Friday, October 12, 2012

Pendidikan Imbuhan


  • Istilah imbuhan sering dikelirukan dengan istilah linguistik yang membawa erti imbuhan awalan, akhiran dan sisipan. 
  • Kata dasar bagi perkataan ‘imbuhan’ ialah ‘imbuh’ yang membawa erti ‘tambahan pada barang ditimbang, tambahan supaya sama berat dan mengimbuh bermaksud ’menokok dan menambah’ (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2005). 
  • Berdasarkan definisi tersebut, jelas menunjukkan bahawa perkataan ‘imbuhan’ sesuai digunakan untuk memberi gambaran terhadap konsep pendidikan imbuhan dengan tepat. 
  • Hal ini kerana, perkataan ‘imbuhan’ itu memberi maksud menambah berat dan tindakan supaya sama berat. 
  • Tindakan supaya sama berat itu bermaksud taraf pendidikan golongan bawahan, golongan sederhana dan golongan atasan mestilah sama berat atau sama taraf antara satu sama lain.
  • Pendidikan imbuhan pada amnya bolehlah dianggap sebagai satu usaha atau tindakan yang diambil untuk menggantikan sesuatu kekurangan yang dihadapi oleh golongan bawahan. 
  • Hal ini merupakan langkah-langkah yang rapi dan teliti yang diprogramkan untuk mencegah berlakunya sebarang kelemahan dalam kalangan murid golongan bawahan. 
  • Pencegahan seperti ini dilakukan pada peringkat awal pembelajaran. 
  • Biasanya pendidikan imbuhan melibatkan kanak-kanak yang kurang bernasib baik yang sekiranya dibiarkan akan menyebabkan berlakunya keciciran. 
  • Guru hendaklah mempunyai hubungan yang baik dengan agensi-agensi dan badan-badan lain yang boleh membantu meningkatkan prestasi murid. 
  • Dalam membentuk strategi pendidikan imbuhan, satu program menyeluruh yang melibatkan ibu bapa dan komuniti hendaklah dititikberatkan. 
  • Program ini juga harus meliputi program untuk menjaga kesihatan yang sempurna, makanan dan pemakanan. 
  • Konsep pendidikan ‘imbuhan’ sering disamakan dengan pemulihan. Sebenarnya konsep kedua-dua istilah ini mempunyai perbezaan tertentu. 
  • Perkataan ‘imbuhan’ adalah lebih luas maksudnya daripada perkataan ‘pemulihan’ yang hanya merupakan sebahagian daripadanya. 
  • Pendidikan pemulihan jika diteliti lebih mendalam lagi sifatnya lebih terbatas dan lebih khusus kerana pendidikan pemulihan bertujuan untuk membaiki kelemahan pembelajaran, sedangkan pendidikan imbuhan melebihi tindakan pemulihan dan meliputi juga tindakan mencegah kelemahan supaya tidak berterusan.
  • Oleh itu, masalah pembelajaran yang berpunca daripada faktor sosioekonomi dan sosiobudaya tidak akan berlaku dengan adanya program pendidikan imbuhan.

No comments:

Post a Comment