Wednesday, May 1, 2013

TEKS TENTANG PENDETA ZA'BA


Tajuk : Pendeta Za’ba
Beliau ialah satu-satunya penerima gelaran pendeta di negara ini. Gelaran tersebut dikurniakan kepada beliau sempena Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga pada 21 September 1956 sebagai menghargai dan mengiktiraf sumbangannya dalam bidang bahasa dan sastera. Sehingga kini, sumbangannya terhadap perancangan dan perkembangan ilmu tentang nahu bahasa Melayu dikenang dan menjadi rujukan oleh pakar-pakar linguistik Bahasa Melayu.
Pendeta Za’ba ialah nama penanya dan nama penuhnya ialah Zainal Abidin bin Ahmad. Beliau dilahirkan di Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada 16 September 1895. Beliau bersekolah di Sekolah Melayu Kuala Jempol dan kemudiannya di St. Pauls Instituation, Seremban.
Beliau berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi semasa bertugas di Universiti London. Di samping mengajar, beliau mengambil peperiksaan dan lulus diploma Bahasa Arab pada tahun 1949.
Ketika bertugas di Universiti Malaya pula, beliau mengikuti program “External Examination” dan lulus dengan cemerlang pada tahun 1953. Beliau merupakan anak Melayu pertama menjadi Ketua Jabatan Pengajian Melayu di Universiti Malaya (ketika di Singapura), pada tahun 1954. Pada tahun 1975, beliau dianugerahi ijazah Doktor Persuratan Kehormat sempena konvekesyen pertama Universiti Kebangsaan Malaysia.
Pendeta Za’ba banyak menghasilkan buku bahasa sejak 1930-an lagi. Antaranya termasuklah Pelita Bahasa (I, II dan III), Ilmu Mengarang Bahasa Melayu, Ilmu Bahasa Melayu (Penggal I dan II), dan Ejaan Rumi Bahasa Melayu.
Di samping mengajar dan menulis, Pendeta Za’ba sering juga diundang berceramah dalam bidang bahasa. Malah, tulisan-tulisan beliau tentang bahasa turut temuat dalam beberapa akhbar dan majalah ketika itu seperti Qalam, Majalah Malaya, Majalah Guru, Al-Ikhwan, dan Dewan Bahasa.

No comments:

Post a Comment