Saturday, September 22, 2012

Konsep 5P - Penggabungjalinan


Konsep
  • Penggabungjalinan bermaksud pengintegrasian pelbagai kemahiran untuk menghasilkan pelajaran yang bersepadu dan menyeluruh. 
  • Strategi  ini bertujuan mengukukuhkan kemahiran antara satu sama lain dan menjadikan aspek pembelajaran saling melengkapi dalam sesuatu pelajaran, agar pembelajaran tersebut lebih menarik dan bermakna (Kamarudin Haji Husin, 1990). 
  • Penggabungjalinan berlaku antara kemahiran berbahasa daripada bidang berlainan (inter bidang) atau bidang yang sama (intra bidang).
Aspek yang digabungjalinkan
  • Pertama, aspek kemahiran bahasa seperti kemahiran lisan, membaca, dan menulis. Guru tidak menggabungjalinkan semua kemahiran dan isi pelajaran dalam satu pengajaran, Raminah Sarban dan Rahim Syam (1987:67). Kemahiran-kemahiran akan digabungkan sekurang-kurangnya dua atau lebih dalam suatu proses pengajaran dan pembelajaran.
  • Kedua iaitu aspek tatabahasa. Aspek ini digabungkan secara teratur dan tersusun semasa guru menekankan kemahiran bahasa. Aspek ini akan melahirkan murid yang berdisiplin, kerana mereka akan mengikut peraturan tatabahasa.
  • Ketiga iaitu aspek kosa kata dan peribahasa juga perlu digabungkan dengan aktiviti kemahiran bahasa. Contohnya, melalui aktiviti lakonan atau perbahasan, membaca teks yang mengandungi peribahasa dan kosa kata (sama ada umum atau istilah), atau melalui latihan penggunaan kosa kata dan peribahasa yang betul dalam pelbagai genre penulisan.
Prinsip penggabungjalinan
  • Terdapat prinsip-prinsip dalam strategi penggabungjalinan. Antaranya ialah guru harus menentukan terlebih dahulu kemahiran utama yang mahu ditekankan dalam sesuatu pengajaran. 
  • Guru hendaklah memikirkan kemahiran sampingan yang bersesuaian untuk menjadikan pengajaran dan pembelajaran yang menarik. 
  • Kemahiran utama akan menjadi fokus utama pembelajaran, manakala kemahiran sampingan akan menjadi fokus sampingan pembelajaran.
  • Aras pengajaran dan aktiviti pelajaran berdasarkan kebolehan dan pencapaian murid. 
  • Guru boleh menggabungjalinkan apa jua sekalipun yang bersesuaian, berdasarkan sukatan pelajaran, asalkan mencapai objektif.
Bentuk Penggabungjalinan
  • Strategi penggabungjalinan dibahagikan kepada tiga bentuk iaitu penggabungjalinan kemahiran, bahan dan aktiviti (Kamarudin Haji Husin, 1990).
  • Di dalam bentuk penggabungjalinan kemahiran, terdapat dua jenis gabungjalin, iaitu penggabungjalinan kemahiran daripada beberapa mata pelajaran ke dalam satu pelajaran dan penggabungjalinan kemahiran daripada beberapa mata  pelajaran ke dalam satu pelajaran.
  • Bagi penggabungjalinan kemahiran dalam satu mata pelajaran, guru boleh menggabungkan semua atau beberapa kemahiran bahasa ke dalam satu pengajaran. Guru harus memastikan aktiviti pengajaran saling berkait rapat dan berjalan dengan lancar (Suradi Salim, 1980).
  • Bagi penggabungjalinan kemahiran daripada beberapa mata pelajaran ke dalam satu pelajaran pula, contohnya seperti dalam satu pelajaran bahasa, kemahiran bahasa digabungjalinkan dengan kemahiran pendidikan seni dan muzik. Kemahiran bahasa menjadi kemahiran fokus, manakala kemahiran pendidikan seni dan muzik, menjadi kemahiran sampingan.
  • Penggabungjalinan bahan pula melibatkan jenis bahan atau tema yang digunakan, Kamarudin Hj Husin (1990). Bahan-bahan itu terdiri daripada bahan utama (petikan), bahan ransangan (bahan sokongan) dan bahan lisan (aksi rakaman). Contoh bahan utama adalah seperti rencana, ucapan, laporan, dan sebagainya. Contoh bagi bahan ransangan pula ialah gambar, carta, graf, rajah, dan data. Manakala, bahan lisan pula terdiri daripada rakaman ucapan, wawancara, lakonan, ceramah, dan lain-lain. Berdasarkan contoh, guru boleh menggabungkan sekurang-kurangnya dua jenis bahan atau ketiga-tiga jenis bahan dalam satu pengajaran. Namun begitu, guru mestilah memastikan bahan mempunyai pertalian dan urutan yang baik serta boleh digabungjalinkan dengan berkesan. Contoh aktiviti ialah guru memberikan teks berita kepada murid, kemudian murid membuat ulasan mengenai berita tersebut.  
  • Seterusnya ialah penggabungjalinan aktiviti. Menurut Kamarudin Hj Husin (1990), dalam perlaksanaan penggabungjalinan aktiviti, guru mestilah meneliti jenis aktiviti yang saling berkait dan boleh digabungjalinkan. Terdapat tiga jenis aktiviti yang boleh dilakukan. Pertama, aktiviti lisan seperti perbualan, temuramah, bercerita, lakonan, dan sebagainya. Contoh aktiviti kedua pula iaitu aktiviti bacaan dan kefahaman. Misalnya, mengesan isi penting, memberi makna perkataan atau rangkai kata, membina ayat, dan lain-lain. Ketiga, aktiviti tulisan seperti mencatat isi, membuat karangan, laporan, atau berita. Guru boleh menggabungjalinkan sekurang-kurangnya dua atau ketiga-tiga jenis aktiviti. Semasa melaksanakannya, guru mesti memastikan aktiviti-aktiviti itu saling berkait.
  • Jadi, menerusi strategi penggabungjalinan ke dalam satu mata pelajaran bahasa, pelbagai kemahiran dapat disampaikan secara harmoni dan bersepadu. Strategi ini dapat mengelakkan kebosanan pelajar terhadap pelajaran, jika hanya satu kemahiran sahaja diajarkan. Interaksi antara guru dan murid juga akan lebih mesra (Ee Ah Meng,1990).

No comments:

Post a Comment