Sunday, October 20, 2013

Sifat-Sifat Bahasa

1. Mempunyai sistem

Setiap bahasa mempunyai peraturan atau sistemnya yang tersendiri. Sistem bahasa dilihat
dari sudut unit/ unsur/ komponen bahasa yang disusun mengikut cara-cara tertentu.
Sistem bererti susunan teratur, berpola dan membentuk suatu keseluruhan yang
bermakna atau berfungsi. Sistem ini dibentuk oleh sejumlah unsur atau komponen yang
berhubungan secara fungsional antara satu sama lain dan bersifat sistematis dan sistemis.
Sistematis bermaksud bahasa tersusun menurut satu pola, iaitu ia tidak tersusun secara
sembarangan. Sistemis pula bermaksud bahasa bukan merupakan sistem tunggal tetapi
terdiri daripada sub-sub sistem atau sistem bawahan yang terdiri daripada fonologi,
morfologi, sintaksis dan semantik. Unit atau unsur bahasa disusun mengikut cara-cara
tertentu, contohnya fonem, mofem, kata, frasa, klausa dan ayat. Sistem bunyi dalam
bahasa Melayu dan bahasa Arab misalnya, adalah berbeza-beza.

2. Mempunyai lambang

Sesuatu lambang biasanya dikaitkan dengan unsur tanda. Unsur tanda terdiri daripada
penanda dan petanda. Selain dipakai sebagai istilah generik, daripada semua termasuk kajian semiotik juga merupakan sesuatu yang dapat menandai atau mewakili idea, fikiran,
perasaan, benda dan tindakan secara langsung dan alamiah. Misalnya, kalau di kejauhan
kelihatan ada asap membumbung tinggi maka kita tahu bahawa di sana ada api sebab
asap merupakan tanda akan adanya api. Lambang tidak bersifat langsung dan alamiah.
Lambang menandai sesuatu yang lain secara konvensional, tidak secara alamiah dan
langsung. Lambang juga sering disebut bersifat arbitrari, iaitu tidak adanya hubungan
langsung yang bersifat wajib antara lambang dengan yang dilambangkan.

3. Terdiri daripada bunyi

Bunyi bahasa dihasilkan oleh alat ucapan manusia dan bermakna. Bunyi bahasa ialah
fonem (fon, fonem, fonemik). Bahasa pada asasnya terdiri daripada bunyi-bunyi melainkan
bahasa isyarat yang sangat terhad penggunaannya. Bunyi dihasilkan oleh alat pertuturan
manusia. Oleh itu, bahasa manusia tidak akan terdiri daripada ketukan mesin taip, warna,
bau, resepi, perubahan suhu ataupun campuran bahan kimia. Manusia boleh
menghasilkan beribu-ribu bunyi melalui pelbagai cara.

4. Bermakna

Semua ujaran bahasa yang dihasilkan perlu difahamai oleh masyarakat pendengar.
Contohnya bahasa Jepun yang diucapkan oleh penuturnya hanya difahami oleh
masyarakat Jepun, tetapi tidak difahami oleh penutur Turki. Lambang-lambang bunyi
bahasa yang bermakna dalam bahasa merupakan satuan–satuan bahasa yang
mewujudkan mofem, kata, frasa, klausa, ayat dan wacana. Semua satuan ini memiliki
makna. Oleh kerana bahasa itu bermakna, maka segala ucapan tidak mempunyai makna
adalah bukan bahasa. Justeru, bentuk-bentuk bunyi yang tidak bermakna dalam bahasa
apapun bukanlah bahasa kerana fungsi bahasa adalah menyampaikan mesej, konsep,
idea atau pemikiran.

5. Arbitrari 

Tidak akan berlaku hubungan hayati antara bunyi yang dilafazkan atau ditulis dengan 
benda atau objek. Walau bagaimanapun, antaranya perlu bersifat konvensional. Arbitrari 
bermaksud sewenang-wenangnya, berubah-ubah atau tidak tetap, tidak adanya 
hubungan wajib antara lambang bahasa dengan konsep atau pengertian yang 
dimaksudkan oleh lambang tersebut. Contohnya, antara [unta] dengan yang 
dilambangkannya iaitu “sejenis binatang berkaki empat yang biasa ditunggani”. Kita tidak 
dapat menjelaskan sebab binatang tersebut dilambangkan dengan bunyi [unta] bukanya 
[tanu] atau [unat]. Tentu hanya ada satu bahasa yang meskipun berbeza, tetapi perbezaannya tidak terlalu banyak. Ada pendapat yang mengatakan bahawa ada 
sejumlah kata dalam bahasa apa-apa sekali pun yang lambangnya berasal daripada bunyi 
yang diwakilinya. Selain itu, penutur asli juga tidak boleh bertanya punca binatang itu 
diberikan nama unta kerana sebahagian daripada nama yang telah diberikan itu tidak 
mempunyai jawapan atau bersebab. 
6. Bersifat konvensional 

