Tuesday, October 22, 2013

Fungsi Bahasa Melayu

1. Bahasa Kebangsaan 
“Bahasa Jiwa Bangsa” dengan jelas menunjukkan kepentingan bahasa dalam memupuk 
perpaduan antara kaum. Menyedari hakikat ini, kerajaan telah menjadikan bahasa Melayu 
sebagai bahasa kebangsaan negara kita. Mulai tahun 1970, bahasa Melayu secara 
berperingkat-peringkat telah menggantikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di 
sekolah-sekolah. Sebuah badan berkanun iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) adalah 
bertanggungjawab untuk memaju dan memperkaya bahasa Melayu. Kepentingan bahasa 
Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara ini berpaksikan Perkara 
152 Perlembagaan Persekutuan, selain daripada Akta Bahasa Kebangsaan dan Akta 
Pendidikan yang sedia ada. 

2. Dasar Bahasa Kebangsaan 
Pemilihan satu bahasa kebangsaan bagi negara Malaysia timbul sebab perlunya diadakan 
satu lambang penyatuan, iaitu dengan harapan bahawa bahasa itu dapat menjadi dasar 
bagi satu identifikasi kebangsaan. Peranan bahasa sebagai faktor penyatuan disalurkan 
melalui sistem pelajaran kebangsaan, sebagaimana tercatat dalam mukadimah akta 
Pendidikan seperti berikut: 
“........dan untuk merancangkan satu sistem pelajaran iaitu bahasa kebangsaan adalah 
bahasa pengantar yang utama.” 
Di samping memenuhi keperluan menjadi lambang penyatuan, penubuhan satu bahasa 
kebangsaan juga timbul daripada semangat kebangsaan yang mahukan bahasa penjajah 
diambil alih oleh bahasa bumiputera. 
Dasar bahasa kebangsaan merupakan asas terpenting bagi perkembangan bahasa 
Melayu di Malaysia. Dasar ini memenuhi konsep perancangan taraf bahasa. Dengan 
adanya dasar bahasa yang menentukan pemilihan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, 
barulah dilakukan tahap-tahap seterusnya, iaitu propaganda, pembinaan dan perluasan 
penggunaannya. 
Dasar bahasa di Malaysia meletakkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa 
kebangsaan dan bahasa rasmi, seperti terkandung dalam Perkara 152 Perlembagaan 
Persekutuan. Dasar bahasa ini juga dianggap bermula dengan idealisme, iaitu untuk 
menyaksikan satu rupa bangsa yang bersatu menerusi pembentukan budaya kebangsaan 
selaras dengan keinginan dan hasrat membentuk satu bangsa Malaysia yang mempunyai 
identiti keperibadian yang dapat dibanggakan dan penuh dengan kesetiaan kepada 
negara, memupuk ciri-ciri pengenalan rakyat yang relatif seragam, menegak persatuan antara kaum-kaum yang mendiami negara ini dan menobatkan bahasa Melayu sebagai 
sarana komunikasi yang berkesan dalam sektor-sektor penting negara. 

