Thursday, September 13, 2012

Interaksi Tamadun Melayu Dengan Tamadun India


Interaksi ini bermula abad ke-3 S.M. Interaksi ini bermula apabila pedagang Melayu belayar menyeberangi Teluk Benggala bagi mencari barang dagangan seperti kain dan logam serta objek-objek yang boleh menggambarkan simbol dan status sosial, sambil memperdagangkan rempah ratus. Kemudian, interaksi ini berterusan apabila pedagang dari India datang ke Tanah Melayu untuk mendapatkan emas. Para pedagang India pada masa itu menggelarkan bumi Melayu sebagai Suvarnabumi yang bermaksud “tanah emas”. Bukti berlakunya interaksi antara tamadun Melayu dengan Tamadun India berdasarkan catatan pada bahan bertulis dari india yang menyebutkan tentang “Malayadvipa” atau Semenanjung Melayu.

Hasil interaksi ini, tamadun Melayu lebih banyak menerima kesannya. Kesan paling ketara ialah pengaruh dari segi pemikiran iaitu pegangan dan kepercayaan. Hal ini kerana, interaksi ini menjadi titik tolak kemunculan agama Hindu dan Buddha di Tanah Melayu. Pada awalnya, penduduk tempatan berpegang kepada kepercayaan anamisme. Masyarakat Melayu ketika itu tertarik dengan ajaran Hindu kerana terdapat persamaan iaitu mengaitkan kepercayaan mereka dengan roh dan alam semulajadi. Penyebaran agama Hindu-Buddha ini tertumpu pada golongan atasan dan menumpukan selok-belok upacara agama. Bukti kedatangan agama Hindu dan Buddha pada ketika itu ialah, peninggalan Candi Bukit Patu Pahat di Lembah Bujang dan imej Buddha diperbuat daripada gangsa di Lembah Bujang.
          
Tamadun Melayu juga banyak menerima pengaruh kebudayaan dari tamadun India. Hal ini kerana, agama Hindu yang disebarkan ke Tamadun Melayu menerapkan adat resam dan budaya orang India. Kedatangan agama ini mempengaruhi gaya hidup penduduk tempatan. Antaranya, amalan jampi dan mentera, melenggang perut, bertindik telinga, bersanding dan berinai. Dari segi bahasa pula, tamadun mengalami pengaruh bahasa Sanskrit hasil dari pembelajaran kitab Hindu yang ditulis dalam bahasa tersebut. Buktinya ialah, penemuan batu bersurat seperti Batu Bersurat Kedukan Bukit (683 M), Batu Bersurat Talang Tuwo (684 M), Batu Bersurat Kota Kapur (686 M) dan Batu Bersurat Karang Berahi (692 M). Kesemua batu bersurat ini mengalami pengaruh Bahasa Sanskrit dalam Bahasa Melayu Kuno.

Jadi, jelas bahawa, interaksi antara tamadun Melayu dengan Tamadun India banyak memberi impak kepada tamadun Melayu. Kesannya dapat dilihat sehingga kini.

1 comment: