Monday, October 8, 2012

Konsep Teknologi Pendidikan dan Teknologi Pengajaran


  • Perkataan teknologi berasal daripada bahasa Yunani, “techne” yang bermakna kemahiran menggunakan pengetahuan secara sistematik sehingga terbit satu amalan yang praktikal bagi melaksanakan sesuatu tugas. 
  • Teknologi bukan semata-mata alat dan mesin sahaja. Evans dan Nation (2000) turut menolak pemahaman masyarakat terhadap teknologi adalah alat.
  • Secara kebiasaannya, istilah teknologi dikaitkan dengan alat-alat teknologi moden terutama alat-alat elektronik seperti televisyen, perakam pita video, permainan cakera laser, permainan cakera padat, perakam pita kaset, projektor LCD dan projektor lut sinar. 
  • Kadangkala, teknologi bermakna pembangunan serta permodenan dan biasanya sesuatu organisasi itu maju dan berkembang adalah kerana kesan penggunaan alat-alat teknologi itu sendiri.
  • Menurut Galbraith (1967) yang dipetik dari Noriati A. Rashid, et.al. (2009), teknologi adalah keupayaan dalam menggunakan pengetahuan sama ada pengetahuan saintifik atau pengetahuan lain yang tersusun yang digunakan secara sistematik sehingga mampu mempamerkan amalan yang praktikal dalam melaksanakan sesuatu tugas sehingga tugas tersebut mencapai kejayaan. 
  • Pengenalan saintifik yang dimaksudkan adalah himpunan ilmu dan pengetahuan yang telah diuji serta dinyatakan dalam bentuk satu prinsip. 
  • Manakala, pengetahuan lain yang tersusun pula adalah pengetahuan yang belum diuji dan dibuktikan secara saintifik tetapi diterima amalannya sebagai suatu pengetahuan yang benar berdasarkan pengalaman dan pengamatan manusia terhadap sesuatu tindakan.
  • Kekuatan teknologi terletak terutamanya pada proses dan idea, manakala kejayaan untuk mencapai sesuatu maksud atau objektif terletak pada alat. 
  • Hal ini selaras dengan pendapat Heinich, Molenda dan Rusell (1999) yang menyatakan bahawa “Teknologi bukan semata-mata alat dan mesin sahaja. 
  • Ia merangkumi proses dan idea. Kekuatannya terletak terutamanya pada proses dan idea, manakala kejayaan untuk mencapai sesuatu maksud atau objektif terletak pada alat”. 
  • Hal ini bermakna, dalam merancang sesuatu pengajaran, perancangan awal yang melibatkan penggunaan idea sama ada dalam bentuk teori, pendekatan, kaedah dan sebagainya adalah merupakan proses yang terpenting.
  • Teknologi Pendidikan adalah kombinasi proses dan alat yang terlibat untuk menangani keperluan dan masalah pendidikan dengan memberi penekanan kepada aplikasi alat yang terkini : komputer dan teknologi yang berkaitan (Roblyer, 2003). 
  • Yusuf Hashim (1997) pula mendefinisikan teknologi pendidikan ialah satu proses merancang, membina, merekabentuk, melaksana dan menilai aktiviti-aktiviti pembelajaran secara sistematik dengan tujuan meningkatkan serta memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran. 
  • Keadaan pelajar juga ditekankan sebagai sebahagian daripada teknologi pendidikan kerana hal ini boleh mempengaruhi keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran.
  • Teknologi pengajaran pula merupakan cabang daripada teknologi pendidikan. Heinich (1982) menjelaskan bahawa teknologi pengajaran adalah teknologi yang bertanggungjawab menggabungkan kesemua yang diketahui oleh guru ke dalam satu sistem pengajaran.
  • Teknologi pengajaran juga adalah satu proses yang kompleks dan bersepadu yang melibatkan manusia, prosedur, idea, peralatan dan organisasi untuk menganalisis masalah-masalah serta mereka bentuk, menilai dan menguruskan penyelesaian kepada masalah-masalah dalam keadaan di mana proses pembelajaran itu adalah bermatlamat dan terkawal (Yusuf Hashim, 1998).
  • Berdasarkan pandangan tokoh-tokoh mengenai definisi teknologi pendidikan dan teknologi pengajaran, boleh disimpulkan bahawa teknologi pendidikan dan pengajaran adalah satu sistem yang meliputi alat dan bahan media, organisasi yang digunakan secara terancang bagi menghasilkan kecekapan dalam pengajaran dan keberkesanan dalam pembelajaran.

No comments:

Post a Comment