Sunday, September 23, 2012

Konsep 5P - Penilaian


Konsep Penilaian
  • Penilaian bertujuan mendapat maklumat tentang kesan dan pencapaian objektif pengajaran atau pembelajaran, berdasarkan perlaksanaan pengajaran. Dalam sistem penilaian KBSR, tahap satu mementingkan penilaian kemahiran asas 3M, sementara tahap dua pula mengutamakan penilaian mengenai perkembangan murid secara menyeluruh, bersepadu dan seimbang dalam aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani, selaras dengan FPK (Ab. Rahman Ab. Rash, Yap Kim Fatt, dan Ad. Rahim Selamat, 1997).
Jenis Proses Penilaian
  • Strategi penilaian terbahagi kepada dua jenis. Pertama, penilaian formatif iaitu penilaian serta-merta untuk mengesan penguasaan kemahiran yang baru disampaikan. Ujian digunakan untuk mengetahui tentang seseorang (Tuckman, 1975). Contoh ujian yang boleh dibuat, seperti dalam bentuk lisan (termasuk bacaan atau kuiz), pemerhatian, amali atau menjawab soalan bertulis. Menurut Marzukhi Nyak Abdullah (1994), guru hendaklah mengesan kemajuan murid dalam unit pembelajaran yang diajar, di samping dapat mengesan perkembangan pembelajaran murid-murid. Oleh itu, guru mengetahui penguasaan murid dalam kemahiran yang diajar dan juga nilai yang ditanamkan dalam pengajaran. Murid juga mengetahui kelemahan mereka dan berusaha untuk segera mengatasinya.
  • Kedua iaitu penilaian sumatif yang bertujuan untuk mengetahui keseluruhan tahap pencapaian murid di akhir pembelajaran. Matlamat utamanya untuk memberi markah atau gred kepada seseorang murid dan biasanya dijalankan di akhir penggal. Markah akan diserahkan kepada penjaga. Daripada maklumat pencapaian, guru dapat mengenal pasti dan menilai keberkesanan bahan, teknik dan kaedah pengajaran. Penilaian ini juga digunakan oleh guru untuk menentukan siapa yang memerlukan aktiviti pemulihan atau penggayaan (Ab. Rahman Ab. Rash, Yap Kim Fatt, dan Ad. Rahim Selamat, 1997).

No comments:

Post a Comment