Maksud bahasa bersifat konvensional ialah semua aspek bahasa sudah disepakati oleh 
masyarakat penutur bahasa berkenaan. Oleh itu, semua penutur bahasa tersebut 
mematuhi bahawa lambang tertentu mewakili objek, perkataan atau peristiwa. Ini bererti 
ciri yang terdapat dalam sesuatu bahasa diiktiraf oleh penutur natifnya. Persetujuan 
dilakukan sama ada secara sedar ataupun tidak. Hal ini bermaksud semua anggota 
masyarakat berkenaan harus mematuhi konvensi, bahawa lambang tertentu digunakan 
untuk mewakili konsep yang diwakilinya. Contohnya, jika perkataan kereta merujuk kepada 
sejenis kenderaan beroda empat, maka angota masyarakat bahasa berkenaan harus 
mematuhinya. Jika tidak dipatuhi atau menggantikannya dengan lambang lain maka 
komunikasi akan bercelaru. Kekonvensionalan bahasa terletak pada kepatuhan para 
penutur bahasa untuk menggunakan lambang itu sesuai dengan konsep yang 
dilambangkannya. Contoh lain, jika penutur bahasa Turki mengucapkan “ders” sebagai 
“pelajaran”, maka semua penutur bahasa tersebut akan mengucapkan “ders” sebagai 
merujuk kepada pelajaran.

7. Produktif 

Apabila bahasa dikatakan bersifat produktif, ini bererti, walaupun unsur bahasa terhad 
tetapi jumlah yang dibentuk oleh bahasa tidak terbatas. Ini bermaksud banyak hasilnya 
atau lebih tepat terus-menerus menghasilkan. Sekiranya bahasa itu dikatakan produktif 
meskipun unsur-unsur bahasa itu terbatas, tetapi dengan unsur yang jumlah yang terbatas 
itu dapat dibuat satuan-satuan bahasa yang jumlahnya tidak terbatas meskipun secara 
relatif, sesuai dengan sistem yang berlaku dalam bahasa itu. Contohnya, fonem-fonem 
/m/, /a/ ,/a/ dan /s/ dapat menghasilkan satuan-satuan bahasa /m/-/a/-/s/-/a/, /s/-/a/-/m/-/a/, 
/a/-/s/-/a/-/m/, dan lain-lain. 
8. Unik 

Bahasa yang bersifat unik bermaksud mempunyai ciri-ciri khas yang spesifik yang tidak 
dimiliki oleh bahasa lain. Ini bermaksud mempunyai ciri yang tersendiri. Salah satu 
keunikan yang terdapat dalam bahasa Melayu ialah ia bersifat aglutinatif (kata dasar menerima imbuhan untuk menukar makna). Contohnya: jalan, berjalan, perjalanan, 
menjalankan, jalanan, dijalankan. 
9. Universal 

Setiap bahasa mempunyai kesamaan ciri-ciri tertentu dengan bahasa lain. Maksud 
universal iaitu adanya ciri-ciri yang sama yang dimiliki oleh setiap bahasa yang ada di 
dunia ini. Ciri-ciri yang universal ini merupakan unsur bahasa yang paling umum yang 
biasanya boleh dikaitkan dengan ciri-ciri atau sifat-sifat bahasa lain. Oleh kerana bahasa 
itu merupakan ujaran, maka ciri universal dari bahasa yang paling umum adalah bahawa 
bahasa itu mempunyi bunyi bahasa yang terdiri dari vokal dan konsonan. Contohnya, 
dalam bahasa Melayu terdapat enam vokal tiga diftong dan sembilan belas konsonan. 
Manakala, dalam bahasa Arab pula terdapat tiga vokal pendek, tiga vokal panjang dan 28 
konsonan. Bahasa Inggeris pula mempunyai enam belas vokal termasuk diftong dan 24 
konsonan. Contoh yang lain ialah semua bahasa mempunyai kata kerja misalnya dalam 
bahasa Melayu terdapat kata kerja transitif, manakala dalam bahasa inggeris terdapat 
transitive verb. 
10. Dinamis 

