Wednesday, June 11, 2014

Di manakah Kedudukan Bahasa Melayu?

Bahasa Melayu secara jelasnya merupakan bahasa ilmu dan bahasa pengucapan intelektual akan terhakis sehingga tidak mustahil bahasa Melayu hanya dikenali sebagai bahasa komunikasi sehari-hari. Situasi itu berlaku kerana kurangnya pengertian terhadap peranan bahasa melayu dalam pembentukan konsep kebangsaan dan kenegaraan walaupun bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi sudah pun dinobatkan dalam ‘Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.’
     Seperti yang sedia kita maklum, bahasa Melayu menjadi lambang yang singnifikan bagi kewujudan entiti politik, jati diri dan perpaduan negara. Oleh itu, kita sewajarnya akur dan bangga kerana dengan adanya kekuatan bahasa Melayu maka terbentuklah kesatuan sikap, pemikiran, sistem nilai pandangan dalam kalangan rakyat Malaysia. Justeru, kita warga negara Malaysia seharusnya berbangga kerana memiliki bahasa sendiri, iaitu bahasa Melayu yang mampu mendukung budaya bangsa, berkembang seiring dengan perkembangan ilmu pengetahuan.
     Bahasa Melayu adalah lambang bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa pemersatuan negara Malaysia. Hasrat ini jelas terungkap di dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Melalui perkara ini, Bahasa Melayu telah dipilih sebagai lambang jati diri warganegara Malaysia. Hal ini penting kerana setiap negara mempunyai bahasanya sendiri. Contohnya negara Jerman dengan bahasa Jermannya, bahasa Jepun dengan bahasa Jepunnya dan negara-negara yang lain. Oleh itu jelaslah, bahasa Melayu berperanan sebagai lambang negara Malaysia di persada dunia. Jelas sekali bahawa peranan bahasa Melayu dalam mencorakkan jati diri warga Malaysia begitu besar cabarannya. Justeru, aspirasi dan misi nasional dalam membentuk negara bangsa Malaysia yakni menyatupadukan warganya tidak menampilkan semangat waja untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang sepatutnya menjadi kebangaan negara kita.
     Pada zaman milennium ini, bahasa Melayu seolah-olah hilang jati dirinya. Jati diri bahasa ini hilang dibawa pergi oleh sikap penuturnya sendiri. Sebagai contoh, pendidikan di sekolah begitu menitik beratkan bahasa dagang iaitu bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantarnya. Guru-guru cemerlang di sekolah-sekolah yang hebat acap kali menggunakan bahasa asing sebagai wadah komunikasi antara mereka. Lihatlah, jika penuturnya sendiri melupakan bahasa lambang perpaduan ini, maka dapatlah kita lihat di mana kedudukan bahasa Melayu di mata dan hati mereka. Silibus di sekolah juga banyak menggunakan bahasa Inggeris sehinggakan anak-anak di bandar mudah menguasai bahasa itu berbanding bahasa ibunda mereka sendiri. Jika ditelusuri peristiwa yang lalu, kita dapat lihat begitu mudahnya program PPSMI dijalankan. Pelaksanaan program ini sedikit sebanyak telah menjejaskan kedudukan bahasa Melayu sekaligus mengangkat martabat bahasa asing di tempat kita. Bagaimana ini boleh berlaku? Jawapannya mudah sekali, kerana kurangnya rasa cinta dan bangga dengan bahasa utama, bahasa ibunda kita. Pelaksanaan PPSMI ini telah menjangkiti anak muda dari sekolah menengah lanjut ke insititusi pengajian tinggi. Apabila dari awal bahasa Inggeris diterapkan dalam diri mereka, maka timbullah komunikasi dalam bahasa asing itu. Mereka lebih gemar bertutur dalam bahasa asing berbanding dengan bangganya untuk bertutur dalam bahasa asli. Jika perkara ini tidak diubah, maka orang luar akan beranggapan bahawa kita lebih selesa untuk bertutur dalam bahasa asing.
