Friday, November 16, 2012

Nota Ulangkaji Penulisan Kreatif - Karya kreatif


1.    5 genre karya kreatif yang masih popular di persada dunia sastera  tanah air. 

1.    Novel
·       Novel ditakrifkan sebagai cereka yang berbentuk prosa.
·       Istilah ‘novel’ diambil daripada bahasa Inggeris.
·       Perkataan itu asalnya daripada bahasa Itali ‘novella’ yang bererti satu benda kecil yang baru. 
·       Cereka yang disampaikan itu luas jangkauannya. Maksudnya ialah cerita yang disampaikan itu terdiri atas plot yang kompleks,
·       Watak yang menggerakkan cerita banyak jumlahnya,
·       Persoalan-persoalan yang dikemukakan bersifat pelbagai dan suasana serta latar ceritanya beraneka. Hal-hal itu menyebabkan sesebuah novel itu relatif panjang, yakni lebih panjang daripada cerpen.
·       Contohnya Novel Julia yang merupakan karya Abu Hassan Morad yang memaparkan tema kegigihan kaum wanita apabila menghadapi cabaran dalam pengurusan perniagaan.
·       Sehubungan dengan itu, novel Julia  yang mengandungi 17 bab. Di sini menunjukkan, jalan ceritanya panjang dan semestinya terdapat banyak penggunaan gaya bahasa yang menarik dapat diserlahkan oleh pengarang.
·       Penggunaan gaya bahasa ini boleh dilihat menerusi keindahan gaya bahasa yang pelbagai oleh pengarang menerusi rentetan cerita yang panjang. Misalnya, hiperbola yang digunakan seperti perniagaan adalah peperangan. Di sini menunjukkan pengarang menggunakan kiasan yang berlebih-lebihan dengan maksud sebenar.
·       Selain itu, latar yang digunakan juga lebih banyak berikutan lebih banyak situasi yang terdapat dalam penceritaan di dalam novel. Misalnya, latar tempat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Syah, Subang, iaitu ketika Julia dan mama hendak berangkat ke Australia. Tambahan lagi, ada juga situasi di Pesawat Boeing 777 iaitu tempat dimana Julia terlanggar Jun secara tidak sengaja.
·       Jadi, jelas di sini menunjukkan, berdasarkan genre sastera seperti novel yang panjang ceritanya, kita boleh lihat lebih banyak kepelbagaian bahasa dan latar misalnya, yang digunakan oleh pengarang.

2.    Cerpen
·       Cerpen ialah singkatan kata daripada perkataan cerita pendek. Oleh sebab itu, sudah tentu ceritanya tidak panjang.
·       Walau bagaimanapun, batasan atau tanggapan panjang pendeknya tidak boleh diukur berdasarkan jumlah perkataan yang dilihat lantaran sifatnya yang relatif.
·       Pada kebiasaannya, sesebuah cerpen mengisahkan hanya satu kejadian dalam kehidupan yang diwarnai oleh pelbagai kejadian.
·       Sesuatu kejadian yang digambarkan melalui cerpen dianggap sebagai pokok yang menentukan segalanya. Kemungkinan-kemungkinan lain ditinggalkan begitu sahaja.
·       Oleh sebab itu, pengisahan yang diutarakan menjadi relatif pendek.
·       Sesebuah cerpen biasanya memusatkan pengisahannya kepada satu watak sahaja, terutama watak penting yang menghadapi permasalahan hidup, misalnya.
·       Persoalan yang ditimbulkan itu benar-benar bermakna, penting dan dapat ditonjolkan pemikiran mengenai watak-watak yang difokuskan.
·       Hal itu dapat dilihat pada watak Wak Da di dalam cerpen Kelapa Nan Sebatang karya Shahnon Ahmad. Wak Da hidup di dalam serba kesusahan. Sewaktu menyeberangi sungai melalui titi batang kelapa, Wak Da berhasrat mengakhiri derita dan kekecewaannya dengan membunuh diri. Namun demikian, setelah mendapat semangat baru dan keyakinan diri, Wak Da berjaya menyeberangi sungai itu. Di sini menunjukkan, pengarang hanya terhad fokus terhadap satu watak sahaja.
·       Tambahan lagi, cerpen biasanya disiarkan di dalam akhbar mingguan dan majalah. Sungguhpun begitu, atas inisiatif pihak-pihak tertentu, cerpen-cerpen pilihan biasanya dikumpul dan dibukukan.