Bahasa boleh menerima pengaruh bahasa lain. Bahasa adalah satu-satunya milik manusia 
yang tidak pernah lepas dari segala kegiatan dan gerak manusia sepanjang keberadaan 
manusia itu sebagai makhluk yang berbudaya dan bermasyarakat. Tidak ada kegiatan 
manusia yang tidak disertai oleh bahasa. Oleh kerana keterikatan dan keterkaitan bahasa 
itu dengan manusia sedangkan dalam kehidupannya dalam masyarakat, kegiatan manusia 
itu tidak tetap dan selalu berubah maka, bahasa itu juga menjadi ikut berubah. Iaitu 
menjadi tidak tetap dan tidak statik. Oleh kerana itulah bahasa disebut dinamis iaitu 
bahasa boleh menerima pengaruh bahasa lain. Misalnya bahasa Melayu menerima atau 
meminjam perkatan seperti dari bahasa Arab (akhirat) , bahasa Cina (mee), bahasa 
Inggeris (komputer), bahasa Sanskrit (dunia), bahasa Tamil (kedai) dan lain-lain.

11. Bervariasi 

Variasi disebabkan oleh ramainya penutur dalam sesuatu bahasa dan luasnya kawasan
bahasa tersebut. Variasi bahasa dilihat dari segi idiolek, dialek dan ragam bahasa.
Anggota masyarakat suatu bahasa biasanya terdiri dari pelbagai status sosial dan latar
belakang. Oleh kerana latar belakang dan lingkungannya tidak sama, maka bahasa yang
mereka gunakan menjadi bervariasi atau beragam. Idiolek adalah variasi atau ragam
bahasa yang bersifat perseorangan. Manakala dialek pula merupakan variasi bahasa yang digunakan oleh sekelompak anggota masyarakat pada suatu tempat atau suatu waktu.
Misalnya di Indonesia mengenal adanya bahasa Jawa dialek Banyumas, bahasa Jawa
dielek Tegal dan sebagainya. Isoglos adalah satu istilah bagi merujuk sempadan antara
satu dialek dengan dialek yang lain. Variasi bahasa lazimnya disebut dengan nama dialek
regional, dialek areal, atau dialek geografi. Ragam bahasa pula adalah variasi bahasa
yang digunakan dalam situasi, keadaan atau untuk keperluan tertentu. Untuk situasi formal
digunakan ragam bahasa yang disebut ragam baku, untuk situasi tidak formal digunakan
ragam yang tidak baku. 

12. Bebas 

Bahasa yang bersifat bebas atau bukan mandatori bermaksud tidak boleh dipaksa oleh 
individu atau kerajaan untuk memaksa masyarakat itu menerima atau mengguna pakai 
apa-apa aspek bahasa seperti perkataan-perkataan tertentu secara paksaan. Misalnya, 
jika ada seorang menteri memaksa atau memperkenal penggunaan perkataan 
“infotaiment” sebagai satu perkataan yang merujuk kepada sesuatu konsep, maka 
perkataan tersebut jika tidak dapat diterima oleh masyarakat bahasa itu, maka perkataan 
tersebut akan lenyap begitu sahaja. 
 
13. Manusiawi 

Bahasa manusia adalah milik manusia. Bahasa adalah suatu aktiviti manusia dan 
bukannya aktiviti makhluk lain. Hanya manusia yang boleh berbahasa. Makhluk lain seperti 
haiwan, tidak boleh berbahasa. Telah diketahui juga bahawa burung, monyet dan orang 
hutan dapat mengeluarkan bunyi pertuturan seperti manusia. Tetapi ternyata bahasa 
manusia lebih baik kerana keupayaan manusia untuk mencantumkan bunyi-bunyi itu 
menjadi suku kata tetapi ini tidak berlaku kepada haiwan. Banyak haiwan boleh dilatih 
menutur bahasa manusia seperti burung kakatua, tetapi haiwan seperti itu hanya boleh 
menutur sahaja tetapi tidak boleh menggunakan bahasa dalam konteks yang betul



1 comment: