Friday, December 6, 2013

KEPENTINGAN MENGUASAI BAHASA LAIN SELAIN BAHASA MELAYU

  • PENGUASAAN lebih satu bahasa memberi banyak kelebihan dalam kehidupan dan dunia kerjaya. Kemampuan menguasai lebih satu bahasa selain bahasa ibunda juga mampu meningkatkan keterampilan pada peringkat antarabangsa. Dalam konteks masyarakat majmuk seperti Malaysia, penguasaan bahasa kaum lain seperti Mandarin dan Tamil adalah bertepatan dengan tuntutan semasa.
  • Melalui bahasa yang difahami bersama akan dapat mengeratkan lagi perpaduan serta lebih memahami budaya kaum lain selaras konsep 1Malaysia. Kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Menteri Pelajaran bahawa kerajaan sedia mengkaji cadangan mewajibkan subjek Bahasa Mandarin dan Tamil di Sekolah Kebangsaan (SK) bagi membolehkan murid pelbagai kaum di negara ini menguasai lebih daripada dua bahasa, termasuk bahasa Melayu dan bahasa Inggeris wajar disambut baik. Jika murid di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) mempelajari bahasa Melayu dan Inggeris, tidak ada sebab murid di SK tidak boleh mempelajari bahasa Mandarin dan Tamil serta menguasainya dengan baik. Kita sedia maklum, bahasa Mandarin adalah bahasa paling ramai ditutur di dunia, berdasarkan jumlah penduduk negara China berjumlah 1.3 bilion, manakala India adalah penduduk kedua teramai di dunia, kira-kira 1 bilion yang turut menggunakan bahasa Tamil. Jika ia dilaksanakan murid yang mahu menguasai bahasa Mandarin atau Tamil, tidak saja boleh ke SJKC atau SJKT, mereka juga boleh memperolehnya di SK. Pada masa sama, murid di semua sekolah terbabit dapat berinteraksi dengan lebih berkesan, walaupun mempunyai aliran berbeza, tanpa polarisasi kaum. 
  • Pada masa depan, barangkali kita tidak lagi berasa wujud diskriminasi ketika membaca iklan pekerjaan keperluan menguasai bahasa tertentu oleh majikan sebagai antara syarat utama permohonan. Apapun langkah ini tidak wajar hanya tinggal cadangan atau hanya pada peringkat kajian. Semua aspek berhubung pelaksanaan perlu diberi perhatian serius seperti menyediakan tenaga pengajar mencukupi, memperhalusi kurikulum yang akan diguna pakai, mahupun menentukan mata pelajaran ini dijadikan subjek teras atau wajib lulus. Bagaimanapun, ketika melaksanakan matlamat ini, semua pihak terutama Kementerian Pelajaran sendiri tidak wajar mengabaikan penggunaan bahasa Melayu kerana bahasa itu adalah bahasa kebangsaan yang patut dipelajari semua warga negara ini. Perlembagaan Malaysia, Perkara 152, Akta Bahasa Kebangsaan, dengan jelas menyatakan bahawa bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan bagi negara ini dan ia patut dikuasai semua kaum tanpa mengira asal usul mereka. Semua pihak perlu melihat langkah ini sebagai satu kewajaran dalam perspektif lebih terbuka tanpa prejudis, bukan sebagai retorik politik atau perkauman. Menguasai bahasa bermakna menguasai cabang ilmu dalam bahasa sumber dan ia tidak akan merugikan sesiapa, hatta bahasa Arab, Perancis, Greece dan Parsi yang suatu ketika dulu pernah membina tamadun dunia.
  • hakikatnya, bahasa Inggeris adalah satu kemestian untuk kemajuan tamadun Malaysia. Sering sekali kita cuba mengambil contoh negara-negara maju seperti Jerman dan Jepun yang boleh menggunakan bahasa ibunda pada pendidikan peringkat tinggi. Tetapi kita lupa bahawa negara-negara tersebut telah awal lagi mendahului perkembangan sains dan teknologi sehingga seiring dengan negara-negara yang menggunakan bahasa Inggeris.
  • pelbagai kaum perlu mewujudkan kesedaran dalam menguasai satu atau lebih bahasa seperti bahasa Melayu, Inggeris dan tidak juga lupa sekurang-kurangnya satu lagi bahasa mana-mana satu kaum di Malaysia iaitu Mandarin, Tamil, ataupun bahasa-bahasa lain.
  • Melalui penguasaan bahasa yang pelbagai, anggota bangsa Malaysia boleh berbangga dengan diri sendiri di atas kebolehan multilingual, ataupun setidak-tidaknya bilingual.
  • Walaupun bahasa Inggeris turut ditekankan dalam penguasaan bahasa, ia tidak seharusnya menjejaskan kedudukan bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu.
  • Penerimaan bahasa Inggeris perlu dlm kalangan rakyat Malaysia sebagai bahasa global tanpa menjejaskan menjejaskan status bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu yang menjadi saluran pembinaan bangsa. Sebagai warganegara, setiap orang wajib berbahasa Melayu. Bahasa Melayu bukan sekadar alat komunikasi antara rakyat tetapi juga alat perpaduan. 

No comments:

Post a Comment