Friday, December 21, 2012

PERANAN SENI DALAM PENDIDIKAN (PERKAITAN DENGAN SUBJEK BM)


Seni dalam pendidikan (SDP) memainkan peranan penting ke arah perkembangan kanak-kanak melalui peningkatan daya persepsi, estetika dan kreativitinya. Matlamatnya adalah untuk melahirkan individu yang berbudaya dengan mengamalkan pertimbangan kesenian, berjiwa kreatif, inovatif, inventif dan mempunyai jati diri yang tinggi. Pengabungan tiga jenis seni yang terdiri daripada seni visual, seni muzik dan seni pergerakan akan membantu pembentukan insan yang lebih bersifat holistik.

Terdapat beberapa peranan SDP yang boleh dikaitkan dengan mata pelajaran Bahasa Melayu di sekolah rendah. Antaranya adalah SDP berperanan untuk menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) di sekolah menjadi lebih seronok, menarik dan berkesan. Hal ini sangat penting dalam mewujudkan interaksi positif dalam kalangan murid dan guru serta murid dan murid. Antara aktiviti yang boleh dijalankan oleh guru dalam memastikan perintegrasian seni dalam pendidikan ini, guru bolehlah mengadakan aktiviti nyanyian. Terdapat tiga unsur seni dalam pendidikan iaitu seni muzik (irama), ruang dan warna. Unsur seni muzik terdapat dalam aktiviti nyanyian yang dijalankan berikutan adanya irama yang dialunkan oleh murid-murid dan guru. Misalnya, guru menyanyi bersama dengan murid-murid lagu ‘Pak Mamat Ada Kebun’ selepas mengajar teks cerita haiwan. Sesuatu irama itu boleh dinikmati sewaktu guru dan murid-murid mendengar muzik. Irama yang menarik dalam sesuatu muzik akan mempengaruhi seseorang untuk mendengar muzik tersebut berulang kali. Oleh yang demikian, jelas menunjukkan penggabungjalinan seni dalam pendidikan dalam P&P Bahasa Melayu, dapat mewjudkan sesi P&P yang lebih menarik, seronok serta berkesan.
Di samping itu, SDP juga berperanan untuk menghargai keindahan ciptaan Tuhan. Warna merupakan elemen yang penting dalam kehidupan. Warna juga turut digunakan dalam SDP iaitu dalam komponen Pendidikan Seni Visual. Warna dapat dibahagikan kepada tiga yang utama iaitu warna primer, warna sekunder dan juga tertier. Kesemua warna ini sebenarnya wujud di sekeliling kita. Contoh-contohnya adalah seperti warna hijau yang terdapat pada daun, warna-warni yang terdapat pada pelangi dan sebagainya. Jika dikaitkan dengan mata pelajaran Bahasa Melayu, guru bolehlah mengintegrasikan unsur seni visual (warna) dalam sesi P&P di dalam kelas. Sebagai contoh, selepas guru mengajar murid tentang jenis-jenis bunga misalnya, guru bolehlah meminta murid mewarnakan gambar bunga tersebut mengikut kreativiti masing-masing. Di sini, guru boleh menyelitkan nilai mensyukuri ciptaan Tuhan yang indah lagi menakjubkan itu kepada diri murid-murid. Di samping dapat mengintegrasikan unsur seni visual dalam P&P, guru juga dapat menerapkan nilai-nilai murni dalam diri murid-murid. Jadi, di sini jelas menunjukkan pengintegrasian SDP dalam mata pelajaran Bahasa Melayu berperanan dalam mewujudkan nilai menghargai keindahan ciptaan Tuhan dalam kalangan murid-murid.
SDP juga berperanan dalam memupuk budaya pengamatan, persepsi dan ekspresi dalam proses penghasilan. Ketiga-tiga budaya ini dapat diterapkan dalam pengintegrasikan unsur seni pergerakan dalam sesi P&P di dalam kelas. Jika dikaitkan dengan sesi P&P mata pelajaran Bahasa Melayu, guru boleh menjalankan aktiviti seperti aktiviti lakonan. Semasa berlakon, mereka akan menghayati lakonan serta membuat ekspresi yang sesuai menggunakan anggota fizikal mereka. Misalnya, selepas guru menerangkan konsep tatabahasa mengenai kata adjektif yang menunjukkan sifat seperti marah, sedih, gembira dan sebagainya, guru boleh meminta murid-murid melakonkan watak-watak yang menggambarkan perasaan-perasaan tersebut. Mereka akan memikirkan gaya yang sesuai untuk mengekspresikan perasaan-perasaan tersebut. Oleh yang demikian, jelas menunjukkan pengintegrasian SDP dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dapat mewujudkan budaya pengamatan, persepsi dan ekspresi dalam kalangan murid.
Selain itu, SDP berperanan dalam meningkatkan pengetahuan, daya kreativiti, inovasi serta kemahiran dalam bidang seni visual, seni muzik dan seni pergerakan yang diamalkan dalam P&P. Guru perlulah mempunyai pengetahuan tentang bagaimana untuk menggunakan warna dengan baik, memasukkan elemen-elemen irama dan dalam masa yang sama menggunakan ruang yang sesuai bagi meransang minda kanak-kanak sewaktu proses pengajaran dan pembelajaran. Ketiga-tiga unsur SDP ini juga boleh diterapkan sekali gus dalam satu aktiviti semasa sesi P&P. Misalnya, dalam sesi P&P Bahasa Melayu, guru boleh menjalankan aktiviti menyanyi lagu warna pelangi sambil menari. Tarian yang dibuat adalah mengikut kreativiti murid. Jadi, hal ini akan dapat membuatkan mereka lebih kreatif dalam menghasilkan pergerakan yang sesuai dengan lagu yang dinyanyikan. Murid juga akan berasa seronok dan gembira serta melakukan aktiviti dengan lebih aktif. Mereka tidak terikat dengan cara atau teknik pengajaran yang lama iaitu pengajaran yang lebih berpusatkan kepada guru. Oleh yang demikian, di sini jelas menunjukkan, guru dapat meningkatkan pengetahuan murid-murid, daya kreativiti dan pemikiran yang inovasi serta berkemahiran dalam bidang seni visual, seni muzik dan seni pergerakan yang diamalkan dalam P&P.
Tuntasnya, kesemua peranan SDP ini menunjukkan usaha guru dalam membantu murid meningkatkan rasa kesyukuran terhadap Tuhan, menghargai keindahan alam persekitaran, keindahan seni dan warisan bangsa serta dapat menyumbang ke arah pembangunan diri, keluarga, masyarakat dan negara selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

1 comment:

  1. Pihak Qew Communications Sdn. Bhd. dengan rasa rendah diri menjemput saudari/saudara untuk memeriahkan Acara Prelude International Malay Art and Culture di Muzium Warisan Melayu, UPM, Serdang pada 21 - 23 NOVEMBER 2014. Kehadiran anda amat dihargai.

    ReplyDelete