     Selain daripada sudut pendidikan, kita juga boleh lihat bagaimana kedudukan bahasa Melayu dalam bidang ekonomi. Institusi perbankan, insurans, kilang dan golongan elit dalam bidang ini juga rata-ratanya menggunakan bahasa asing sebagai bahasa utama. Jika disoal mengapa bahasa itu yang diagungkan, maka keluarlah jawapan ‘mahu memudahkan urusan dengan negara luar.’ Jika dilihat, apabila menjalankan sebarang urusan dengan pihak luar, ini merupakan cabang yang terbaik untuk meluaskan pengaruh bahasa Melayu, namun sayangnya, kita lebih mengagungkan bahasa asing itu sendiri. Gabenor bank negara sendiri dengan bangganya bertutur fasih dalam bahasa asing ketika menjalankan sebarang urusan berkaitan ekonomi. Urusan yang dijalankan berasaskan ekonomi sering kali mengangkat bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Ada juga terjadi apabila syarat utama untuk memohon kerja dalam bidang ini memerlukan subjek cemerlang bahasa Inggeris manakala bahasa ibunda kita dibiarkan sepi tanpa pengiktirafan.
     Seterusnya mari kita lihat kepada sektor kerajaan serta wahana politik dalam menentukan kualiti penggunaan bahasa Melayu. Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan berperanan sebagai wahana politik dalam menentukan kualiti penggunaan bahasa negara bangsanya. Bahasa yang dapat membina Negara bangsanya seharusnya dapat melahirkan pengguna bahasa yang berkualitu, berkuasa dan berketerampilan. Oleh itu, lebih banyak penutur yang berkuasa dalam penggunaan bahasa Melayu perlu dipupuk. Mereka ialah yang terdiri daripada ahli politik, ahli korporat, golongan professional, mahasiswa institusi pengajian tinggi awam dan swasta, pelajar sekolah, dan ahli masyarakat. Kehadiran kumpulan-kumpulan ini dapat mengembangkan bahasa itu dengan lebih terancang. Golongan yang berpengaruh juga perlu memainkan peranan mereka untuk memartabatkan bahasa Melayu itu sendiri. Namun sebaliknya, berbeza yang berlaku dalam realiti kehidupan. Perkataan ‘hormat’ seakan-akan sudah hilang daripada korpus bahasa Melayu apabila Perdana Menteri kita telah menggunakan slogan ‘Respek Wanita’ sempena sambutan Hari Wanita tahun 2013. Ke mana perginya perkataan hormat itu? Oleh itu, jelas dapat dilihat di sini bahawa jika orang di atas begitu mengagungkan bahasa asing, bagaimana mungkin orang di bawah akan menjadi pengikut yang setia untuk bahasa Melayu itu sendiri.
     Antara isu lain yang dapat kita lihat ialah mengenai kepentingan institusi Dewan Bahasa dan Pustaka. Insititusi ini seolah-olah tidak diberi kuasa sepenuhnya untuk melaksanakan tugas yang berkaitan dengan bahasa kerana ianya selalu bercanggah dengan apa yang telah kerajaan lakukan. Contohnya penggunaan perkataan respek yang diubah daripada perkataan hormat itu, kecapaian objektifnya tidak dirujuk cara penggunaannya atau bersesuaian dengan bahasa yang digunakan. Apabila kisah ini berlaku, DBP seolah-olah hilang autoriti sebagai pusat rujukan bahasa Melayu. Seperti yang kita sedia maklum, DBP berperanan menjadi pusat bahasa kepada orang ramai, tetapi penggunaanya begitu terhad dan tidak mendapat sambutan yang begitu baik sekali menyebabkan pengawalan dan penggunaan bahasa Melayu dengan betul dilihat sedikit terumbang-ambing.  

     Secara konklusinya, mewujudkan satu bangsa yang bersatu padu daripada pelbagai keturunan, agama, kebudayaan dan wilayah dengan satu bahasa kebangsaan amatlah diperlukan. Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah satu pilihan bijak dan mampu menjadi wadah perpaduan. Oleh itu jelaslah bahawa bahasa kebangsaan ini merupakan bahasa satu unsur utama dalam pembinaan negara bangsa Malaysia.

No comments:

Post a Comment