Sunday, September 23, 2012

Konsep 5P - Penyerapan


Konsep
  • Penyerapan merupakan proses menyerapkan dan menyatukan ilmu pengetahuan daripada beberapa mata pelajaran ke dalam satu mata pelajaran bahasa.
Jenis penyerapan
  • Proses ini merangkumi beberapa jenis penyerapan. Pertama iaitu penyerapan pengetahuan atau isi pelajaran. Dalam tahap satu, penyerapan mata pelajaran Alam dan Manusia seperti isi pengetahuan yang berkaitan alam sekitar, tumbuhan, haiwan, kemanusiaan, kemasyarakatan, dan kesihatan, diserapkan dalam pelajaran bahasa. Murid akan memperoleh pengetahuan dalam isi kandungan mata pelajaran Alam dan Manusia, di samping dapat menguasai kemahiran bahasa. Beberapa mata pelajaran lain seperti Agama, Moral, Muzik, Seni, Pendidikan Jasmani, juga boleh diserapkan ke dalam mata pelajaran bahasa (Marzukhi Nyak Abdullah, 1994). Pengajaran akan lebih kukuh sekiranya penyerapan pengetahuan diserapkan.
  • Jenis penyerapan yang kedua iaitu penyerapan nilai murni dan kewarganegaraan. Semangat kewarganegaraan dan nilai murni masyarakat yang berlandaskan kepada Rukun Negara, hendaklah diserapkan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa. Hal ini selaras dengan objektif Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu sekolah rendah. Penyerapan nilai tersebut boleh diserapkan pada bila-bila masa ketika sesi pengajaran dan pembelajaran.
  • Ketiga iaitu penyerapan kemahiran berfikir dan kemahiran nilai tambah. Kemahiran berfikir perlu diserapkan dalam aktiviti pengajaran. Contoh-contoh kemahiran berfikir yang boleh diserapkan dengan pelajaran bahasa ialah menentukan urutan, meramalkan, menyelesaikan masalah dan lain-lain. Namun demikian, kemahiran nilai tambah seperti kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi kemahiran belajar cara belajar, kajian masa depan, kecerdasan pelbagai, pembelajaran kontruktivisme, dan pembelajaran konteksual juga perlu diserapkan dengan mengambil kira kesesuaiannya dengan hasil pembelajaran, kebolehan murid serta sumber yang ada. Pemilihan bahan perlulah sesuai dan hal ini dapat mengelakkan kebosanan di kalangan murid (Marzukhi Nyak Abdullah, 1994). Murid memperolehi pengetahuan dan pengalaman secara tidak lansung, di samping mempelajari kemahiran bahasa.
Rasional proses penyerapan
  • Menurut Ab. Rahman Ab. Rash dan rakan-rakannya (1997), rasional penyerapan dilihat menerusi dua aspek pendidikan iaitu aspek pembelajaran dan aspek komunikasi.
  • Melalui aspek pembelajaran, proses ini membantu murid menambahkan kefahaman dan kemahiran, dengan mematuhi arahan dan peraturan. Guru juga dapat membentuk sikap ingin menambah ilmu pengetahuan serta meluaskan ruang untuk meneroka bidang ilmu yang diminati. Corak pemikiran yang terbuka dan rasa ingin tahu juga dapat dipupuk dalam diri pelajar. Seterusnya, guru dapat membentuk pemikiran yang rasional, logik, objektif dan positif kepada murid.
  • Menerusi aspek komunikasi, guru dapat membantu murid dalam menguasai pengetahuan mengenai penggunaan perbendaharaan kata, pemilihan laras bahasa, tatabahasa, penggunaan intonasi yang sesuai dan perlakuan bukan bahasa yang lain mengikut konteks. Hal ini selaras dengan objektif dan matlamat sukatan pelajaran yang digubalkan. Murid akan memahami serta mengamalkan aspek nilai dan tingkah laku yang sesuai demi memperkembangkan diri serta memastikan mereka diterima rakan sebaya dan masyarakat. 

No comments:

Post a Comment