3. Bahasa Rasmi 
Menurut Kamus Dewan (1970:59), bahasa rasmi adalah bahasa pentadbiran, bahasa 
perhubungan awam, bahasa pengantar serta bahasa ilmiah di sekolah-sekolah dan 
institusi pengajian tinggi. Sesebuah negara, khususnya yang baru mencapai kemerdekaan 
selalunya memilih dan mendaulatkan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. 
Menurut Ainon Mohammad (1984), bahasa rasmi pula bererti peranan bahasa Melayu 
sebagai saranan pembinaan negara dalam semua urusan, terutama pentadbiran negara. 
Justeru, bahasa rasmi membawa maksud bahasa yang digunakan dalam sistem 
pendidikan negara, urusan perniagaan dan pentadbiran dan dalam upacara-upacara 
rasmi. Bahasa rasmi mungkin mempunyai lebih daripada satu fungsi bagi sesebuah 
negara. Secara rasminya bahasa Melayu dinobatkan pada 1 September 1967, yakni 10 
tahun selepas hari kemerdekaan. Ia menjadi bahasa rasmi tunggal bagi Persekutuan 
Malaysia. Perisytiharan ini berlaku akibat tindakan parlimen meluluskan undang-undang 
perasmiannya. Perisytiharan tersebut dibuat melalui titah Diraja yang disiarkan menerusi 
radio dan televisyen, dianggap sebagai satu detik era baharu bagi orang Melayu. Dengan 
kenaikan taraf ini, kesan positif wujud terhadap orang Melayu dan bahasa Melayu terjamin. 
Jika diteliti dengan mendalam, kita boleh mengatakan bahawa dengan meningkatnya taraf 
tersebut, bahasa Melayu kian meluas digunakan sebagai bahasa perpaduan antara kaum. 
Maksud fungsi perpaduan ialah menimbulkan sikap bersatu melalui bahasa. Pelbagai 
masyarakat akan menggunakan bahasa Melayu untuk mengeratkan hubungan antara satu 
sama lain. Mereka berkomunikasi dengan menggunakan bahasa Melayu. Secara tidak 
langsung, masyarakat bukan Melayu menerima bahasa Melayu dan menganggapnya 
penting sebagai alat perpaduan bangsa. 

Walau bagaimanapun, usaha-usaha untuk mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa 
rasmi telah menghadapi berbagai-bagai kesulitan serta tentangan, daripada orang Melayu 
sendiri dan juga orang bukan Melayu. Pemasalahan datang daripada pelbagai arah dan 
berbagai-bagai persoalan ditimbulkan; persoalan politik, persoalan sikap, ekstremisme kaum yang memungkinkan berlakunya ketidaksefahaman dan perpecahan antara 
kaum.Antara isu yang diketengahkan adalah seperti berikut: 
 Bahasa Melayu tidak sesuai dan tidak layak menggantikan bahasa Inggeris 
sebagai bahasa rasmi dan bahasa pengantar di sekolah-sekolah. 
 Ramai intelek khususnya guru masih belum fasih menggunakan bahasa Melayu 
 Penguasaan terhadap bahasa Melayu tidak penting 
 Bahasa Melayu tidak mempunyai standard, hanya sesuai digunakan oleh 
golongan bawahan 
 Bahasa Melayu tidak sesuai digunakan dalam bidang kehakiman dan pendidikan 
Di samping itu, golongan yang menyetujui dan menerima bahasa Melayu menganggap 
bahasa tersebut : 
 Layak menggantikan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi dan bahasa 
pengantar di sekolah-sekolah 
 Bahasa Melayu mempunyai beberapa kelebihan tersendiri; mudah dipelajari, 
semua kaum boleh bertutur dalam bahasa tersebut. 
 Ia paling sesuai dijadikan bahasa rasmi berbanding dengan bahasa Cina atau 
Tamil 
 Bahasa Inggeris adalah bahasa penjajahan 

Oleh sebab ketegasan, pihak kerajaan telah mengeluarkan surat pekeliling Am No.12, 
tahun 1967 untuk memantapkan lagi penggunaan bahasa Melayu secara rasminya. 
Melalui pekeliling ini, bahasa Melayu perlu digunakan untuk tujuan-tujuan rasmi dalam 
pentadbiran harian, bahasa pengantar di sekolah, surat-menyurat rasmi kerajaan yang 
meliputi semua jabatan kerajaan persekutuan dan negeri. Hingga kini bahasa Melayu 
masih lagi teguh dan berdiri tegak sebagai bahasa rasmi walaupun sering kali menerima tohmahan dan kritikan daripada pelbagai pihak. Diharapkan bahasa Melayu akan kekal 
sebagai bahasa rasmi dan bahasa pengantar di sekolah-sekolah. 

