Thursday, September 13, 2012

Interaksi Antara Tamadun Melayu Dengan Tamadun China


Interaksi ini bermula di Kedah, buktinya melalui rekod rasmi China 638M yang ada  mencatatkan Kedah pernah menjalinkan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan China. Kedah juga menjadi pusat perhentian utama sami Buddha dari China. Aktiviti perdagangan berlaku di pelabuhan Melaka kerana Melaka merupakan tempat perdagangan strategik. Hubungan diplomatik dijalinkan antara Kerajaan Melayu Melaka dengan kerajaan China untuk menjamin keselamatan negara. Bukti berlakunya interaksi tersebut ialah adanya bukit yang dinamakan Bukit China dan bukit ini merupakan hadiah Sultan Melaka kepada Puteri Hang Li Po yang dikahwininya.

Kesan daripada interaksi ini ialah tersebarnya Islam. Hal ini kerana, selain daripada India dan Arab, dikatakan bahawa pada peringkat awal Islam datangnya dari Tanah Besar China. Cara penyebaran Islam dari China ialah melalui hubungan diplomatik iaitu perkahwinan Puteri Hang Li Po dengan Sultan Melaka dan perdagangan iaitu melalui pedagang dari Canton dan Hainan pada kurun ke 9. Ini jelas dibuktikan dengan penemuan batu bersurat di Champa bertarikh (1039), di Brunei (1043) dan di Laren Jawa (1082).

Terdapat juga kesan interaksi dari segi kebudayaan. Contohnya ialah, wujud warisan Baba dan Nyonya di Melaka. Warisan ini wujud hasil dari perkahwinan orang Melayu dengan orang China. Kesannya, budaya yang diamalkan kaum Baba dan Nyonya adalah campuran budaya Melayu dan China. Mereka gunakan bahasa Melayu yang dicampurkan dengan perkataan Hokkien dan bahasa ini dinamakan Bahasa Melayu Baba. Budaya China yang diserap oleh Tamadun Melayu pula ialah, budaya pertukaran barang sebagai hadiah, adat memberi ang pau, pertunjukan bunga api dan pemakaian tekstil dari kapada dan sutera.

Tuntasnya, proses interaksi antara tamadun ini mengembangkan lagi tamadun Melayu dan China. Kemahiran membuat asimilasi dan sifat terbuka merupakan perkara penting dalam menggalakkan interaksi antara tamadun ini.

No comments:

Post a Comment