DIALEK
- Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2005), dialek
merupakan satu bentuk bahasa yang digunakan dalam sesuatu daerah atau oleh
ssuatu kelas sosial berbeza daripada bahasa standard, loghat, pelat daerah
(negeri dan lain-lain), seperti Kelantan dan Daerah. Hal ini selaras dengan
pandangan S. Narthesan (2001), dialek adalah sejenis kelainan bahasa, yang
berbeza dari segi sebutan, tatabahasa dan kosa katanya daripada bahasa baku. Abdullah
Hassan (1983) menegaskan, bahasa daerah sering disamakan dengan pengertian
dialek, sebetulnya ini adalah keliru. Istilah bahasa daerah adalah untuk
menamakan semua bahasa-bahasa yang terdapat dalam seluruh wilayah suatu negara
di samping bahasa kebangsaannya. Jika dilihat menerusi sudut linguistik, mereka
sama tinggi darjatnya sebagai bahasa. Namun, dari sudut politik, bahasa daerah
adalah di bawah bahasa kebangsaan.
- Sebagai contoh, setelah bahasa Melayu diangkat menjadi
bahasa kebangsaan di Indonesia, bahasa-bahasa Jawa, Sunda, Bali, Batak serta
Bugis semuanya menjadi bahasa daerah. Dialek pula adalah perpecahan daripada
satu bahasa yang disebabkan oleh faktor-faktor ilmu dalaman atau pembahagian
kerja-kerja dalam masyarakat. Dialek-dialek yang ditimbulkan kerana
faktor-faktor ilmu dinamakan dialek geografi. Sedangkan dialek-dialek yang
ditimbulkan kerana pembahagian kerja dalam masyarakat disebut dialek sosial.
- Dialek adalah bentuk perubahan daripada sesuatu bahasa (Abdullah
Hassan, 1983). Antara dialek-dialek itu terdapat lebih banyak unsur-unsur yang
sama daripada yang berbeza. Perbezaan yang paling menonjol antara dialek-dialek
itu terdapat dalam bidang bunyi ucapan, kemudian baru pada bidang kata-kata,
sedangkan dalam bidang tatabahasa boleh dikatakan banyak perbezaannya.
- Sesuatu dialek itu menunjukkan ciri pemakaian sesuatu
bahasa oleh sekelompok pemakai bahasa. Ahli bahasa beranggapan setiap pemakai
bahasa itu mempunyai ciri-cirinya yang tersendiri. Misalnya, kita tidak akan
menjumpai dua orang yang bercakap sesuatu bahasa yang seluruhnya sama.
Keseluruhan ciri-ciri pemakaian bahasa daripada perseorangan itu dinamakan
ideolek. Ilmu yang mengkaji selok-belok dialek dinamakan dialektologi, namun
kajian-kajian dialek berdasarkan faktor sains dan pemetaannya dinamakan dialek
geografi. Jika dibandingkan dengan dialek geografi, dialek sosial sebetulnya
tidak berapa penting, kerana antara dialek sosial itu biasanya mempunyai
perbezaan yang tidak banyak. Sebagai contoh, untuk raja-raja harus dipakai
kata-kata seperti gering, semayam, mangkat, beradu, bertitah dan sebagainya.
- Abdullah Hassan menyatakan lagi, terdapat dua jenis teori
tentang bagaimana cara sesuatu bahasa berpisah menjadi lebih daripada satu
bahasa atau dialek. Pertama, teori pohon yang diajukan oleh Schleicher. Beliau
berpendapat, sesuatu bahasa itu berkembang menjadi dua, seperti cabang pohon.
Kedua, teori gelombang yang diajukan oleh Schmidt yang mengadakan penelitian
terhadap dialek geografi. Beliau menyanggah anggapan Schleicher dan berpendapat
bahawa bahasa berkembang bukan secara pohon yang bercabang dua setiap kali
tumbuh, malah bahasa berkembang secara gelombang. Semakin jauh jarak sesuatu
gelombang itu, semakin sedikit ciri-ciri persamaannya. Terdapat tiga pecahan
dialek iaitu dialek sosial, dialek daerah dan dialek seketika.
Terima kasih atas perkongsian tersebut. sangat membantu.
ReplyDelete-budak IPG Kampus Rajang-