Sunday, October 7, 2012

Konsep Teknik Bercerita


  • Teknik ialah cara yang lebih khusus yang dicipta untuk mencapai sesuatu objektif pengajaran. 
  • Teknik boleh dilihat sebagai satu cara khusus untuk membantu dan menjayakan sesuatu kaedah pengajaran. 
  • Pelbagai jenis teknik telah dicipta untuk tujuan pengajaran bahasa seperti teknik bercerita. 
  • Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2005), teknik adalah kaedah mencipta sesuatu hasil seni seperti muzik, karang-mengarang dan sebagainya. 
  • Menurut Edward M. Anthony (1963) pula, teknik adalah satu muslihat atau strategi atau taktik yang digunakan oleh guru yang mencapai hasil segera yang maksimum pada waktu mengajar sesuatu bahagian bahasa tertentu.
  • Mengikut pandangan Kamaruddin Hj. Husin & Siti Hajar Hj. Abdul Aziz (1997), teknik boleh didefinisikan sebagai pengendalian suatu organisasi yang benar-benar berlaku di dalam bilik darjah di mana ia digunakan untuk mencapai sesuatu objektif. 
  • Mok Soon Sang (2002) pula berpendapat, teknik ialah kemahiran guru dalam pengelolaan dan pelaksanaan kaedah pengajaran dalam sesuatu aktiviti pengajaran dan pembelajaran. 
  • Jadi, teknik merupakan suatu alat yang digunakan oleh guru bahasa bagi menyampaikan bahan-bahan pengajaran yang telah dipilih untuk pelajar-pelajarnya. 
  • Teknik yang dipilih pula haruslah sejajar dengan kaedah yang digunakan dan selaras dengan pendekatan yang digunakan.
  • Bercerita pula merupakan suatu seni yang menggunakan bahasa, pergerakan dan mimik muka untuk melontarkan idea dan merangsang daya imaginasi penonton. 
  • Bercerita juga boleh dianggap sebagai seni sastera dan seni teater yang dapat memberikan nyawa kepada perkataan bertulis dalam sesebuah buku (E.Greene, 1976). 
  • Anne Pellowski (1990) pula menjelaskan bahawa bercerita ialah keseluruhan pengalaman sejenak daripada penceritaan lisan dalam bentuk berirama atau prosa yang dipersembahkan atau dipimpin oleh seseorang di hadapan khalayak. 
  • Penceritaan boleh disampaikan secara lisan atau dilagukan dengan iringan muzik, menggunakan gambar, sumber-sumber bercetak atau direkodkan secara mekanikal. 
  • Bercerita menjadi satu cara yang berkesan untuk berkomunikasi sambil berhibur. 
  • Selain itu, bercerita juga menjadi alat untuk memberikan pengajaran, pengetahuan serta perkongsian pengalaman. 
  • Kaedah bercerita ini sesuai digunakan oleh guru pemulihan untuk dijadikan alat bantu mengajar semasa sesi pemulihan.
  • Hal ini kerana, sedikit sebanyak guru pemulihan akan dapat membantu murid menguasai kemahiran bahasa di samping membantu mereka dalam penguasaan 3M.
  • Teknik bercerita merupakan satu teknik untuk menyalurkan sesuatu maklumat melalui perkataan, gambar dan bunyi yang sering kali dilakukan melalui teknik improvisasi. 
  • Cerita atau naratif telah lama dikongsi dalam setiap budaya sebagai hiburan, pelajaran, penyampaian budaya dan menyampaikan nilai-nilai kepada masyarakat. 
  • Hal ini akan menjadikan sesuatu cerita itu berguna kepada murid serta masyarakat dan seterusnya bidang pendidikan dapat melahirkan murid-murid yang mampu membantu dalam pembangunan negara kelak. 

No comments:

Post a Comment