Thursday, December 20, 2012

REFLEKSI PENGAJARAN STAIL J - PEMBELAJARAN TERDORONG


REFLEKSI STAIL J
          Stail pembelajaran yang ke-10 adalah Stail J iaitu Pembelajaran Terdorong. Saya bersyukur ke hadrat ilahi kerana dengan limpah dan kurnianya dapatlah saya dan rakan sekelas menjalankan sesi amali bersama kumpulan yang menggunakan stail J sebagai kaedah pengajaran dan pembelajaran. Kumpulan ini juga telah membentangkan slaid yang begitu menarik dan berkesan di mata saya.
          Berdasarkan penelitian saya, stail ini berpusatkan murid sepenuhnya. Guru hanya bertindak sebagai pemerhati dan pembimbing kepada murid sahaja. selain itu, guru akan memantau proses pembelajaran, manakala murid pula akan menjadi perancang program atau aktiviti pembelajaran. Oleh yang demikian, murid sangat memainkan peranan yang penting semasa proses P&P. Gaya pembelajaran yang menggunakan stail ini juga seolah-olah memberikan murid autonomi untuk mengambil alih tugasan guru untuk mengawal kelas, merancang program dan aktiviti pembelajaran.
          Saya juga mendapati stail ini merujuk kepada pengalaman pelajar untuk belajar secara inkuiri penemuan pada diri sendiri. Sehubungan dengan itu, pengalaman pertama pelajar belajar akan menjadi sumber utama ke arah pembelajaran seterusnya. Di sini menunjukkan, murid perlu memahami secara kendiri apa yang telah dipelajari untuk membolehkan mereka memahami pelajaran yang seterusnya. Pelajar akan bertanggungjawab secara maksimum dalam proses P&P yang dilalui.  
          Setelah meneliti slaid yang dibentangkan oleh rakan sekelas saya, didapati stail J ini mempunyai pelbagai objektif penggunaannya dalam sesi P&P Pendidikan Jasmani. Antara objektif stail ini adalah untuk mengembangkan idea berdasarkan pilihannya, memulakan pengalaman pengajaran pelbagai,memberi peluang kepada murid berdikari serta untuk meningkatkan peluang kepada murid secara individu dalam proses pembelajaran kognitif dan kemampuan fizikal. 
          Pelaksanaan stail J ini dalam sesi P&P memerlukan tiga proses iaitu pra-impak, impak dan pasca impak. Semasa proses pra-impak, pelajar akan memutuskan untuk memilih bahan subjek umum dan memilih topik khusus daripada bahagian kandungan subjek. Di sini menunjukkan pelajar mempunyai kebebasan untuk memilih apa yang hendak mereka pelajari. Saya berpendapat pelajar mungkin memberi fokus kepada permainan pengangkutan dan akuitik. Hal ini kerana, permainan ini akan lebih menarik  di mata mereka. Mereka juga sendiri yang akan memutuskan apakah alatan yang diperlukan untuk menangani isu yang terlibat dalam topik. Pelajar juga yang akan membuat keputusan tentang persoalan dan masalah yang direkabentuk untuk topik. Tegasnya, di dalam proses pra-impak ini, pelajar yang akan membuat segala keputusan.
          Seterusnya, proses kedua dalam pelaksanaan stail J ini adalah proses impak. Semasa proses ini, pelajar akan bertindak balas dalam setiap masalah dan ujikaji yang dilakukan, meneliti, memeriksa dan menemui pelbagai pergerakan yang akan menyelesaikan segala permasalahan. Pelajar juga mengatur segala pola pergerakan yang ditemui kepada kategori yang diperlukan oleh reka bentuk pra impak. Kategori-kategori tersebut adalah pergerakan badan, aplikasi pergerakan badan dan pergerakan sendi yang akan menghasilkan daya, pergerakan ikut lajak, kedudukan badan, kaki dan koordinasi mata tangan serta kemahiran menganalisis pergerakan pihak lawan sebagai persediaan membuat hantaran. Semasa eksperiman yang dilakukan dalam proses ini, pelajar mengubahsuai dan merekabentuk masalah, mengatur semula urutan dan susunan, memeriksa kesahihan kategori-kategori yang dipilih dan perlahan-lahan membina satu integrasi program pengenalan yang sesuai dengan persekitaran. 
          Kemudian, proses ketiga dalam pelaksanaan stail J ini adalah pasca impak. Di dalam proses ini, keputusan dibuat setiap kali pelajar mengenal pasti satu tindak balas melalui perlakuan pergerakan itu, periksa kesahihan sebagai penyelesaian kepada masalah itu di dalam satu kategori. Misalnya, apabila mereka melakukan sesuatu pergerakan yang telah dipelajari, mereka akan memeriksa sendiri apa yang mereka lakukan itu adalah betul.
          Tugasan kali sememangnya banyak memberi input yang berguna kepada saya. Setelah membuat pembacaan dan juga penelitian secara terperinci, pengkaji mendapati stail pembelajaran ini sesuai digunakan dalam aktiviti pembelajaran dan boleh diaplikasikan untuk menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran kelak. Pengkaji turut mendapati, murid-murid yang mempunyai tahap kecerdasan yang tinggi amat bersesuaian diajar menggunakan stail pembelajaran ini. Hal ini kerana stail ini meningkatkan tahap kognitif murid dengan lebih berkesan dan murid-murid lebih seronok untuk belajar.
          Manakala dari aspek kelemahan yang dilihat, stail ini mengambil masa yang  lama untuk dikendalikan. Hal ini berikutan daripada kekangan dari segi pengawalan kelas. Setiap murid mengambil masa yang lama untuk memberikan kerjasama antara satu sama lain bagi menjalankan sesuatu aktiviti. Selain itu, stail pembelajaran ini tidak sesuai dijalankan ke atas murid yang pasif dan tidak kreatif. Murid-murid ini pastinya tidak suka dan tidak mahu melibatkan diri dalam aktiviti sedemikian.
          Rumusnya dapat disimpulkan, saya mendapati terdapat pelbagai manfaat dan kelemahan yang dapat dilihat dalam stail pembelajaran penggerak kendiri ini. Namun begitu, ianya bergantung kepada guru tersebut untuk memilih kaedah pembelajaran yang sesuai untuk dijalankan. Kaedah pembelajaran tersebut mestilah dipilih bersesuaian dengan murid dan tahap kecerdasan murid tersebut. Saya berharap semua pihak berpuas hati dengan hasil kerja yang telah disempurnakan oleh saya dan rakan-rakan. Sekian, terima kasih.

No comments:

Post a Comment