan gerak kerja pengukuhan melalui
pembelajaran rakan sebaya.
Konsep Penilaian
- Penilaian
bertujuan mendapat maklumat tentang kesan dan pencapaian objektif pengajaran
atau pembelajaran, berdasarkan perlaksanaan pengajaran. Dalam sistem penilaian
KBSR, tahap satu mementingkan penilaian kemahiran asas 3M, sementara tahap dua
pula mengutamakan penilaian mengenai perkembangan murid secara menyeluruh,
bersepadu dan seimbang dalam aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani, selaras
dengan FPK (Ab. Rahman Ab. Rash, Yap Kim Fatt, dan Ad. Rahim Selamat, 1997).
Jenis Proses Penilaian
- Strategi
penilaian terbahagi kepada dua jenis. Pertama, penilaian formatif iaitu
penilaian serta-merta untuk mengesan penguasaan kemahiran yang baru disampaikan.
Ujian digunakan untuk mengetahui tentang seseorang (Tuckman, 1975). Contoh
ujian yang boleh dibuat, seperti dalam bentuk lisan (termasuk bacaan atau kuiz),
pemerhatian, amali atau menjawab soalan bertulis. Menurut Marzukhi Nyak
Abdullah (1994), guru hendaklah mengesan kemajuan murid dalam unit pembelajaran
yang diajar, di samping dapat mengesan perkembangan pembelajaran murid-murid.
Oleh itu, guru mengetahui penguasaan murid dalam kemahiran yang diajar dan juga
nilai yang ditanamkan dalam pengajaran. Murid juga mengetahui kelemahan mereka
dan berusaha untuk segera mengatasinya.
- Kedua
iaitu penilaian sumatif yang bertujuan untuk mengetahui keseluruhan tahap pencapaian
murid di akhir pembelajaran. Matlamat utamanya untuk memberi markah atau gred
kepada seseorang murid dan biasanya dijalankan di akhir penggal. Markah akan diserahkan
kepada penjaga. Daripada maklumat pencapaian, guru dapat mengenal pasti dan
menilai keberkesanan bahan, teknik dan kaedah pengajaran. Penilaian ini juga digunakan
oleh guru untuk menentukan siapa yang memerlukan aktiviti pemulihan atau penggayaan
(Ab. Rahman Ab. Rash, Yap Kim Fatt, dan Ad. Rahim Selamat, 1997).
Konsep
- Penyerapan
merupakan proses menyerapkan dan menyatukan ilmu pengetahuan daripada beberapa
mata pelajaran ke dalam satu mata pelajaran bahasa.
Jenis penyerapan
- Proses
ini merangkumi beberapa jenis penyerapan. Pertama iaitu penyerapan pengetahuan
atau isi pelajaran. Dalam tahap satu,
penyerapan mata pelajaran Alam dan Manusia seperti isi pengetahuan yang
berkaitan alam sekitar, tumbuhan, haiwan, kemanusiaan, kemasyarakatan, dan
kesihatan, diserapkan dalam pelajaran bahasa. Murid akan memperoleh pengetahuan
dalam isi kandungan mata pelajaran Alam dan Manusia, di samping dapat menguasai
kemahiran bahasa. Beberapa mata pelajaran lain seperti Agama, Moral, Muzik,
Seni, Pendidikan Jasmani, juga boleh diserapkan ke dalam mata pelajaran bahasa
(Marzukhi Nyak Abdullah, 1994). Pengajaran akan lebih kukuh sekiranya
penyerapan pengetahuan diserapkan.
- Jenis
penyerapan yang kedua iaitu penyerapan nilai murni dan kewarganegaraan. Semangat kewarganegaraan dan nilai
murni masyarakat yang berlandaskan kepada Rukun Negara, hendaklah diserapkan
dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa. Hal ini selaras dengan objektif
Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu sekolah rendah. Penyerapan nilai tersebut boleh
diserapkan pada bila-bila masa ketika sesi pengajaran dan pembelajaran.
