Thursday, October 4, 2012

CONTOH-CONTOH PENDEKATAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BERASASKAN KOMPUTER DALAM PENDIDIKAN


Tutorial
  • Pada asasnya, komputer akan mengajar pengguna sesuatu konsep atau teori yang baru. 
  • Pengguna kemudian akan berinteraksi dengan komputer mengikut kadar kendiri pengguna. 
  • Setelah konsep-konsep tertentu dipersembahkan kepada pengguna dan kefahaman pengguna diukur, komputer kemudian akan mengeluarkan arahan-arahan sama ada berbentuk pengulangan atau pengukuhan berdasarkan maklum balas pengguna.
  • Selain itu, jika dikaitkan dengan P&P Bahasa Melayu juga, sesi tutorial ini boleh dijalankan untuk menunjukkan cara menekan butang yang tertentu sama ada untuk menjawab soalan kefahaman, soalan tatabahasa atau sebagainya. 
  • Murid-murid akan lebih memahami cara yang perlu dilakukan untuk meneruskan perjalanan sesebuah perisian itu di samping memudahkan mereka untuk menggunakan perisian itu secara bersendirian pada bila-bila masa. 
  • Oleh yang demikian, menerusi tutorial yang dipaparkan, pengguna akan memahami apa yang perlu dilakukan semasa menggunakan sesuatu program
  • Di samping itu, menerusi pendekatan tutorial dalam pengajaran berasaskan komputer, komputer akan terlebih dahulu diberikan satu bank maklumat tentang sesuatu subjek dan akan menyampaikan bahan pembelajaran secara urutan dan memberi soalan struktur.
  • Setiap jawapan murid kemudiannya disemak dan maklum balas yang sesuai diberikan. 
  • Dalam tutorial yang baik, komputer akan menganalisis tahap pencapaian murid.
  • Jika mencapai tahap yang dikehendaki, pelajar boleh meneruskan ke tahap yang lebih sukar, jika sebaliknya murid akan disarankan supaya mengulang semula atau pergi ke bingkai bantuan.
  • Oleh yang demikian, guru akan menggunakan pembelajaran tutorial untuk menyampaikan kandungan pembelajaran berdasarkan urutan yang telah ditetapkan. 
  • Pembelajaran tutorial ini merangkumi pembelajaran ekspositori (menyampaikan maklumat kepada murid, demonstrasi sesuatu fenomena, latihan atau latih tubi yang dikawal oleh sistem komputer. 
  • Secara keseluruhannya, perisian berasaskan pembelajaran tutorial ini mengandungi persembahan maklumat, membimbing, memberi latihan serta menilai pencapaian.

Latih tubi
  • Penggunaan pengajaran berasaskan latih tubi dalam pengajaran dan pembelajaran dapat meningkatkan kemahiran dan pengetahuan pengguna. 
  • Motivasi pengguna untuk menguasai sesuatu konsep juga dapat ditingkatkan melalui maklum balas yang diberi oleh komputer. 
  • Contoh pengajaran dan pembelajaran menggunakan pendekatan latih tubi ini ialah menyuruh pengguna berlatih menaip sehingga mahir setelah ia mempelajari tentang papan kekunci.
  • Jika dikaitkan dengan P&P Bahasa Melayu, sesi latih tubi dijalankan selepas guru telah memaparkan isi pembelajaran. 
  • Latih tubi akan dijalankan untuk menguji sejauh mana kefahaman murid mengenai isi pembelajaran yang disampaikan. 
  • Di samping itu, pendekatan latih tubi ini juga merupakan jenis pendekatan yang paling popular untuk tujuan ulangkaji atau bagi pelajar yang lemah di dalam sesuatu konsep.
  • Pelajar diberikan satu demi satu soalan, di mana komputer akan memberikan maklum balas terhadap setiap jawapan yang diberikan. 
  • Dengan ini pelajar akan dapat mengetahui sama ada jawapan yang diberikannya betul atau salah.
  •  Latih tubi membantu pelajar mengingati fakta-fakta yang mudah dan biasanya ia tidak digunakan untuk menyampaikan bahan pembelajaran yang baru.

Permainan Pendidikan
  • Permainan pendidikan ini adalah berorientasikan pembelajaran. 
  • Pelajar akan cuba untuk menyelesaikan masalah dengan menjawab berdasarkan syarat, logik dan hukum tertentu. 
  • Membantu pelajar melatih kemahiran mereka untuk menyelesaikan masalah.
  • Menurut MacFarlane & Sparrowhawk (2002), dalam melaksanakan permainan dalam pengajaran, guru perlu berhati-hati agar objektif permainan adalah sesuai dengan objektif pengajaran. 
  • Pendekatan menerusi perisian permainan yang dijalankan mestilah bermatlamatkan untuk memperoleh objektif pengajaran yang telah dirancang dan bukan hanya untuk hiburan semata-mata. 
  • Oleh yang demikian, murid tidak akan rasa tertekan kerana aktiviti pengajaran telah dimuatkan dengan permainan yang menyeronokkan di samping menguji kefahaman mengenai sesuatu pembelajaran.
  • Selain itu, sesuatu konsep Sains dan Matematik juga dapat dibangunkan menerusi permainan, di mana isi kandungan pelajaran dapat disusun secara bersepadu dengan format permainan yang mengandungi sesuatu set peraturan. 
  • Permainan komputer berupaya menyediakan suatu situasi pembelajaran yang dapat meningkatkan motivasi pelajar. 
  • Ini kerana perisian permainan biasanya mempunyai kombinasi cabaran, menyingkap sikap ingin tahu dan pemikiran kreatif serta menjana pelajar membuat jangkaan dan hipotesis.

Simulasi (simulation)
  • Thomas & Milligan (2004) mendefinisikan simulasi sebagai keadaan atau sistem yang dimodelkan melalui komputer yang mengandungi maklumat tentang bagaimana keadaan atau sistem itu berfungsi. 
  • Kaedah ini digunakan apabila situasi sebenar tidak dapat dijalankan.
  • Contohnya dalam pembelajaran Sains tentang tajuk meosis, adalah lebih berkesan dan menarik jika menggunakan simulasi komputer daripada menggunakan gambar rajah statik untuk menerangkan proses meosis. 
  • Contoh yang diberikan ini juga selaras dengan pendapat Fred & Henry (1994) yang menyatakan bahawa pengajaran dan pembelajaran bagi mata pelajaran Sains yang dijalankan dengan menggunakan komputer, bukan sahaja untuk tujuan pengajaran asas tetapi juga untuk tujuan mengira dan membuat simulasi tentang situasi makmal.
  • Oleh yang demikian, simulasi adalah model yang boleh memberikan gambaran sebenar atau separa sebenar terhadap sesuatu objek, proses atau peristiwa. 
  • Pelajar akan mengambil bahagian secara aktif dalam menentukan apa yang akan berlaku melalui keputusan yang dibuat. 
  • Menerusi kaedah simulasi berbantukan komputer ini, guru juga akan dapat menjimatkan tenaga dan masa dengan hanya menunjukkan simulasi mengenai sesuatu topik pembelajaran kerana murid boleh melakukannya secara kendiri.


No comments:

Post a Comment