Monday, October 15, 2012

Sejarah Perkembangan Teori Feminisme


  • Sejak abad ke-16 lagi, pergerakan pembebasan wanita telah bermula di Eropah. Pada abad ke-20 pula, pergerakan ini dimantapkan lagi dengan kemunculan beberapa orang pemimpin wanita yang berwibawa dan amat berpengaruh. Menurut Lauret dan Maria (1994 : 45-48) pada tahap awalnya, pertubuhan-pertubuhan ini menumpukan perhatian kepada isu-isu politik sahaja. Namun, lama-kelamaan pergerakan ini bercabang ke aspek lain dan dari situ, lahirnya pendekatan sastera feminis.
  • Di Amerika, sewaktu pengisytiharkan deklarasi kemerdekaan 1776 menyebut ‘all men are created equal’ telah menimbulkan kemarahan kaum perempuan. Terdapat perjuangan gerakan wanita telah masuk ke dalam dunia sastera dan perjuangan tersebut mengalami tiga gelombang. Pertama, gelombang penyedaran kepada kaum wanita mengenai penindasan zaman berzaman di dalam sastera. Kedua, gelombang kemasukan dunia patriakal, iaitu cuba menguasai daerah yang selama ini dikuasai lelaki. Gelombang ini dikatakan telah mencipta satu bentuk indentiti wanita di mana mereka telah mendapat hak yang sah di samping menikmati kebebasan yang diingini (Siti Hajar Che Man, 2000:4). Menerusi gelombang kedua ini, feminis dapat memperkuat kedudukan dan kehadiran mereka diiktiraf. Oleh yang demikian, lahirlah ramai penulis feminis yang baru dengan teks yang lebih kuat dan ramai pula peneliti serta pengkritik feminisme. Ketiga, gelombang feminisme psikoanalisis yang diterajui oleh Kristeva dan Irigaray, yang menandakan kemasukannya ke dunia pascamoden (Wolfrey dan Julian, 1999 : 57-59).
  • Sepanjang sejarah kritikan feminisme, banyak pendekatan yang dilakukan, antaranya ginokritik, ideologikal, sosialis, psikoanalitik, lesbianis dan feminisme ras atau etnik. Namun demikian, kritikan ginokritik yang paling berkuasa dan banyak mengesankan kebangkitan feminisme. Ginokritik meneliti sifat-sifat pembeza dengan penulis lelaki dan tumpuan kritikan kepada aspek biologikal, budaya, pengalaman dan sebagainya. Kritikan ideologikal pula berteras kepada pemikiran bahawa sikap pembaca harus diubah daripada memahami wanita yang selama ini ditindas kepada wanita feminisme. 
  • Seterusnya, kritikan feminis sosialis pula adalah pengaruhan teori-teori sastera Marxist, yang melihat selama ini kelas wanita telah tertindas zaman berzaman. Kritikan aliran ini sengaja menunjuk-nunjukkan penindasan itu supaya mendapat kesan kezaliman lelaki dan memancing simpati serta empati masyarakat (Eagleton dan Terry, 1998). Berdasarkan pandangan Mana Sikana (2008), kritikan feminis psikoanalitik adalah hasil penentangan terhadap teori Freuddan Lacan, yang menganggap wanita tiada memiliki kekuasaan. Kritikan feminis-psikoanalitik memfokuskan watak wanita bagi membentuk rasa kejiwaan bersama di kalangan wanita untuk merasa, juga simpati dan empati akan kedudukannya sebagai wanita dan kemudiannya menyedarkan mereka untuk merebut kekuasaan yang telah hilang itu.
  • Oleh yang demikian, menerusi pendekatan-pendekatan yang digunakan dalam kritikan feminisme ini menunjukkan sejarah bermulanya sesuatu gerakan untuk membina dan menjulang kaum wanita.

No comments:

Post a Comment