4. Bahasa Komunikasi 

Manusia menggunakan bahasa sebagai alat komunikasi yang penting dalam kehidupan
seharian mereka. Hal ini demikian kerana bahasa dan pertuturanlah yang membezakan
manusia dengan haiwan. Selain itu, bahasa mempunyai suatu sistem yang sistematis,
dinamik dan selalu berubah-ubah sesuai dengan perkembangan zamannya. Halliday,
dalam bukunya bertajuk “Explorations in the Functions of Language” (1973), telah
mengemukakan tujuh fungsi bahasa. Antaranya ialah: 

Instrumental
Regulasi
Pemerian
Interaksi
Personal
Heuristik
Khayalan

5. Bahasa Perpaduan 

Perpaduan atau solidariti dapat didefinisikan sebagai satu proses yang menyatupadukan
rakyat dan seluruh masyarakat dan negara supaya setiap anggota masyarakat dapat
membentuk satu identiti dan nilai bersama serta perasaan cinta dan bangga akan tanah
air. Di samping itu juga, menurut Kamus Dewan (1994), perpaduan ditakrifkan sebagai
penggabungan, pelaburan penyesuaian, kecocokan dan perihal berpadu iaitu bergabung
menjadi satu, sepakat dan sebagainya. Dalam erti kata yang lain, perpaduan dapat
diertikan sebagai hubungan erat bersifat toleransi yang diwujudkan secara sengaja dalam
kalangan dan etnik yang berbeza untuk mencapai matlamat bersama secara jujur dan
ikhlas. Perpaduan adalah proses menyatupadukan seluruh masyarakat untuk membentuk
satu identiti dan nilai bersama serta perasaan cinta dan bangga akan negara.

Oleh itu, pengertian bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan dapat diertikan sebagai
bahasa yang menjadi lambang penyatuan suara yang digunakan sebagai alat
perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia (antara individu dengan individu
yang lain) yang berfungsi sebagai alat menyatupadukan rakyat yang berbilang kaum
dalam sebuah negara.

Bahasa adalah suatu keseluruhan, suatu prinsip klasifikasi dengan sesuatu yang dikuasai
dan bersifat konvensional yang seharusnya terkebawah daripada naluri semula jadi.
Whitney (1998) berpendapat bahasa adalah salah satu institusi sosial dan menganggap
bahawa kita menggunakan alat ujaran sebagai wadah bahasa, hanyalah secara kebetulan
sahaja, untuk kesenangan sahaja manusia boleh memilih bahasa isyarat dan lambang
tampak dan bukan lambang akuistik.

Cara bahasa menyatupadukan rakyat 

Selaras dengan dasar pendidikan kebangsaan, bahasa Melayu diajarkan sebagai mata
pelajaran wajib dan telah dijadikan bahasa pengantar utama bagi semua peringkat
prasekolah dan pengajian. Pendidikan bahasa Melayu Sekolah Menengah adalah
memenuhi hasrat Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah untuk melahirkan insan yang
seimbang dan harmonis daripada aspek intelek, emosi, rohani, dan jasmani.

Penggunaan bahasa Melayu yang semakin meluas sesuai dengan tarafnya
sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara menekankan penguasaan dan
penggunaan bahasa Melayu yang lebih bermutu. Pendidikan bahasa Melayu sekolah
menengah yang meliputi Tingkatan 1 sehingga 5 akan terus meningkatkan penguasaan
kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis dalam kalangan pelajar remaja
dan memupuk kepekaan terhadap variasi bahasa dalam pelbagai situasi, sistem bahasa
dan gaya bahasa yang indah. Pendidikan Bahasa Melayu sekolah menengah juga
menanamkan kesedaran terhadap unsur dan nilai kemanusiaan secara menyeluruh
melalui pembacaan bahan ilmu dan hasil kesusasteraan.

Aspek penting untuk menyatupadukan rakyat mengikut fungsi bahasa Melayu
sebagai bahasa perpaduan adalah melalui pendidikan. Sesungguhnya pendidikan hari ini
telah memainkan peranan penting dalam merealisasikan aspirasi negara ke arah
mewujudkan perpaduan kaum. Pendidikan hari ini telah membuktikan bahawa negara
berjaya mengimbangkan kewujudan integrasi nasional yang menjamin keamanan dan
kesejahteraan negara.

