Saturday, November 24, 2012

KONSEP FONETIK DAN FONOLOGI


  • Apakah yang dimaksudkan dengan fonologi? Fonologi (daripada Greek: φωνή, phōnē, "suara, bunyi" dan λόγος, lógos, "perkataan, pertuturan, subjek perbincangan") ialah kajian yang dilakukan mengenai pola bunyi bahasa iaitu tentang bunyi-bunyi yang berfungsi dalam sesuatu bahasa
  • Mengikut Frank Parker (1994), fonologi merupakan suatu bidang yang mengkaji sistem bunyi sesuatu bahasa: iaitu rumus-rumus yang menentukan aspek sebutan. 
  • Dalam tradisi barat, pengkajian tentang bidang fonologi ini telah bermula sejak 200 tahun yang lalu, iaitu bermula lebih kurang pada awal tahun 1800, apabila para ahli bahasa memulakan pengkajian tentang perubahan bunyi bahasa dengan cara membandingkan bunyi bahasa yang wujud dalam pelbagai bahasa yang berkaitan. 
  • Sehubungan itu dengan kata lain, fonologi ialah ilmu tentang perbendaharaan fonem sesebuah bahasa. Dalam pengkajian fonetik, ahli bahasa mempelajari bagaimana bunyi-bunyi fonem sebuah bahasa direalisasikan atau dilafazkan. Fonetik juga mempelajari cara kerja organ tuhuh manusia, terutama yang berhubungan dengan penggunaan bahasa.
  • Fonetik (daripada perkataan Yunani φωνή (phonê) "bunyi" atau "suara") ialah kajian terhadap bunyi fizikal percakapan manusia. Ia berkaitan dengan sifat fizikal bunyi (fon), serta proses penghasilan fisiologi, penerimaan auditori, dan persepsi neurofizikal. Ilmu fonetik mula dikaji seawal 2,500 tahun lalu di India purba, berikutan catatan Pāṇini mengenai tempat dan kelakuan penghasilan bunyi bagi bunyi konsonan di dalam buku bertarikh abad ke-5 SM dalam Bahasa Sanskrit. Sistem huruf Indik utama hari ini menyusun huruf konsonan mengikut klasifikasi Pāṇini.
  • Menurut Rahimah Haji Sabran dan Rahim Sham (1985), bidang fonologi mengkaji sistem bunyi- bunyi yang tertentu dalam pertuturan, khusus bagi sesuatu bahasa. Ini jelas daripada pendapat Henderson yang menyatakan “the study of the systematic organization of selected speech sounds in the spoken form of individual language has variously been called phonology”.
  • Menurut Dal bor, salah seorang ahli linguistik Barat, “phonology is the study of the function and patterning of speech sounds“ yang bermaksud “fonologi ialah kajian tentang fungsi dan pencorakan dalam bunyi yang bermakna yang diucapkan oleh manusia”.
  • Bagi Arbak Othman (1983), fonetik adalah kajian tentang bunyi-bunyi ujar. Sebagai ilmu, fonetik berusaha menemukan kebenaran-kebenaran umum dan memformulasikan hukum-hukum umum tentang bunyi-bunyi itu dan pengucapannya, manakala sebagai kemahiran, fonetik memakai data deskriptif dasar daripada fonetik ilmiah bagi memberi kemungkinan pengenalan dan pengucapan bunyi-bunyi ujar itu.
  • Selain itu, fonetik boleh didefinisikan sebagai mempelajari segala bunyi yang diucapkan melalui mulut manusia, baik bunyi manusia, bukan bunyi bahasa, mahupun bunyi-bunyi marginal, dan memberikan simbol fonetik untuk setiap bunyi, yakni menurut Dr. Lufti Abas (1985).
  • Menurut ahli linguistik Kenstowicz dan Kisserberth (1979) fonetik ditafsirkannya sebagai “the study of the sounds human beings employ when speaking a language is phonetics” yang bermaksud “pengkajian tentang bunyi-bunyi oleh manusia yang kita gunakan semasa bertutur ialah fonetik”.
  • Para pengkaji fonologi menggunakan istilah-istilah teknikal ketika menjelaskan sesuatu bunyi. Antaranya ialah, bunyi-bunyi itu dibahagikan kepada bunyi-bunyi vokal, konsonan dan diftong. Bunyi-bunyi itu diberi lambang yang diiktiraf pada peringkat antarabangsa. 
  • Satu unit bunyi fonetik dinamakan fon dan diberi lambang tertentu dalam kurungan siku. Contohnya [o]. Satu unit bunyi fonem diberi lambang hampir sama dengan huruf dan ditulis dalam garis miring. Contohnya /o/. Huruf pula, seperti yang kita ketahui, tidak diapit oleh sebarang tanda baca. (Fonem ialah unit bunyi yang lebih besar daripada fon dan mempunyai fungsi tertentu dalam sesuatu bahasa.) 
  • Lazimnya fonetik dikaji secara berasingan. Hal ini demikian kerana bidang fonetik amat rumit dan bersifat teknikal. 
  • Fonetik ialah ilmu yang mengkaji bunyi bahasa, iaitu ujaran atau pertuturan yang dihasilkan oleh manusia dengan mengecualikan bunyi seperti berdengkur, batuk, berdeham, bersiul, sebagainya. 
  • Ruang lingkup fonetik merangkumi antara lain proses pertuturan atau penghasilan bunyi dan pengelasan. Kajian fonetik terbahagi kepada tiga cabang, iaitu fonetik artikulasi, fonetik akustik dan fonetik auditori.

No comments:

Post a Comment