Tuesday, June 10, 2014

Sejarah Bahasa Melayu

Bahasa Melayu dikatakan berasal dari Asia Tengah atau dari Kepulauan Melayu. Seorang ahli pengkaji prasejarah, R. H. Geldern mengatakan bahawa bangsa Melayu berasal dari Asia Tengah berdasarkan kajian yang dibuat beliau. Bahasa Melayu tergolong dalam keluarga Nusantara di bawah rumpun bahasa Austronesia. Istilah Austronesia membawa pengertian pulau-pulau selatan.
     Austronesia pula dipecahkan kepada empat keluarga iaitu Indonesia, Melanesia, Mikronesia dan Polinesia. Istilah Malayo-Polenesia digunakan oleh Wilhem von Humboldt, seorang ahli bahasa yang mengkaji keserumpunan bahasa antara bahasa Melayu dengan bahasa-bahasa di daerah Polinesia. Beliau mendapati bahasa Melayu dan bahasa Polinesia itu merupakan bahasa serumpun.
     Bahasa Melayu menjadi bahasa yang terpenting dalam sejarah bahasa-bahasa di kepulauan Melayu kerana bahasa ini merupakan satu daripada lebih kurang 200 bahasa dalam kepulauan Melayu. Ini kerana bentuknya sederhana dan mempunyai kemungkinan untuk menerima unsur asing dan sifatnya yang dapat dilenturkan. Bahasa Melayu juga mempunyai jumlah penutur yang besar jika dibandingkan dengan bahasa lain seperti bahasa Jawa atau bahasa Tagalog maka jadilah bahasa Melayu sebagai lingua franca di alam Melayu dari Acheh hingga ke kepulauan Maluku.  
     Ahli bahasa membahagikan perkembangan bahasa Melayu kepada tiga tahap utama iaitu ‘Bahasa Melayu Kuno, Bahasa Melayu Klasik dan Bahasa Melayu Moden.’
Bahasa Melayu Kuno
Bahasa ini merupakan keluarga bahasa Nusantara. Kegemilangannya bermula dari abad ke-7 hingga abad ke-13 iaitu pada zaman kerajaan Sriwijaya. Penuturnya pula di Semenanjung, Kepulauan Riau dan Sumatera. Bahasa ini menjadi lingua franca dan sebagai bahasa pentadbiran kerana bahasa ini bersifat sederhana dan mudah menerima pengaruh luar, tidak terikat kepada perbezaan susun lapis masyarakat dan mempunyai sistem yang lebih mudah berbanding dengan bahasa Jawa. Bahasa Melayu Kuno juga banyak dipengaruhi oleh sistem bahasa Sanskrit. Bahasa Sanskrit juga menyumbang kepada pengkayaan kosa kata dan ciri-ciri keilmuan.
     Bahasa Melayu mudah dipengaruhi Sanskrit kerana pengaruh agama Hindu, bahasa Sanskrit terletak dalam kelas bangsawan dan dikatakan mempunyai hierarki yang tinggi serta sifat bahasa Melayu yang mudah dilentur mengikut keadaan dan keperluan. Bahasa Melayu kuno dapat dikenali melalui beberapa ciri yang ada sebagai contoh :-
Ciri-ciri bahasa Melayu kuno:
  • Penuh dengan kata-kata pinjaman Sanskrit
  • Susunan ayat bersifat Melayu
  • Bunyi b ialah w dalam Melayu kuno (Contoh: bulan - wulan)
  • bunyi e pepet tidak wujud (Contoh dengan - dngan atau dangan)
  • Awalan ber- ialah mar- dalam Melayu kuno (contoh: berlepas-marlapas)
  • Awalan di- ialah ni- dalam bahasa Melayu kuno (Contoh: diperbuat - niparwuat)
  • Ada bunyi konsonan yang diaspirasikan seperti bh, th, ph, dh, kh, h (Contoh: sukhatshitta)
  • Huruf h hilang dalam bahasa moden (Contoh: semua-samuha, saya: sahaya)
Peralihan Bahasa Melayu Kuno ke Bahasa Melayu Klasik.
Peralihan ini dikaitkan dengan pengaruh agama Islam yang semakin mantap di Asia Tenggara pada abad ke-13. Selepas itu, bahasa Melayu mengalami banyak perubahan dari segi kosa kata, struktur ayat dan tulisan. Selain itu, terdapat tiga batu bersurat yang penting:

a. batu bersurat di Pagar Ruyung, Minangkabau (1356)
  • ditulis dalam huruf India
  • mengandungi prosa melayu kuno dan beberapa baris sajakm Sanskrit.
  • bahasanya berbeza sedikit daripada bahasa batu bersurat abad ke-7.
b. Batu bersurat di Minye Tujuh, Acheh (1380)
  • masih memakai abjad India
  • buat pertama kalinya terdapat penggunaan kata-kata Arab seperti kalimat nabi, Allah dan rahmat
c. batu bersurat di Kuala Berang, Terengganu (1303-1387)
  • ditulis dalam tulisan Jawi
  • membuktikan tulisan Arab telah telah digunakan dalam bahasa Melayu pada abad itu.
Ketiga-tiga batu bersurat ini merupakan bukti catatan terakhir perkembangan bahasa Melayu kerana selepas abad ke-14, muncul kesusasteraan Melayu dalam bentuk tulisan.
Bahasa Melayu Klasik
Kegemilangannya boleh dibahagikan kepada tiga zaman penting:
  • Zaman kerajaan Melaka
  • Zaman kerajaab Acheh
  • Zaman kerajaan Johor-Riau
Antara tokoh-tokoh penulis yang penting ialah Hamzah Fansuri, Syamsuddin al-Sumaterani, Syeikh Nuruddin al-Raniri dan Abdul Rauf al-Singkel.
Ciri-ciri bahasa klasik:
  • ayat: panjang,  berulang, berbelit-belit.
  • banyak ayat pasif
  • menggunakan bahasa istana
  • kosa kata klasik: ratna mutu manikam, edan kesmaran (mabuk asmara), sahaya, masyghul (bersedih)
  • banyak menggunakan perdu perkataan (kata pangkal ayat): sebermula, alkisah, hatta, adapun.
  • ayat songsang
  • banyak menggunakan partikel ``pun'' dan `'lah''
Bahasa Melayu Moden
Bermula pada abad ke-19. Hasil karangan Munsyi Abdullah dianggap sebagai permulaan zaman bahasa Melayu moden. Sebelum penjajahan Beritish, bahasa Melayu mencapai kedudukan yang tinggi, berfungsi sebagai bahasa perantaraan, pentadbiran, kesusasteraan, dan bahasa pengantar di pusat pendidikan Islam.

     Selepas Perang Dunia Kedua, British merubah dasar menjadikan bahasa Inggeris sebagai pengantar dalam sistem pendidikan. Semasa Malaysia mencapai kemerdekaan, Perlembagaan Persekutuan Perkara 152 menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Laporan Razak 1956 mencadangkan bahasa Melayu sebagai pengantar dalam sistem pendidikan negara.

No comments:

Post a Comment