Thursday, June 12, 2014

Cadangan Langkah Memartabatkan Bahasa Melayu

Status atau kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pembentukan tamadun bangsa kini makin tercabar di negara kita kerana sikap sesetengah pihak yang memandang remeh terhadap kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar sekali gus meminggirkan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam konteks negara bangsa. Kedudukan bahasa kini mula mengalami perubahan yang ketara apabila bahasa Inggeris mula digunakan dalam kehidupan seharian. Pelbagai usaha telah, sedang, dan akan dijalankan bagi mempertahankan dan memantapkan kedudukan penggunaan bahasa Melayu agar tidak lenyap di telan zaman.
     Antara cadangan yang boleh diambil dan dilakukan oleh semua pihak adalah seperti mempertahankan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar untuk semua mata pelajaran di sekolah rendah, menengah, dan menolak sebarang tuntutan untuk kembali kepada dasar PPSMI. Mengambil tindakan segera untuk menjadikan pembelajaran bahasa Melayu pada peringkat prasekolah, sekolah rendah dan menengah sebagai pengalaman yang menarik, berkesan dan memikat dengan menggunakan pelbagai bahan kreatif dan inovatif. Selain itu pihak yang terlibat boleh menyediakan latihan dalam perkhidmatan kepada semua guru untuk membolehkan mereka mencapai tahap penguasaan bahasa Melayu yang tinggi. Sistem pendidikan kebangsaan juga boleh menyusun strategi bagi merealisasikan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan rakyat di Malaysia.
     Peribahasa ada mengatakan bahawa ‘tak kenal maka tak cinta’. Peribahasa ini jelas menunjukkan bahawa perlunya proses mengenali sebelum mencintai sesuatu. Begitu juga dengan bahasa kita. Apabila mengenali bahasa kebangsaan kita, kita akan sentiasa dapat menyemai sikap cintakan negara walau ke mana pun kita pergi. Sebagai contoh, jika kita berpeluang untuk ke negara luar, kita seharusnya memperkenalkan bahasa Melayu dan berbangga apabila bertutur dalam bahasa ini. Jika sudah terbiasa, maka semakin tinggilah penghargaan kita terhadap bahasa kebangsaan ini.
     Selain itu, Malaysia juga sedang berusaha untuk merealisasikan Wawasan 2020. Dalam menjayakan wawasan ini, kita seharusnya mempunyai identiti sendiri yang mampu menaikkan nama negara di mata dunia. Rakyat Malaysia yang memasuki pertandingan atau perlawanan sukan hingga ke peringkat antarabangsa seharusnya mempromosikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan kita.
     Langkah seterusnya ialah dengan melaksanakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah secara berperingkat-peringkat. Dalam mengejar era globalisasi ini, elemen yang membantu kepada agenda pembinaan negara bangsa ialah sistem pendidikan yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantarnya. Dalam usaha memperkasakan bahasa kebangsaan, peranan guru amatlah mustahak kerana melalui pendidikan murid-murid perlu disedarkan mengenai kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa perpaduan dan bahasa komunikasi di Malaysia. Selain itu, tanggungjawab pemimpin institusi pendidikan, pensyarah dan guru adalah untuk menyemai semangat cintakan bahasa kepada generasi muda Malaysia supaya mereka fasih berbahasa Melayu, menghormati dan berbangga dengan bahasa Melayu yang menjadi cerminan sebagai identiti rakyat Malaysia.
     Antara lain, penghayatan, pemahaman dan kepekaan dalam bahasa Melayu harus diperjuangkan sebagai bahasa kebangsaan yang moden dan bahasa ilmu dalam usaha pembinaan negara bangsa menjadi arus yang selaras dengan arus globalisasi itu sendiri. Kerjasama seluruh lapisan masyarakat amat diperlukan bagi menjaya dan mewujudkan negara bangsa yang unggul ini. Bagi mencapai tahap ketinggian, keindahan bahasa sebagai lambang estetika dalam berbahasa memerlukan pengorbanan dan pengabdian terhadap seni bahasa itu atau perasaan cinta terhadap seni bahasa tersebut. Seiring dengan wawasan ini, kita harus bersedia untuk menguasai bahasa Melayu dan bahasa-bahasa lain.
     Kesimpulannya, jelas sudah kita lihat betapa pentingnya peranan bahasa dalam membina tradisi keilmuan. Oleh itu, bahasa Melayu harus diperjuangkan dan diletakkan sebagai bahasa saintifik serta diguna pakai dalam sistem pendidikan, pentadbiran malahan dalam semua agenda negara. Kita juga harus ingat bahawa bahasa Melayu ini bukan sahaja berperanan sebagai bahasa saintifik malah sebagai satu wahana buat masyarakat Malaysia bagi menyatupadukan pelbagai kaum dalam usaha mencapai perpaduan nasional seperti yang diharapkan dahulu. Oleh yang demikian, kita sebagai penutur asli bahasa ini seharusny berusaha untuk mengekalkan bahasa ibunda kita supaya tidak lapuk dek zaman dan terus menjadi bahasa yang dihormati oleh orang lain.


No comments:

Post a Comment