3.    Drama
·       Drama merupakan salah satu bentuk karya sastra.
·       Sejenis cereka yang berbentuk lakonan dan selalunya dipentaskan.
·       Perkataan ‘drama’ berasal daripada bahasa Yunani yang bermaksud ‘gerak’.
·       Dalam drama, penulis ingin menyampaikan pesan melalui acting (perbuatan) dan dialog.
·       Biasanya drama menampilkan  sesuatu hal yang biasa terjadi dalam kehidupan kita sehari-hari.
·       Sehingga para penonton diajak untuk seolah-olah ikut menyaksikan dan merasakan kehidupan dan kejadian dalam masyarakat.
·       Ciri-ciri sebuah drama ialah aksi, konflik dan persembahannya sekali jalan sahaja.
·       Manakala jenis-jenisnya ialah tragedi, komedi, tragi-komedi, opera, pantomin dan bangsawan.
·       Jenis yang boleh diketengahkan adalah seperti drama berbentuk tragedi yang mengandungi kisah sedih yang menimpa watak utama. Sekalipun watak itu cuba mengubah nasib malang tersebut dengan baik, tetapi dia tetap gagal. Contohnya Keris Laksamana Bentan oleh Shaharom Hussain.
·       Selain itu, drama berbentuk komedi mengisahkan telatah lucu watak-watak di dalamnya. Tujuannya untuk menghibur di samping menyindir penonton-penonton secara halus. Contohnya Cam Ni Cam Tu oleh Hafsham.
·       Drama berbentuk seperti pantomin pula dipersembahkan tanpa dialog. Pelakon-pelakonnya hanya mempamerkan gerak laku dan memek muka bagi menunjukkan aksi dan perasaan yang maksudnya difahami penonton. Drama jenis ini dinamakan pantomin dan ia sering dipersembahkan dalam majlis-majlis sambutan yang besar-besar seperti Maal Hijrah dan Hari Kebangsaan.

4.    Sajak
·       Menurut Hashim Awang sajak adalah puisi baru yang bebas daripada peraturan-peraturan dalam pembentukan rangkap, baris, kata-kata dan rima.
·       Sajak mengungkapkan perasaan & pemikiran penyair secara imaginatif dan disusun dengan menumpukan semua kekuatan bahasa, serta bentuk luaran dan dalaman.
·       Sajak bersifat demikian untuk dapat mengucapkan fikiran penyair dalam cara yang lebih indah, segar dan bebas.
·       Sajak juga tidak mempunyai imbangan bunyi yg tetap dan mempunyai keharmonian atau penyesuaian yang baik antara isi dengan bahasa.
·       Isi-isi dalam sajak pula biasanya berkisahkan unsur pujaan, keagamaan, kesedihan, pengajaran, sindiran, percintaan atau pengisahan.
·       Di Malaysia, pertumbuhan dan perkembangannya terserlah selepas penyair terdedah dengan bacaan daripada luar sama ada daripada Indonesia atau Barat.
·       Punggok atau nama sebenarnya Muhammad Yassin Maamor menjadi pelopor puisi moden di Malaysia. Beliau dengan berani melemparkan sajaknya ke tengah masyarakat. Sajaknya yang berjudul Di Tengah Segara yang termuat di dalam Majalah Guru keluaran Disember 1933. Lihat petikannya:

Di dalam gelombang hambur-menghambur
Kudengar seru sayup bahasa
Hatiku lebur bagaikan hancur
Hendak kurenang beta tak bisa.


5.    Pantun
·       Pantun adalah sejenis puisi tradisional masyarakat Melayu yang wujud sejak zaman berzaman.
·       Mengikut sejarah, pantun wujud sejak zaman masyarakat Melayu tidak tahu menulis dan membaca lagi.
·       Pantun dicipta sebagai suatu bentuk pengucapan untuk menyampaikan fikiran dan perasaan terhadap seseorang ataupun mengenai sesuatu perkara di samping bertujuan untuk menyindir, berjenaka dan memberi nasihat serta untuk bersuka-suka.
·       Pantun merupakan bentuk puisi tradisonal yang terdiri daripada empat baris serangkap, empat perkataan sebaris, mempunyai rima a-b-a-b dengan beberapa variasi dan pengecualian.
·       Tiap-tiap rangkap terbahagi kepada dua iaitu rangkap pembayang dan maksud.
·       Setiap rangkap tidak dapat berdiri sendiri dan biasanya rangkap-rangkap tersebut memerlukan beberapa rangkap lain untuk melengkapkan keseluruhan idea.
·       Contoh pantun adat ialah :
Bukan lebah sembarang lebah
Lebah bersarang dibuku buluh
Bukan sembah sembarang sembah
Sembah bersarang jari sepuluh

No comments:

Post a Comment