Monday, October 8, 2012

Kelebihan Teknik Bercerita


  • Pertama, melalui penyampaian cerita, guru dapat membina satu suasana yang menyenangkan dan mengasyikkan. Hal ini demikian kerana cerita merupakan bentuk seni sastera yang memiliki keindahan dan kenikmatan, lebih-lebih lagi jika jalan cerita yang disampaikan mempunyai hubungkait dengan lingkungan kehidupan murid-murid. Jika guru berjaya membina suasana penceritaan yang menyenangkan dan mengasyikkan, mereka juga akan lebih menumpukan perhatian sepenuhnya dan akan memudahkan mereka memahami cerita yang disampaikan. Pemahaman murid terhadap cerita boleh diuji menerusi soal jawab antara guru dan murid mengenai pengajaran dan nilai murni daripada cerita yang disampaikan serta murid mampu untuk merumuskan isi-isi penting dalam cerita. Hal ini seterusnya dapat mencerna minda dan daya imiginasi serta menggalakkan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif.
  • Kedua, cerita yang penuh dengan nilai-nilai murni mampu menanamkan sikap jujur, berani, setia, ramah dan sikap positif lain yang berguna dalam pembentukan budi pekerti atau keperibadian murid-murid. Mereka akan menjadikan nilai dan tauladan yang diperoleh menerusi sesebuah cerita sebagai panduan untuk menjalani kehidupan seharian dengan lebih baik. Sebagai contoh, guru meminta murid melakonkan watak dalam cerita. Hal ini bukan sahaja dapat disematkan dalam fikiran dan jiwa murid, malah dapat memupuk serta mengembangkan sikap keyakinan diri serta sikap positif dalam pembelajaran. Hal ini selaras dengan objektif utama program pemulihan dalam KBSR.
  • Ketiga, melalui teknik bercerita, murid-murid dapat mengenali fakta-fakta alam sekitar mahupun pengetahuan sosial yang berguna bagi perkembangan kognitif mereka. Kebiasaannya, cerita-cerita yang dipilih dan diceritakan oleh guru, mempunyai perkaitan dengan persekitaran murid. Selain itu, murid juga dapat dipupuk dengan rasa peka serta prihatin terhadap masyarakat sekeliling. Jadi, sedikit sebanyak guru dapat membantu dalam meluaskan ilmu pengetahuan murid dan kesedaran diri serta tanggungjawab mereka dalam masyarakat. Perkembangan kognitif mereka juga akan bertambah berikutan pengalaman dan pengetahuan yang baru diperoleh.
  • Keempat, terdapat banyak aspek yang boleh dipelajari oleh murid-murid dalam satu-satu masa. Penggabungjalinan kemahiran berbahasa seperti mendengar, bertutur, menulis dan membaca yang berlaku ketika murid-murid mendengar atau membaca cerita dapat membantu mereka menajamkan lagi kemahiran-kemahiran yang terlibat. Jika dikaitkan dengan pendidikan pemulihan sama ada pemulihan khas atau biasa, guru boleh menggunakan teknik ini dalam usaha membantu penguasaan kemahiran membaca dan menulis. Guru harus memastikan aktiviti pengajaran saling berkait rapat dan berjalan dengan lancar (Suradi Salim, 1980).


No comments:

Post a Comment