Tajuk : Tiga
Sahabat Karib
Di
pinggir sebuah hutan itu, tinggal
tiga sahabat baik iaitu rusa, kura-kura dan burung kenari.
Ketiga-tiga sahabat
itu sentiasa tolong-menolong antara satu sama lain. Pada suatu hari, rusa
terkena perangkap dan hendak keluar dari dalam perangkap itu, tetapi tidak
berjaya.“Tolong, tolong aku!” jerit rusa.
Jeritan rusa itu didengar oleh kura-kura dan
kenari. Mereka datang menolong rusa.“Tunggu dulu, biar aku gigit jaring ini.” kata kura-kura. Sementara
itu, kenari terbang ke sana ke mari untuk mengawal kawasan itu.
Kenari takut kalau-kalau pemburu itu datang. Tiba-tiba kenari ternampak pemburu itu sedang
menuju ke tempat mereka. Kenari segera mencari akal supaya pemburu itu tidak
datang ke arah perangkap. Kenari terbang rendah di hadapan pemburu itu untuk
menarik perhatiannya. Pemburu itu hendak menangkap kenari pula.
Kura-kura
berjaya mengoyakkan jaring dan perangkap terbuka. Akhirnya, rusa berjaya keluar
dari dalam perangkap itu. Pemburu itu gagal menangkap kenari lalu dia berjalan
menuju ke perangkap. Dia terperanjat melihat jaring yang koyak itu. “Siapa pula
yang mengoyakkan jaring ini!” kata pemburu kemarahan.
Pada ketika itu, pemburu ternampak kenari yang
sedang bertenggek di atas dahan pokok
itu. Dia mengangkat senapang lalu
mahu menembak kenari. Seketika itu, kura-kura ternampak pemburu yang hendak
menembak kenari. Kura-kura pun menggigit kaki pemburu itu sekuat hati. Pemburu
menjerit kesakitan. Kenari terdengar jeritan pemburu itu lalu terbang pergi
dari situ.
Pemburu mendapati kura-kura itulah yang
menggigit kakinya. Dia sungguh marah kepada kura-kura, lalu menangkap dan
memasukkan kura-kura itu ke dalam beg.
Kemudian, pemburu berasa terlalu letih lalu menyandar pada pangkal pokok dan
tertidur.
Apabila pemburu sedang tidur, rusa berjalan
menghampirinya dan mengambil beg yang tergantung itu menggunakan tanduknya.
Kemudian, kenari membuka beg itu dengan paruhnya untuk membebaskan kura-kura. Akhirnya,
mereka bertiga terselamat daripada pemburu itu.
Nilai moral : Kita hendaklah tolong-menolong antara satu
sama lain.
No comments:
Post a Comment