- Ketiga
iaitu penyerapan kemahiran berfikir dan kemahiran nilai tambah. Kemahiran berfikir perlu diserapkan dalam
aktiviti pengajaran. Contoh-contoh kemahiran berfikir yang boleh diserapkan
dengan pelajaran bahasa ialah menentukan urutan, meramalkan, menyelesaikan
masalah dan lain-lain. Namun demikian, kemahiran nilai tambah seperti kemahiran
teknologi maklumat dan komunikasi kemahiran belajar cara belajar, kajian masa
depan, kecerdasan pelbagai, pembelajaran kontruktivisme, dan pembelajaran konteksual
juga perlu diserapkan dengan mengambil kira kesesuaiannya dengan hasil
pembelajaran, kebolehan murid serta sumber yang ada. Pemilihan bahan perlulah
sesuai dan hal ini dapat mengelakkan kebosanan di kalangan murid (Marzukhi Nyak
Abdullah, 1994). Murid memperolehi pengetahuan dan pengalaman secara tidak
lansung, di samping mempelajari kemahiran bahasa.
Rasional proses penyerapan
- Menurut
Ab. Rahman Ab. Rash dan rakan-rakannya (1997), rasional penyerapan dilihat
menerusi dua aspek pendidikan iaitu aspek pembelajaran dan aspek komunikasi.
- Melalui
aspek pembelajaran, proses ini membantu murid menambahkan kefahaman dan
kemahiran, dengan mematuhi arahan dan peraturan. Guru juga dapat membentuk
sikap ingin menambah ilmu pengetahuan serta meluaskan ruang untuk meneroka
bidang ilmu yang diminati. Corak pemikiran yang terbuka dan rasa ingin tahu
juga dapat dipupuk dalam diri pelajar. Seterusnya, guru dapat membentuk
pemikiran yang rasional, logik, objektif dan positif kepada murid.
- Menerusi
aspek komunikasi, guru dapat membantu murid dalam menguasai pengetahuan
mengenai penggunaan perbendaharaan kata, pemilihan laras bahasa, tatabahasa,
penggunaan intonasi yang sesuai dan perlakuan bukan bahasa yang lain mengikut
konteks. Hal ini selaras dengan objektif dan matlamat sukatan pelajaran yang
digubalkan. Murid akan memahami serta mengamalkan aspek nilai dan tingkah laku yang
sesuai demi memperkembangkan diri serta memastikan mereka diterima rakan sebaya
dan masyarakat.
Konsep
- Penggabungjalinan
bermaksud pengintegrasian pelbagai kemahiran untuk menghasilkan pelajaran yang
bersepadu dan menyeluruh.
- Strategi ini
bertujuan mengukukuhkan kemahiran antara satu sama lain dan menjadikan aspek
pembelajaran saling melengkapi dalam sesuatu pelajaran, agar pembelajaran tersebut
lebih menarik dan bermakna (Kamarudin Haji Husin, 1990).
- Penggabungjalinan
berlaku antara kemahiran berbahasa daripada bidang berlainan (inter bidang)
atau bidang yang sama (intra bidang).
Aspek
yang digabungjalinkan
- Pertama,
aspek kemahiran bahasa seperti kemahiran lisan, membaca, dan menulis. Guru tidak
menggabungjalinkan semua kemahiran dan isi pelajaran dalam satu pengajaran, Raminah
Sarban dan Rahim Syam (1987:67). Kemahiran-kemahiran akan digabungkan sekurang-kurangnya
dua atau lebih dalam suatu proses pengajaran dan pembelajaran.
- Kedua
iaitu aspek tatabahasa. Aspek ini digabungkan secara teratur dan tersusun
semasa guru menekankan kemahiran bahasa. Aspek ini akan melahirkan murid yang
berdisiplin, kerana mereka akan mengikut peraturan tatabahasa.
- Ketiga
iaitu aspek kosa kata dan peribahasa juga perlu digabungkan dengan aktiviti
kemahiran bahasa. Contohnya, melalui aktiviti lakonan atau perbahasan, membaca
teks yang mengandungi peribahasa dan kosa kata (sama ada umum atau istilah), atau
melalui latihan penggunaan kosa kata dan peribahasa yang betul dalam pelbagai
genre penulisan.
Prinsip
penggabungjalinan
- Terdapat
prinsip-prinsip dalam strategi penggabungjalinan. Antaranya ialah guru harus
menentukan terlebih dahulu kemahiran utama yang mahu ditekankan dalam sesuatu
pengajaran.
- Guru hendaklah memikirkan kemahiran sampingan yang bersesuaian
untuk menjadikan pengajaran dan pembelajaran yang menarik.
