Sunday, November 10, 2013

Bahasa Melayu Klasik


1. Abad ke –13 merupakan waktu bermulanya zaman peralihan di Kepulauan Melayu dengan berkembangnya agama Islam ke rantau ini. Ini telah mempengaruhi bangsa dan bahasa di sini, terutamanya bangsa dan bahasa Melayu. Pengaruh India sedikit demi sedikit mula digantikan dengan pengaruh Islam dan Arab. Kegemilangannya bahasa Melayu klasik boleh dibahagikan kepada tiga zaman penting iaitu zaman kerajaan Melaka, zaman kerajaan Acheh dan zaman kerajaan Johor-Riau

2. Zaman penting bagi Bahasa Melayu ialah pada zaman Kerajaan Melayu Melaka. Kerajaan Melayu Melaka yang telah menerima Islam dan berjaya membina empayar yang luas telah dapat meningkatkan kemajuan dan perkembangan Bahasa Melayu di rantau ini. Bahasa Melayu telah digunakan dalam pentadbiran dan aktiviti perdagangan serta menjadi “lingua franca” para pedagang. Bahasa Melayu juga telah menjadi alat penyebaran agama Islam ke seluruh Kepulauan Melayu. Bahasa Melayu telah mendapat bentuk tulisan baru iaitu tulisan Jawi. Perbendaharaan kata juga telah bertambah dengan wujudnya keperluan untuk mengungkapkan idea-idea yang dibawa oleh peradaban Islam. Keagungan Kesultanan Melaka jelas tergambar di dalam “Sejarah Melayu” oleh Tun Seri Lanang, sebuah karya dalam Bahasa Melayu yang sangat tinggi nilainya.

3. Kedatangan orang-orang Eropah dan kejatuhan Kesultanan Melaka ke tangan Portugis pada tahun1511 masehi tidak menamatkan pengaruh Bahasa Melayu. Ramai di antara mereka yang menjalankan penyelidikan dan menyimpan catatan mengenai bahasa dan kesusasteraan Melayu. Beberapa contoh usaha mereka ialah :

a. Pigafetta, seorang ketua kelasi berbangsa Itali dalam pelayarannya bersama Magellan, telah menyusun kamus Melayu-Itali semasa singgah di Pulau Tidore pada tahun 1521. Kamus ini merupakan daftar kata daripada bahasa yang dituturkan oleh orang-orang di pelabuhan itu dengan lebih 400 patah perkataan dan merupakan daftar kata Melayu-Eropah yang tertua. Kedudukan Pulau Tidore yang terletak jauh daripada tempat asal Bahasa Melayu menggambarkan betapa luasnya Bahasa Melayu tersebar. 
b. Jan Hugen Van Linschotten, seorang bangsa Belanda pernah tinggal di Indonesia antara tahun 1586 hingga 1592 dan berkhidmat sebagai pegawai kepada pemerintah Portugis. Beliau ada mencatatkan dalam bukunya bahawa Bahasa Melayu dianggap sebagai bahasa yang paling dihormati antara bahasa-bahasa negeri timur.

c. Pada awal abad ke-18, Francios Valentijn, seorang pendeta dan ahli sejarah bangsa Belanda yang banyak menulis menganai wilayah Kepulauan Melayu, telah menggambarkan kepentingan Bahasa Melayu seperti berikut :
Bahasa mereka, Bahasa Melayu, bukan sahaja dituturkan di daerah pinggir laut, tetapi juga digunakan di seluruh Kepulauan Melayu dan di segala negeri-negeri Timur, sebagai suatu bahasa yang difahami di mana-mana sahaja oleh setiap orang.”

4. Satu bukti tentang tingginya martabat Bahasa Melayu dan luas penggunaanya di wilayah ini adalah pada surat-menyurat antara pentadbir dan raja-rja di Kepulauan Melayu. Antaranya ialah :
a. Surat Sultan Acheh kepada Kapitan Inggeris, James Lancester (1601)
b. Surat Sultan Alauddin Shah dari Acheh kepada Harry Middleton (1602)
c. Surat Sultan Acheh kepada raja Inggeris, King James (1612)
(Ketiga-tiga surat ini tersimpan di perpustakaan Bodelein, London)

5. Dalam abad ke-17, terdapat banyak usaha oleh sarjana-sarjana Eropah untuk menyusun kamus dan daftar kata, yang kemudiannya diteruskan kepada bidang morfologi, sintaksis dan fonologi.

6. Tokoh-tokoh tempatan juga tidak ketinggalan memberikan sumbangan. Kebanyakan usaha mereka berkisar tentang agama dan sastera. Palembang dan Acheh telah menggantikan Melaka sebagai pust keintelektualan Melayu. Tokoh-tokoh di Acheh antaranya ialah :
a. Sheikh Nuruddin Al-Raniri (“Bustanul Salatin”)
b. Shamsuddin Al-Sumaterani (“Mirat Al-Mukmin”)
c. Abdul Rauf Singkel (“Mirat Al-Tullab”)
d. Hamzah Fansuri (“Syair Perahu”)

7. Di Palembang pula terdapat Abdul Samad Al-Falambani dengan kitab “Hikayat Al-Salakin”.

8. Selain daripada Acheh dan Palembang, beberapa tokoh juga timbul di tempat-tempat lain. Di Brunei, Pengiran Syahbandar Muhammad Salleh (Pengiran Indera Muda) telah menghasilkan “Syair Rakis”, manakala di Banjarmasin pula terkenal dengan Arshad Al-Banjari dengan kitab “Sabil Al-Muhtadin”. Sheikh Mohd Ismail Daud Al-Fatani di Pattani pula menghasilkan “Matla’al Badrain” dan “Furu’ Al-Masail”.

Ciri-ciri bahasa Melayu klasik:

1. Ayatnya panjang, berulang, berbelit-belit dan banyak menggunakan struktur ayat pasif.
2. Menggunakan bahasa istana: contoh tuanku, baginda, bersiram, mangkat dsb.
3. Kosa kata arkaik dan jarang digunakan ; ratna mutu manikam, edan kesmaran (mabuk asmara), sahaya, masyghul (bersedih) 
4. Banyak menggunakan perdu perkataan (kata pangkal ayat): sebermula, alkisah, hatta, adapun.
5. Banyak menggunakan ayat songsang: pendepanan predikat
6. Banyak menggunakan partikel ``pun' dan `lah'

No comments:

Post a Comment