Friday, April 8, 2016

CONTOH REFLEKSI PRAKTIKUM MINGGU 8 (PRAKTIKUM 3 BULAN)

REFLEKSI MINGGUAN (MINGGU 8)
TARIKH : 17 MAC 2014- 21 MAC 2014
Sepanjang minggu ini, proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) dapat dijalankan dengan baik. Semua perancangan yang dirancang dalam rancangan pengajaran harian (RPH) dapat dijalankan dengan baik. Kehadiran saya untuk minggu ini juga adalah penuh. Semua program dan aktiviti yang dijalankan sepanjang minggu ini juga dapat saya hadir untuk memberikan kerjasama terhadap pihak sekolah. Murid-murid juga dapat memberikan kerjasama dan perhatian yang sepenuhnya terhadap P&P yang berlansung.
Antara kekuatan yang saya perhati sepanjang minggu ini adalah mengenai minggu Bahasa Melayu. Saya diarahkan oleh guru pembimbing untuk menjadi pengacara majlis untuk pertandingan bercerita. Saya diberi tugasan betul-betul sebelum majlis berlansung. Tidak ada persiapan yang dilakukan malah tidak ada skrip yang disediakan. Walau bagaimanapun, saya dapat menjalankan tugas dengan penuh keyakinan dan dapat memeriahkan majlis pertandingan bercerita. Saya berbangga dengan diri saya sendiri kerana dapat menjalankan tugasan dengan baik. Walaupun tidak ada skrip, tetapi saya masih dapat memimpin majlis dengan teratur. Di samping diberi arahan menjadi pengacara majlis, saya juga diberi arahan untuk membuat buku program sempena majlis tilawah al-quran peringkat daerah yang diadakan di SK?. Berkat kesungguhan dan bantuan daripada guru-guru SK?, saya dapat menyiapkan buku program dalam masa yang ditetapkan. Saya juga dapat menambah pengalaman sedia ada saya.
Sepanjang pengajaran saya dalam minggu ini, saya mendapati kelemahan saya adalah tentang pengurusan masa. Setelah diteliti dan dikenal pasti, saya dapat merasakan bahawa perkara ini datang dari masalah saya sendiri yang memberikan arahan yang kurang jelas. Dalam sesuatu pengajaran, banyak aktiviti yang dilaksanakan. Jadi, saya terkejar-kejar masa untuk memastikan masa yang dirancang dapat dipatuhi dan berakhir tepat pada waktu yang dijangkakan. Arahan yang terlalu ringkas, membuatkan murid tidak faham perkara yang perlu dilakukan. Semasa pengajaran tersebut, saya rasa bahawa mereka sudah faham arahan yang saya berikan. Rupa-rupanya mereka tidak faham. Hal ini saya lihat semasa murid melaksanakan aktiviti. Oleh yang demikian, saya terpaksa mengulang lagi arahan yang lebih jelas dan murid terpaksa mengulang lagi aktiviti yang sedang dijalankan. Sehubungan dengan itu, sudah tentu masa pengajaran saya panjang. Jadi, saya perlu mengatasi masalah ini supaya masa pengajaran berakhir tepat seperti yang dijangkakan.
Penambah baikan yang perlu saya lakukan adalah dengan memberi arahan yang jelas jepada murid. Arahan yang jelas mesti diberikan kepada murid sebelum mereka memulakan aktiviti. Guru perlu memastikan murid memahami arahan dengan jelas, barulah memulakan sesuatu aktiviti. Guru juga perlu memberi arahan yang tepat dan padat. Arahan yang jelas juga penting untuk mengawal disiplin murid semasa melakukan perkara yang diminta. Oleh yang demikian, saya perlu memastikan arahan yang diberi kepada murid tepat dan jelas. Jadi, masa yang ditetapkan dalam rancangan pengajaran harian, dapat dipatuhi. Saya akan mengingati isu yang penting ini apabila setiap kali saya mengajar. Jika saya sudah terbiasa dengan tindakan memberi arahan yang jelas, sudah pasti perkara ini menjadi kebiasaan dan isu masa pengajaran tidak akan menjadi masalah. Hal ini selaras dengan Teori Behaviorisme yang mementingkan impak positif bagi sesuatu tindakan dan tindakan itu akan diulangi pada masa akan datang.
Syukur ke hadrat ilahi kerana saya sudah berjaya melaksanakan praktikum untuk minggu ke-8 ini. Berbaki empat minggu lagi, saya perlu mengharunginya dan menimba sebanyak ilmu pengetahuan yang boleh. InsyaAllah. Sekian.


No comments:

Post a Comment