Thursday, April 25, 2013

CERITA HAIWAN TIGA SAHABAT KARIB


Tajuk cerita : Tiga Sahabat Karib
Di pinggir sebuah hutan itu, tinggal tiga sahabat baik iaitu rusa, kura-kura dan burung kenari. Ketiga-tiga sahabat itu sentiasa tolong-menolong antara satu sama lain. Pada suatu hari, rusa terkena perangkap dan hendak keluar dari dalam perangkap itu, tetapi tidak berjaya.“Tolong, tolong aku!” jerit rusa.
Jeritan rusa itu didengar oleh kura-kura dan kenari. Mereka datang menolong rusa.“Tunggu dulu, biar aku gigit jaring ini.” kata kura-kura. Sementara itu, kenari terbang ke sana ke mari untuk mengawal kawasan itu. Kenari takut kalau-kalau pemburu itu datang. Tiba-tiba kenari ternampak pemburu itu sedang menuju ke tempat mereka. Kenari segera mencari akal supaya pemburu itu tidak datang ke arah perangkap. Kenari terbang rendah di hadapan pemburu itu untuk menarik perhatiannya. Pemburu itu hendak menangkap kenari pula.
Kura-kura berjaya mengoyakkan jaring dan perangkap terbuka. Akhirnya, rusa berjaya keluar dari dalam perangkap itu. Pemburu itu gagal menangkap kenari lalu dia berjalan menuju ke perangkap. Dia terperanjat melihat jaring yang koyak itu. “Siapa pula yang mengoyakkan jaring ini!” kata pemburu kemarahan.
Pada ketika itu, pemburu ternampak kenari yang sedang bertenggek di atas dahan pokok itu. Dia mengangkat senapang lalu mahu menembak kenari. Seketika itu, kura-kura ternampak pemburu yang hendak menembak kenari. Kura-kura pun menggigit kaki pemburu itu sekuat hati. Pemburu menjerit kesakitan. Kenari terdengar jeritan pemburu itu lalu terbang pergi dari situ.
Pemburu mendapati kura-kura itulah yang menggigit kakinya. Dia sungguh marah kepada kura-kura, lalu menangkap dan memasukkan kura-kura itu ke dalam beg. Kemudian, pemburu berasa terlalu letih lalu menyandar pada pangkal pokok dan tertidur.
Apabila pemburu sedang tidur, rusa berjalan menghampirinya dan mengambil beg yang tergantung itu menggunakan tanduknya. Kemudian, kenari membuka beg itu dengan paruhnya untuk membebaskan kura-kura. Akhirnya, mereka bertiga terselamat daripada pemburu itu

No comments:

Post a Comment