Thursday, September 13, 2012

Interaksi Antara Tamadun Islam dengan Tamadun Cina



Interaksi ini berlaku sejak abad ke-3M lagi apabila Parsi menghantar utusan ke istana kerajaan Wei. Kemudian, interaksi kedua tamadun ini terus berkembang apabila China mengadakan hubungan perdagangan dengan Teluk Parsi pada abad ke-5M. Hubungan perdagangan antara Tanah Arab dengan China semakin berkembang pada abad ke-8M dengan adanya laluan darat dan laut.
          Hasil daripada hubungan perdagangan ini, agama Islam mula tersebar ke China. Pedagang-pedagang Arab dan Parsi telah mendirikan Masjid di Guangzhou. Namun begitu, penyebaran agama Islam ini berjaya selepas beberapa abad kemudian iaitu dengan usaha  beberapa tokoh muslim tempatan China seperti Wang Daiyu (1550-1658), Ma Zhu (1640-1711), Liu Zhi (1660-1730) dan Ma Dexin (1794-1874). 
          Penyebaran Islam di China berlaku dengan mudah kerana tokoh Muslim tempatan China memperkenalkan Islam dengan menggunakan konsep sedia ada dalam ajaran Konfusianisme. Hal ini kerana, terdapat persamaan konsep konfusianisme dengan Islam yang menampakkan ianya saling melengkapi. Usaha penyesuaian ini tidak menjejaskan identiti asas Islam mahupun Konfusianisme.  
          Interaksi ini memberikan sumbangan kepada kedua-dua tamadun. Tamadun Islam atau Tamadun Arab mempelajari mengenai kompas, teknologi percetakan dan pembuatan kertas serta teknologi pembuatan bahan letupan. Tamadun China pula dapat mempelajari ilmu pengetahuan baru seperti perubatan, farmasi dan astronomi. Hasilnya, seorang sarjana China-Islam, Li Xun telah menulis buku bertajuk Materia Medica: Seberang Laut sebanyak 6 jilid. Buku tersebut membincangkan mengenai 124 jenis ubat di Arab.
          Hasil daripada interaksi ini, terdapat juga banyak masjid dan dewan membaca al-Quran dibina hasil gabungan ciri-ciri reka bentuk seni bina China dan Arab. Masjid berseni Arab kebanyakannya terdapat di Xianjian. Setelah abad ke-14 reka bentuk masjid di China banyak dipengaruhi oleh reka bentuk kuil dan istana China.
          Tuntasnya, interaksi antara tamadun Islam dengan Tamadun China ini memberikan banyak manfaat kepada kedua-dua pihak. Kesan interaksi ini menyebabkan ajaran agama Islam tersebar luas ke China sehinggalah hari ini.

2 comments:

  1. Assalamualaikum. saya mohon izin ambil nota awak ye buat rujukan saya. Terima kasih :) minta halalkan ye

    ReplyDelete