Sejarah telah membuktikan betapa golongan cerdik pandai menentukan jatuh
bangunnya sesebuang bangsa dan negara. Selain daripada itu, penyatupaduan rakyat
dapat mewujudkan sistem pendidikan kebangsaan kerana sistem persekolahan yang
berbeza-beza mempunyai haluan masing-masing dan tidak dapat melahirkan satu identiti
bangsa. Oleh itu, satu jawatankuasa ditubuhkan untuk mengkaji sistem pendidikan yang
sedia ada. Cadangan itu dikenali sebagai Penyata Razak.

Penyata Razak telah diperakui dan diluluskan menjadi Ordinan Pelajaran pada
tahun 1957. Ordinan ini mewajibkan semua jenis sekolah menggunakan sukatan pelajaran
yang sama. Bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pengantar di semua sekolah, khususnya untuk membantu perpaduan kebangsaan dan menjadi wahana yang berkesan
untuk berkomunikasi pelbagai kumpulan etnik dan masyarakat pelbagai dialek atau
bahasa. Bahasa Melayu turut membantu pembentukan jati diri bangsa Malaysia yang
menggunakan bahasa komunikasi yang mudah difahami.

6. Bahasa Ilmu 

Bahasa ilmu boleh ditakrifkan sebagai bahasa yang mempunyai ciri-ciri formal dan dapat
mengungkapkan sesuatu konsep dan pemprosesan ilmu. Bahasa Melayu telah lama
digunakan untuk mengungkapkan konsep-konsep dan proses-proses yang tinggi serta
kompleks, terutama sekali di dalam bidang agama, falsafah, sastera dan budaya.

Setelah tiga puluh tahun dirancang dengan begitu rapi, perkembangan yang positif
dalam penggunaan bahasa Melayu dapat dilihat dalam bidang ilmiah. Penggunaan
bahasa Melayu dalam bidang sains sosial telah lama wujud, malahan lebih awal daripada
zaman kegemilangan kerajaan Melayu Srivijaya, Acheh dan Melaka. Dalam sejarah yang
muktahir, pusat kebudayaan seperti Pulau Pinang telah banyak menghasilkan buku untuk
institusi pengajian tinggi dan akhbar diterbitkan. 

Bahasa Melayu telah digunakan dengan banyaknya dalam konteks agama, 
sastera dan budaya. Usaha menggunakan bahasa Melayu dalam bahasa tersebut telah 
lama digunakan untuk tujuan ini, walaupun tidak abstrak dan sukar berbanding sains dan 
teknologi. Bahasa Melayu ilmiah ini dapat dilihat melalui beberapa ciri umum iaitu 
peristilahan, tatabahasa, laras dan sebagainya. 
 
Istilah yang sudah dicipta oleh DBP setakat ini, untuk semua bidang telah 
mencapai 477, 300 (Berita Peristilahan, Mei 1986). Setiap satu bidang ilmu terdapat 
sejumlah peristilahannya tersendiri dan mempunyai maknanya yang tersendiri pula. 
 
Dalam hal pemilihan istilah ternyata bahawa istilah, walaupun banyak iaitu 
berjumlah 477, 300 dan meliputi 36 bidang, namun kerja-kerja menokok tambah jumlah 
istilah terus berjalan. Usaha membina istilah baharu telah bermula sejak tahun 1957 lagi. 

Bagi memantapkan lagi penggunaan bahasa ilmu dalam bidang ilmu atau ilmiah, 
DBP aktif dalam hal ini. Setakat ini DBP telah menyelesai dan memenuhi permintaan 
buku-buku teks bagi sekolah-sekolah rendah dan menengah serta pra universiti. Terdapat 
dua langkah yang dibuat dalam hal ini: bantuan tenaga pengajar daripada institusi 
pengajian tinggi dan penerbitan karya-karya asal bagi keperluan institusi pengajian tinggi.



No comments:

Post a Comment