Tuesday, October 21, 2014

Model peringkat-peringkat proses kaunseling (Model Eisenberg dan Delaney)




1.                  Perjumpaan awal

Di peringkat ini, kaunselor perlu menyapa klien dengan baik, menunjukkan empati, ketulenan, kemesraan dan anggapan positif terhadap kliennya. Apabila keadaan mesra telah wujud, klien lebih bersedia untuk berkongsi masalahnya serta akan menceritakan lebih lanjut tentang masalah itu. Kaunselor juga perlu menggalakkan penilaian kendiri klien iaitu klien memikirkan kekuatan dan kelemahan dirinya sendiri dan menyediakan sesuatu untuk difikirkan oleh klien sebelum sesi seterusnya.

2.                  Penerokaan masalah dan membina perhubungan

Pada peringkat ini, kaunselor terus membina perhubungan yang baik dengan klien. Kaunselor harus memastikan kepercayaan klien terhadap dirinya dengan memelihara kerahsiaan maklumat yang diberikan oleh klien.  Kaunselor juga perlu menunjukkan bahawa beliau berempati dan amat mementingkan kebajikan klien. Dengan cara ini proses penerokaan akan dapat berjalan dengan lancar dan berkesan.

Bagi menggalakkan klien meluahkan masalahnya, kaunselor boleh menggunakan soalan-soalan terbuka, refleksi, parafrasa, meminta penjelasan dan kemahiran-kemahiran asas kaunseling yang lain. Tujuan utamanya adalah untuk membolehkan kaunselor memahami klien dan membantu klien mencapai kesedaran kendiri.

3.         Penentuan Matlamat

            Peringkat ini terdiri daripada empat komponen yang berkait rapat iaitu

a.                   Penentuan matlamat kaunseling.
b.                  Menimbangkan ciri-ciri klien yang boleh mempengaruhi strategik kaunselor.
c.                   Memikirkan matlamat-matlamat proses iaitu yang berlaku sepanjang proses menolong.
d.                  Membina satu rancangan tindakan yang akan dilaksanakan oleh klien agar matlamatnya tercapai.

4.         Membina dan Melaksanakan Pendekatan

            Di peringkat ini, kaunselor bersama-sama dengan klien akan cuba membina dan melaksanakan satu pendekatan yang bersesuaian untuk mencapai matlamat kaunseling.

5.         Menilai Pencapaian

            Di peringkat ini, kaunselor akan menilai keberkesanan strategik yang telah digunakan. Jika terdapat kelemahan-kelemahan atau kekurangan maka kaunselor bersama-sama klien akan memikirkan cara-cara untuk mengatasinya.

6.         Penamatan dan susulan

Di peringkat ini, kaunselor akan membuat susulan sama ada strategik atau pendekatan yang digunakan untuk mengatasi masalah klien berjaya atau tidak. Jika berjaya maka proses kaunseling bolehlah ditamatkan. Jika tidak, sesi kaunseling boleh dimulakan semula.

No comments:

Post a Comment