- Kemahiran utama akan
menjadi fokus utama pembelajaran, manakala kemahiran sampingan akan menjadi
fokus sampingan pembelajaran.
- Aras pengajaran dan aktiviti pelajaran
berdasarkan kebolehan dan pencapaian murid.
- Guru boleh menggabungjalinkan apa
jua sekalipun yang bersesuaian, berdasarkan sukatan pelajaran, asalkan mencapai
objektif.
Bentuk Penggabungjalinan
- Strategi
penggabungjalinan dibahagikan kepada tiga bentuk iaitu penggabungjalinan
kemahiran, bahan dan aktiviti (Kamarudin Haji Husin, 1990).
- Di dalam bentuk penggabungjalinan kemahiran, terdapat
dua jenis gabungjalin, iaitu penggabungjalinan kemahiran daripada beberapa mata
pelajaran ke dalam satu pelajaran dan penggabungjalinan kemahiran daripada
beberapa mata pelajaran ke dalam satu
pelajaran.
- Bagi penggabungjalinan kemahiran dalam satu mata
pelajaran, guru boleh menggabungkan semua atau beberapa kemahiran bahasa ke dalam
satu pengajaran. Guru harus memastikan aktiviti pengajaran saling berkait rapat
dan berjalan dengan lancar (Suradi Salim, 1980).
- Bagi penggabungjalinan kemahiran daripada beberapa mata
pelajaran ke dalam satu pelajaran pula, contohnya seperti dalam satu pelajaran
bahasa, kemahiran bahasa digabungjalinkan dengan kemahiran pendidikan seni dan
muzik. Kemahiran bahasa menjadi kemahiran fokus, manakala kemahiran pendidikan
seni dan muzik, menjadi kemahiran sampingan.
- Penggabungjalinan bahan pula melibatkan jenis bahan atau
tema yang digunakan, Kamarudin Hj Husin (1990). Bahan-bahan itu terdiri
daripada bahan utama (petikan), bahan ransangan (bahan sokongan) dan bahan
lisan (aksi rakaman). Contoh bahan utama adalah seperti rencana, ucapan,
laporan, dan sebagainya. Contoh bagi bahan ransangan pula ialah gambar, carta,
graf, rajah, dan data. Manakala, bahan lisan pula terdiri daripada rakaman
ucapan, wawancara, lakonan, ceramah, dan lain-lain. Berdasarkan contoh, guru
boleh menggabungkan sekurang-kurangnya dua jenis bahan atau ketiga-tiga jenis
bahan dalam satu pengajaran. Namun begitu, guru mestilah memastikan bahan mempunyai
pertalian dan urutan yang baik serta boleh digabungjalinkan dengan berkesan. Contoh
aktiviti ialah guru memberikan teks berita kepada murid, kemudian murid membuat
ulasan mengenai berita tersebut.
- Seterusnya
ialah penggabungjalinan aktiviti. Menurut Kamarudin Hj Husin (1990), dalam
perlaksanaan penggabungjalinan aktiviti, guru mestilah meneliti jenis aktiviti
yang saling berkait dan boleh digabungjalinkan. Terdapat tiga jenis aktiviti
yang boleh dilakukan. Pertama, aktiviti lisan seperti perbualan, temuramah,
bercerita, lakonan, dan sebagainya. Contoh aktiviti kedua pula iaitu aktiviti
bacaan dan kefahaman. Misalnya, mengesan isi penting, memberi makna perkataan
atau rangkai kata, membina ayat, dan lain-lain. Ketiga, aktiviti tulisan
seperti mencatat isi, membuat karangan, laporan, atau berita. Guru boleh
menggabungjalinkan sekurang-kurangnya dua atau ketiga-tiga jenis aktiviti. Semasa
melaksanakannya, guru mesti memastikan aktiviti-aktiviti itu saling berkait.
- Jadi,
menerusi strategi penggabungjalinan ke dalam satu mata pelajaran bahasa,
pelbagai kemahiran dapat disampaikan secara harmoni dan bersepadu. Strategi ini
dapat mengelakkan kebosanan pelajar terhadap pelajaran, jika hanya satu
kemahiran sahaja diajarkan. Interaksi antara guru dan murid juga akan lebih
mesra (Ee Ah Meng,1990).